Saturday, 27 October 2012

Turun Padang, Gempur Sekarang, Jangan Tunggu Hingga Semboyan Pilihanraya – Ahmad Maslan

Pengerusi Biro Publisiti Dan Penerangan Barisan Nasional (BN), Datuk Ahmad Maslan menasihatkan jentera parti untuk tidak menunggu sehingga semboyan pilihan raya dibunyikan Datuk Seri Najib Razak, sebaliknya sudah boleh turun padang untuk berjumpa rakyat khususnya menyebarkan risalah-risalah kempen kepada rakyat di akar umbi. 

Beliau berkata demikian selepas membuat tinjauan mesar di Pasar Borong Selayang bersama jentera BN Selayang dengan mengedarkan lebih 3,000 risalah Bajet 2013. 

“Kita jangan tunggu sehingga ke saat akhir, sebaliknya program tinjauan mesra, program yang dipelopori YAB Perdana Menteri dan Timbalannya, elok untuk kita pimpinan di bawah ini turuti kerana ia mudah, tidak melibatkan kos yang tinggi namun ianya memberikan kesan yang sangat baik kepada masyarakat di akar umbi. 

“Ia baik dilaksana dan dibuat di tempat-tempat strategik dan menjadi tumpuan ramai dan lebih elok jika ia bersekali dengan kompenan BN sebagai satu pasukan. Contohnya hari ini, tinjauan ke Pasar Borong Selayang, kita dapat berjumpa ramai orang, malah laungan 1Malaysia tadi dari pengunjung pasar membuktikan bahawa Gagasan 1Malaysia yang diilham YAB Perdana Menteri dapat diterima oleh masyarakat dari segenap lapisan,” ujarnya selepas membuat tinjauan mesra di pasar Borong Selayang, di sini hari ini. 

Turut sama dalam tinjauan tersebut ialah Datuk Subahan Kamal, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Taman Templer, Jessie Ooi, Pegawai Penyelaras Parlimen Selayang, Datuk Sohaimi Shahadan, Pengerusi Pemuda BN Selayang dan kepimpinan BN Selayang yang lain. 

“Usaha ini perlu kita lakukan di semua tempat, di seluruh negara. Hari ini kita di Pasar Borong Selayang ini, ianya menjadi tumpuan orang ramai. Risalah-risalah penerangan, tidak semestinya mengenai Bajet 2013, tetapi juga risalah-risalah penerangan mengenai dasar-dasar kerajaan dapat diedarkan ke seluruh negara oleh jentera-jentera penerangan BN bahagian dan negeri. 

“Edar dari sekarang, jangan tunggu pilihanraya baru nak edar. Ianya kena diedarkan secara berkala, secara kerap di tempat tumpuan-tumpuan,” ujarnya yang juga Ketua Penerangan UMNO. 

Dalam masa yang sama, beliau melihat langkah mengumumkan calon pilihan raya lebih awal mempunyai kesan positif dan negatif. 

“Yang baiknya, calon yang dipilih itu boleh mengerakkan jentera dan bekerja dengan lebih awal namun kesan buruknya, ianya akan memberikan kesan kepada mereka yang tidak terpilih. 

“Orang yang kecil hati kerana tidak terpilih itu lebih panjang masanya. Katakanlah calon yang sedia ada sekarang tidak dapat jadi calon, tentunya ia mempunyai banyak masa memikirkan tentang perkara-perkara yang boleh menyebabkan usaha-usahanya selama ini menjadi sia-sia, usaha penyokong-penyokongnya menjadi sia-sia dan boleh menyebabkan wujud usaha-usaha untuk memboikot calon yang dipilih kelak. 

“Namun, kita belum ada cadangan untuk mengumumkan calon lebih awal dan pucuk pimpinan pun tidak pernah memberikan komitmen itu tetapi percayalah bahawa di satu-satu tempat itu ada banyak winnable candidate, lebih dari seorang tetapi yang akan dapat hanya seorang, jadi pada pandangan saya, kepada mereka yang tidak dapat, ia bukanlah penghujung dunia untuk mereka, ada banyak lagi rezeki lain dan jika mereka terus menunjukkan kesetiaan pada parti, ada banyak lagi perkara-perkara lain yang mereka akan dapat daripada kesetiaan mereka itu,” ujarnya lagi. -MediaUMNO

No comments:

Post a Comment