Wednesday 10 October 2012

Salahuddin Nafi Putus Hubungan Dengan Nasha Dan Tegaskan Nasha Dipengaruhi Orang Luar

KUALA LUMPUR - Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub menafikan laporan media bahawa beliau dan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Khalid Samad telah memutuskan hubungan dengan bekas Timbalan Presiden parti itu, Nasharudin Mat Isa, yang semalam memberi peringatan kepada parti itu. 

"Satu dosa yang besar memutuskan hubungan silaturahim dan kami tidak bercadang untuk berbuat demikian," kata Salahuddin dipetik Harakahdaily, hari ini. 

Beliau mengulas laporan sebuah portal yang melaporkan kedua-duanya mengumumkan tidak ada hubungan lagi dengan Nasharudin. 

Portal itu dipetik berkata, dua pemimpin pusat iaitu Khalid dan Salahuddin hari ini mengumumkan memutuskan hubungan dengan Nasharudin. 

Bagaimana Salahuddin mengesahkan beliau berkata, tindakan Nasharudin menimbulkan kecurigaan dan boleh jadi beliau mengikut arahan "orang di luar Pas." 

Menurut Salahuddin, oleh kerana Nasharudin adalah ahli Majlis Syura maka terserahlah kepada majlis tertinggi itu untuk membuat keputusan. 

Khalid dipetik berkata, Nasharudin dipengaruhi oleh orang luar Pas ketika membuat kenyataan. 

"Pada saya, tindakannya dirancang oleh orang di luar, seperti Umno, untuk mencetuskan masalah dalam Pakatan Rakyat dan Pas. 

"Kenyataan Nasharudin adalah pandangan peribadi dan bukan pandangan (Majlis Syura)," katanya. -Sinar Harian

No comments:

Post a Comment