Wednesday 3 October 2012

Setiausaha Agung Pas Beri Amaran Pada PKR Jangan Buat Kenyataan Peribadi

Pas memberikan ingatan kepada rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat (PR) agar jangan membuat kenyataan peribadi yang boleh dianggap pendirian bersama perikatan tersebut. 

Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali berkata, kenyataan bersifat pribadi perlu dielakkan supaya tidak menimbulkan kekeliruan di kalangan rakyat. 

Beliau merujuk kepada dua kenyataan pemimpin PKR sebelum ini yang bagi beliau tidak pernah dibincangkan di kalangan pimpinan tertinggi PR. 

"Kenyataan pertama yang dibuat oleh Ketua Penerangan PKR Selangor sebelum ini, Shuhaimi Shafiei yang berkata, 20 pemimpin PKR akan menyertai Kabinet. 

"Yang kedua hari ini, Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dilaporkan media sebagai berkata, seolah-olah Selangor akan mendapat MB baru. 

"Ini juga tidak pernah kita bincangkan dan bakal memberikan implikasi negatif," kata Mustafa dipetik Harakahdaily hari ini. 

Beliau yang kelihatan kesal dengan kenyataan seumpama itu kerana ia bakal memberi implikasi negatif kepada rakan-rakan dalam Pakatan kerana semua keputusan sebegini perlu dibuat bersama. 

Azmin dipetik Sinar Harian berkata, Selangor mungkin kehilangan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sekiranya PR berjaya menawan Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13). 

Keputusan berkenaan, kemungkinan besar dibuat oleh gabungan DAP, Pas dan PKR atas kewibawaan dan kepakaran yang ditunjukkan Abdul Khalid menjadi ketua pentadbir negeri selama sepenggal ini. 

Azmin berkata, keupayaan dan kejayaan beliau memimpin Selangor sehingga menyumbang 23 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) juga antara faktor yang menjadi pertimbangan mereka. 

Katanya, perbincangan peringkat PR ada ke arah itu, bagaimanapun masih belum diputuskan. -Sinar Harian.

No comments:

Post a Comment