Monday 15 October 2012

'Jika MCA Anti-Islam, Adakah Pas Anggap DAP Juga Sama? ' - Nasrudin Mesti Jawab

SHAH ALAM - Di sebalik dakwaan Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan bahawa MCA sebagai anti-Islam, beliau kini harus menjawab persoalan "adakah Pas juga mengganggap DAP sebagai anti Islam?"

Demikian persoalan dibangkitkan oleh Setiausaha Agung komponen Barisan Nasional itu, Datuk Seri Kong Cho Ha.

"MCA tidak pernah kata Islam tidak baik, malah bukan prinsip MCA anti-Islam," katanya kepada Sinar Harian Online.

Pas kini berhadapan dengan keadaan yang semakin tertekan apabila kerjasama parti itu terutama sekali dengan DAP terus dipertikaikan.

Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali sebelum ini menegaskan kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang membela kerjasama parti itu dengan DAP sebagai “menghiris hati ahli dan penyokong Pas yang sudah tidak menahan perasaan sabar."

Hasan mengingatkan Nik Aziz berhubung pendirian Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh dan Penasihatnya Lim Kit Siang yang berterusan menghina dan menentang perjuangan Pas untuk melaksanakan hudud.

Bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa, pada akhir Ogos lalu, mendakwa Karpal sebagai anti-Islam kerana menentang hukum hudud.

Ekoran kenyataan itu, Karpal berkata mahu mengambil tindakan undnag-undang ke atas Nasharudin.

Menerusi satu tulisan di blognya, dipetik Harakahdaily, Nasrudin melabelkan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek sebagai seorang yang mempamerkan "sikap prejudis terhadap Islam dan syariatnya".

Beliau memberikan beberapa contoh kenyataan Soi Lek yang disifatkannya sebagai perbuatan anti-Islam.

Dalam tulisannya, beliau juga menyenaraikan pendirian dan kenyataan pemimpin-pemimpin MCA yang lain.

Mengulas lanjut, Cho Ha berkata, tulisan Nasrudin itu jelas sekali atas dasar kepentingan politik semata-mata.

Bahkan beliau mempersoalkan kesahihan butiran-butiran yang ditulis Nasrudin sama ada ia diberikan perspektif yang betul atau hanya untuk mencari salah Presiden MCA itu.

"Persoalannya adakah ia benar atau tidak? Sama ada ia (perbuatan mencerca Islam) berlaku atau sebaliknya," katanya. -Sinar Harian

No comments:

Post a Comment