Wednesday 2 November 2011

MUSTAPA MOHAMAD TEGASKAN KERAJAAN BELUM LULUS LESEN PRA OPERASI LYNAS

KUALA LUMPUR, 2 Nov - Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed  menafikan dakwaan bahawa beliau ialah"jurucakap" syarikat pemprosesan logam nadir dari Australia, Lynas Corporation Ltd (Lynas). 

Malah, beliau menyifatkan dakwaan Fuziah Salleh (PKR-Kuantan) itu satu tuduhan berat dan tidak wajar. Mustapa berkata kerajaan mengutamakan kepentingan rakyat dan telah menjalankan sesi penerangan kepada banyak pihak termasuk orang ramai berhubung isu tersebut.

 "Daripada maklum balas yang diterima, ramai yang mula menerima dan memahami dasar kerajaan menerusi projek ini dan kerajaan akan mempergiatkan lagi proses penerangan ini," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2012 pada sidang Dewan Rakyat semalam, bagi menjawab pertanyaan Fuziah yang telah mencelah perbahasannya.

Fuziah juga menyalahkan kerajaan kononnya tidak mengambil kira aspek keselamatan rakyat dalam projek itu.

Sementara itu, Mustapa berkata kerajaan tidak pernah meluluskan lesen kepada Lynas untuk memulakan operasinya di Gebeng dekat Kuantan, sehingga projek itu menepati syarat yang dikeluarkan oleh panel pakar antarabangsa yang dilantik kerajaan.

Menurutnya, Menteri Petroleum dan Perlombongan Australia Barat Norman Moore juga memberi jaminan bahawa tahap radioaktif yang dihasilkan projek itu adalah sangat rendah.

"Malah, saya juga mahu merujuk kepada apa yang telah disebut oleh ahli parlimen PAS sendiri iaitu Hulu Langat (Dr Che Rosli) yang merupakan pakar dalam bidang sains nuklear, bahawa projek ini lebih rendah radiasinya," kata beliau.

No comments:

Post a Comment