Sunday, 18 March 2012

KOTA BHARU- Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah wajar bertanding berdasarkan keupayaannya, kata Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (Dun), Datuk Mohd Alwi Che Ahmad.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kok Lanas berkata, sewajarnya Tengku Razaleigh bertanding berdasarkan kesihatan yang lebih baik berbanding Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Nik Aziz yang tidak sihat boleh bertanding, inikan pula Ku Li yang lebih sihat, sudah tentu boleh bertanding. Namun, semua senarai calon bergantung kepada Perdana Menteri,” katanya kepada Sinar Harian.
Mohd Alwi berkata, soal pencalonan Tengku Razaleigh tidak perlu dibincangkan secara terbuka kerana ia merupakan di bawah bidang kuasa pucuk pimpinan.

Sementara itu, Bekas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Tan Sri Annuar Musa berkata, hubungan dalam kalangan pemimpin Umno dengan Tenku Razaleigh sangat baik dan tidak mempunyai masalah.

“Saya tidak menafikan isu Ku Li timbul apabila media membangkitkan nama pemimpin ini, sedangkan tiga hari sebelum tersiarnya isu Ku Li, saya bersama Datuk Mustapha Mohamad dan Datuk Awang Adek duduk berbual semeja.

“Saya percaya, sumber berita Ku Li tidak bertanding ini bukan datang dari orang Umno, sebaliknya dari orang luar Umno. Kenapa orang tidak tanya Nik Aziz, Haji Hadi bertanding atau tidak,” katanya.

Kesal dengan isu terbabit, beliau mengakui sebagai ‘orang lama’ dalam bidang politik berpendapat, Ku Li tetap diperlukan dan menjangkakan namanya akan diletakkan oleh pucuk pimpinan.

“Kita boleh ramal berdasar kebijaksanaan kepimpinan yang ada pada Ku Li dan Ku Li akan terima kepimpinan sebagai calon kali ke-10 (termasuk Pilihan raya kecil).

“Apa faktornya... Sebab Ku Li lebih sihat daripada Nik Aziz dan rekod kemenangan Ku Li lebih banyak,” katanya.

No comments:

Post a Comment