Sunday 24 June 2012

Peragut Dalam Masjid Dihalang Pelajar Tahfiz

PASIR PUTEH - Seorang pelajar Tahfiz al-Quran Ibrahimi menghalang pencuri melarikan beg yang dicurinya di Masjid Ibrahimi, kelmarin.

Mohd Irfan Che Ya, 19, berdepan dua pencuri yang berjaya meloloskan diri daripada kepungan orang ramai selepas mengambil beg dua jemaah wanita sedang menunaikan solat Subuh.

“Ketika itu saya ditugaskan untuk berkawal bersama enam rakan di persekitaran masjid sejurus selesai solat Subuh, tiba-tiba masjid gempar apabila dua jemaah wanita menjerit apabila beg mereka dilarikan.

“Saya terus membaca ayat suci al-Quran bagi mempertahankan diri sebaik menyedari lelaki itu hendak menyerang. Saya menendang seorang daripadanya menyebabkan satu daripada dua
beg dipegangnya terjatuh,” katanya.

Menurutnya, dia terus mengambil beg yang terjatuh itu sebaik menyedari lelaki terbabit cuba merampasnya semula.

“Kami berusaha memberkas pencuri terbabit tetapi lelaki itu sempat melarikan diri dan menaiki kereta Perodua MyVi yang sedia menunggu di luar masjid,” katanya.

Sinar Harian difahamkan beg yang berjaya dilarikan itu berisi pakaian dan hanya terdapat beberapa ringgit sahaja.

Imam Dua Masjid Ibrahimi, Hanafiah Abdul Aziz berkata, pelajar tahfiz ditugaskan untuk berkawal bagi memastikan keselamatan jemaah terjamin.

“Bagaimanapun, kemasukan orang ramai ke kawasan masjid tidak terkawal sejak pasar raya baru dibuka menimbulkan sedikit keresahan dari pelbagai aspek,” katanya semalam.

Tambahnya, beliau juga kesal dengan sikap sesetengah pelanggan pasar raya berkenaan yang menjadikan kawasan masjid untuk meletakkan kenderaan.

No comments:

Post a Comment