Umno melakukan pelbagai usaha untuk meningkatkan syiar Islam bukan sahaja dalam pembinaan masjid, tetapi bidang lain seperti pendidikan, perundangan, ekonomi dan sebagainya.
Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan berkata, perkara seperti itu tidak pernah dilakukan DAP hingga ke hari ini.
“Berapa banyak masjid dibina DAP?
“Apa sahaja berkaitan Islam seperti pelaksanaan hukum hudud dan sebagainya ditentang secara terang-terangan oleh DAP.
“Satu perkiraan politik yang amat silap apabila membandingkan DAP lebih baik daripada Umno hanya bertujuan memancing undi bukan Melayu menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13),” katanya ketika diminta mengulas kenyataan Datuk Husam Musa semalam yang menyifatkan DAP lebih baik daripada Umno.
Menurutnya, kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri Kelantan itu adalah silap kerana beliau tidak menilai sumbangan Umno bagi meninggikan syiar Islam di negara ini.
Husam turut merujuk penentangan DAP terhadap keputusan Kerajaan Pusat yang mengisytiharkan darurat di Kelantan pada 1978 dan peruntukan disalurkan kerajaan DAP Pulau Pinang kepada masjid di negeri berkenaan.
“Berapa banyak peruntukan DAP salurkan kepada masjid di Pulau Pinang berbanding apa dilakukan BN sebelum 2008 lalu?
“Jangan jadikan dua isu ini sebagai kayu ukur kepada Umno, sebaliknya dia (Husam) perlu lihat apa yang dilakukan oleh Umno selama ini bagi meninggikan syiar Islam,” katanya.
Sehubungan itu, beliau harap masyarakat Melayu dan Islam dapat membuat penilaian tepat mengenai kenyataan itu.
Katanya, kenyataan itu sama sepertimana dilakukan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang sentiasa pertahankan DAP walaupun parti itu sentiasa menentang dasar perjuangan Pas. -Sinar Harian
No comments:
Post a Comment