Wednesday 12 December 2012

Tun Abdullah: Ketua Cawangan Dan Bahagian Perlu Sokong Penuh Calon

KEPALA BATAS - Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata semua ketua cawangan dan ketua bahagian Umno di seluruh negara perlu memberi sokongan sepenuhnya kepada sesiapa sahaja calon yang dipilih parti untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) nanti.

Beliau berkata ini berikutan ketua cawangan dan ketua bahagian merupakan orang penting dalam parti untuk menjayakan matlamat Barisan Nasional (BN) untuk memperoleh kemenangan dua pertiga pada PRU-13.

Katanya beliau percaya calon yang akan dipilih oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku pengerusi BN merupakan yang terbaik dan semua anggota Umno perlu bersatu menyokong agar calon berkenaan menang. 

"Ketua cawangan dan ketua bahagian perlu menyokong calon yang dipilih kerana mereka merupakan orang yang paling dekat dengan rakyat dan bila mereka memberi sokongan sudah pasti yang lain akan ikut," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian bantuan pakaian seragam sekolah oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) di sini hari ini.

Pada majlis itu, seramai 25 pelajar dari kawasan Kepala Batas menerima bantuan pakaian dan kelengkapan persekolahan bernilai RM120. Turut hadir Pengerusi Perda Datuk Azhar Ibrahim yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Penaga dan Pengurus Besar Perda Saringat Hassan.

Abdullah yang juga anggota Parlimen Kepala Batas berkata beliau sebagai Ketua Umno Bahagian Kepala Batas akan berusaha memastikan calon-calon yang bertanding di kawasan itu menang besar kelak.

Mengenai pengumuman Najib berhubung pembinaan 20,000 unit rumah mampu milik di Pulau Pinang pada Sabtu lepas, beliau berharap pembinaan rumah berkenaan dipercepatkan kerana projek itu penting untuk rakyat - Bernama

No comments:

Post a Comment