Friday, 7 December 2012

Rakyat Kelantan Semakin Jelas Konsep Perjuangan Umno, BN

GUA MUSANG - Pemimpin dan perwakilan Umno diibaratkan membawa balik ubat panadol yang mujarab untuk menghilangkan rasa pening rakyat selepas Perhimpunan Agung Umno di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Adun Paloh, Datuk Nozula Mat Diah berkata, panadol itu akan memperjelaskan kepada rakyat perjuangan sebenar Umno dan Barisan Nasional (BN) untuk semua kaum di negara ini.

Beliau berkata, ia sekali gus dapat menghilang rasa keraguan rakyat berhubung kedudukan pemerintahan kerajaan BN sekarang yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Kita sebagai pemimpin akan memperjelaskan secara ikhlas perjuangan Umno, BN itu dan rakyat tidak usah percaya lagi dengan hasutan pembangkang yang perjuangan mereka sia-sia sahaja.” katanya pada majlis Sembang Malam bersama Belia Tanah Rancangan Felda Chiku 1, dekat sini, kelmarin.

Hadir sama pada majlis, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Kelantan, Md Sulji Zakaria dan Pengerusi Majlis Belia Felda Kelantan, Mohd Norfazly Mohd Daud.

Nozula juga selaku Naib Ketua Umno bahagian berkata, rakyat di Kelantan khususnya perlu melakukan perubahan fikiran mereka supaya tidak lagi tersalah pilih kerajaan yang tidak membawa sebarang kemajuan.

Beliau berkata, penjelasan pemimpin tertinggi Umno, Perdana Menteri menyentuh pelbagai aspek dan berjanji akan memberi pembelaan terbaik kepada seluruh rakyat, termasuk Kelantan jika dimenangi BN pada Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU13) nanti.

“Sudah sampai masanya untuk kita bersatu semula, bagi menentukan hala tuju terbaik pemerintahan Kelantan kerana jelas sejak bawah pemerintahan kerajaan Pas lebih 20 tahun lalu tidak membawa kemajuan kepada Orang Melayu.

“Sebaliknya, apa yang kita lihat kemajuan dan kekayaan, dimonopoli kaum lain termasuk dalam pembangunan tanah di Hulu Kelantan hingga semua tanah diusahakan rakyat berpindah milik kepada syarikat luar,” katanya.

Katanya, PRU13 nanti adalah yang terpenting dalam sejarah negara ini, berikutan banyak kekeliruan yang dibangkitkan pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan BN yang sekian lama berjasa.

No comments:

Post a Comment