Wednesday, 10 October 2012

Pemuda Pas Dakwa Pakatan Tidak Perlu Bantuan Soros Dalam PRU-13

KUALA LUMPUR - Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mendakwa parti itu tidak memerlukan `sentuhan’ George Soros bagi menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13. 

Ketua Penerangannya, Riduan Mohd. Nor mendakwa, pakatan pembangkang sudah memiliki ramai pakar dan ahli politik yang hebat dan cukup mengenali `sepak terajang’ politik negara. 

“Malah, kami juga memiliki ramai dermawan ikhlas yang sanggup menyumbangkan harta dan wang ringgit demi perjuangan membela rakyat. 

“Pakatan juga sudah menyediakan pemimpin muda yang mampu menggalas tugas negara pada bila-bila masa diperlukan,” dakwanya melalui satu kenyataan media hari ini. 

Justeru, Riduan mendakwa, Kenyataan Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa memberi undi kepada pembangkang sama seperti mengundi Soros satu kesilapan. 

Dakwa beliau, tuduhan tersebut tidak membawa makna yang besar kerana pakatan pembangkang kerana tidak mengenali individu itu apatah hendak berbaik dan meminta pertolongan. 

Media pada 7 Oktober lalu melaporkan Mahathir menyifatkan memberi undi kepada pembangkang sama seperti mengundi Soros iaitu penyangak mata wang yang kejam. 

Beliau menegaskan, Soros menggunakan wang beliau bagi meletakkan calon pilihannya untuk memerintah negara-negara yang disasarkan. 

Bagi Malaysia, katanya, Soros memilih pemimpin pembangkang seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melakukan pertukaran rejim dengan menjatuhkan kerajaan sedia ada. – mynewshub.my

No comments:

Post a Comment