Sunday 8 April 2012

AZIZ DESA KESAL DENGAN SIKAP HUSAM

KOTA BHARU- Ketua Pegawai Operasi Kelantan Trade Centre, Aziz Desa melahirkan kekesalannya dengan tindakan pihak tertentu dalam Sekretariat Ekspo Cheng Ho Kelantan yang tersalah anggap dengan tindakannya.

Menurutnya, beliau hanya ingin meminta hutang dan bukan bergaduh dengan pihak berkenaan sebaliknya menjalankan tugas sebagaimana dipertanggungjawabkan.

“Niat saya cuma ingin mengutip hutang, bersikap proaktif demi kelangsungan KTC yang juga mempunyai pertalian dengan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK).

“Tetapi nampak gayanya, untuk mengutip hutang bukan satu jalan mudah apabila saya terpaksa berdepan masalah pihak- pihak berkenaan termasuk dihina dan diperlekehkan,” katanya ketika ditemui di KTC di sini, semalam.

Beliau turut melahirkan rasa kecewa kerana beranggapan individu yang sepatutnya bekerjasama dan membantu beliau membangunkan negeri ini boleh bertindak demikian.

“Dia tidak menghormati kebaikan yang saya buat, termasuk membantu untuk mengadakan hebahan Tahun Melawat Kelantan (TMK) di TV9, dan membolehkan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk

Takiyuddin Hassan muncul di stesen tv berkenaan untuk memperomosikan TMK, jangan dia melihat saya sebagai naif sangat,” katanya.

Aziz berkata, beliau bukan mewakili Kerajaan Negeri, sebaliknya syarikat luar yang datang melabur di negeri ini, dan beliau bukan meminta hutang dari sekretariat itu sebaliknya meminta bantuan pihak berkenaan dalam menyelesaikan masalah hutang KTC.

Menurutnya, lebih dikesalkan tindakan pihak berkenaan mengaitkan individu luar iaitu bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid yang langsung tidak tahu mengenai KTC.

“Saya boleh maaf kalau dia hina, atau merendah- rendahkan saya, tetapi apabila dia mengaitkan Tan Sri Sanusi Junid yang tak ada kaitan dalam hutang KTC, saya merasa agak ralat kerana perkara itu boleh datang dari seorang pemimpin yang disegani di negeri ini,”katanya ketika mendedahkan perbualan memalui khidmat pesanan ringkas yang berlaku antaranya dan pihak berkenaan.

Bagaimanapun, dalam masa sama beliau mengucapkan terima kasih kepada pihak berkenaan yang kemudian menghantar wakil untuk menyelesaikan isu berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Kelantan, Datuk Husam Musa menegur tindakan Aziz membuat kenyataan media secara terbuka dalam misinya mengutip hutang.

Husam berkata, kenyataan kepada media secara terbuka terhadap pihak lain (agensi pelancongan) disifatkan sebagai tidak beretika dan tidak professional lebih- lebih lagi apabila menyebut agensi berkenaan menipu dan pecah amanah.

“Sebagai salah sebuah agensi di bawah Kerajaan Negeri, ada tatacara profesional dan etika yang perlu diikuti, dan saya harap Aziz yang mewakili pengurusan KTC bersikap profesional dan menghormati tatasusila rakyat negeri ini,” katanya.

Menurutnya, tindakan memasukkan isu berkenaan ke laman sosial Facebook tanpa memberi latar belakang dengan perspektif yang betul boleh menimbulkan gambaran sekretariat Chengho 2010 yang dipengerusikan saya mempunyai hutang-hutang dengan KTC.

Katanya, Ekspo Cheng Ho 2010 tidak mempunyai sebarang tunggakan hutang dengan KTC dan ini boleh disahkan melalui kenyataan media tersebut. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment