Wednesday, 17 October 2012

Speaker Tegur Menteri Kerana Beri Ruang MP Lain Ganggu

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia menegur beberapa menteri dan timbalan menteri kerana memberi ruang kepada wakil rakyat lain 'mengganggu' sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2013. 

Sesi penggulungan peringkat dasar yang bermula kelmarin, beberapa kali menjadi riuh apabila ramai anggota Parlimen pembangkang kerap mencelah untuk mengemukakan soalan tambahan di luar isu yang dibahaskan sehingga menyebabkan perjalanan mesyuarat terganggu dan berlarutan.

Pandikar Amin bertegas tidak membenarkan menteri dan timbalan menteri yang menggulung perbahasan memberi laluan kepada anggota Parlimen lain mencelah, serta meminta mereka mempercepat penggulungan masing-masing.

"Baru sahaja saya tegur tadi bahawa masa tak mengizinkan (untuk celahan). Kalau ahli-ahli Yang Berhormat tak dengar lagi, saya akan arahkan timbalan-timbalan saya supaya setiap kementerian hadkan 20 minit. 

"Saya boleh buat begitu di bawah Peraturan Mesyuarat. Jangan ada yang pertikai itu," katanya apabila keadaan menjadi kecoh semasa giliran Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Abu Seman Yusop menggulung perbahasan. 

Bagaimanapun, beberapa anggota Parlimen termasuk Azan Ismail (PKR-Indera Mahkota) dan N Gobalakrishnan (Bebas-Padang Serai) masih cuba mencelah dan ini membuatkan Pandikar Amin hilang sabar.

"Kalau saya tak tegas macam mana. Saya perlu menguruskan masa. Bila kita ambil tindakan keras, semua tak senang hati. 

"Hati siapa yang dijaga ni Yang Berhormat. Sekali-sekala jagalah hati orang yang duduk di sini (merujuk kepada Speaker). Seorang buat hal, semua kena. 

"Lain kali jangan buat hal. Bertimbang rasalah kepada orang lain bila nak bercakap," katanya.

Terdahulu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar turut membuat teguran sama semasa sesi penggulungan oleh Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Heng Seai Kie, yang bertukar kecoh apabila ramai wakil rakyat pembangkang tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan.

Antara ahli Parlimen tersebut termasuk Zuraida Kamaruddin (PKR-Ampang) yang mengulangi isu yang sama iaitu rasa tidak puas hati dengan ketidakhadiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang memangku jawatan menteri di kementerian itu serta mempertikai pelantikan berkenaan. 

Bagaimanapun, dakwaan itu dipatahkan Datuk Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) ketika mencelah menyebut tentang laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris mengenai ketua Wanita PKR. 

Beliau berkata dalam laporan akhbar berkenaan yang merujuk kepada anggota Parlimen Ampang itu "She walks like a man and talk like a man", tetapi kenapa tidak ada komen mengenai perkara itu.

R Sivarasa (PKR-Subang) kemudian bangun untuk membela Zuraida dengan mengemukakan peraturan mesyuarat 36(9) yang menyentuh mengenai peribadi seseorang anggota Parlimen.

"Yang Berhormat Pasir Salak dikatakan melanggar peraturan mesyuarat 36(9) dengan menyentuh peribadi seseorang di dalam Dewan. Saya tahu Yang Berhormat tidak ada niat jahat terhadap perkara itu. 

"Yang Berhormat sekadar merujuk kepada siaran akhbar. Walaubagaimanapun, saya rasa pihak Ampang tersinggung dalam perkara ini," kata Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Ronald Kiandee ketika sesi penggulungan Rang Undang-undang Perbekalan 2013 peringkat dasar bagi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. 

Namun, Tajuddin berkeras dengan menyatakan beliau hanya memetik siaran akhbar dan enggan menarik balik mahupun memohon maaf di atas kenyataan yang dibuatnya. 

"Saya tidak akan meminta maaf, tidak akan tarik balik. Yang Berhormat boleh ambil tindakan terhadap saya, itu saja. Yang Berhormat berdepan dengan salah orang.

"Sebelah sana yang mengutuk perdana menteri, kutuk Datuk Najib, kutuk orang itu kutuk orang ini, niat jahat kenapa tidak ada tindakan terhadap mereka Kenapa kamu semua tidak pernah minta maaf?" katanya. 

Timbalan Speaker kemudian mententeramkan keadaan, dan meminta Heng supaya tidak melayan dan membalas serangan daripada anggota pembangkang dan meminta beliau meneruskan hujah penggulungan. 

Sekali lagi keadaan kecoh apabila N Gobalaskrishnan (BEBAS-Padang Serai) mencelah dan mempersoal kewibawaan Zuraida selaku ahli Parlimen pembangkang wanita yang menyertai rombongan menaiki jet peribadi dan mendapat layanan mewah. 

"Saya minta timbalan menteri memberikan penjelasan kerana saya tidak mahu berada dalam keadaan trauma ketika keluar dari dewan yang mulia ini," katanya.

Sementara itu, dalam hujah penggulungannya, Heng berkata susulan dasar sekurang-kurangnya 30 peratus wanita di peringkat pembuat keputusan dalam sektor korporat yang dipersetujui kerajaan pada 26 Jun 2011, kementerian telah menjalankan program pengarah wanita. 

Katanya, bagi tahun 2012, kementerian menetapkan sasaran untuk melatih seramai 200 orang pengarah wanita dan setakat Oktober tahun ini, seramai 112 wanita telah menjalani latihan itu. 

"Seramai 88 pengarah lagi akan menjalani latihan itu pada Oktober
hingga Disember 2012. Dan pada tahun 2013, kementerian menetapkan sasaran untuk melatih 500 orang pengarah wanita," katanya. 

Berhubung perwakilan wanita dalam Dewan Rakyat, beliau berkata ia
bergantung kepada pencalonan parti politik yang berkaitan. 

"Kalau kita bandingkan peratusan calon wanita yang telah diamanahkan untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-12, didapati bahawa peratusan wanita yang dicalonkan BN adalah lebih tinggi daripada pakatan pembangkang. Cuma yang menang dan hadir ke dewan ini, calon wanita dari pakatan pembangkang lebih ramai," katanya. 

Beliau berkata cadangan untuk meningkatkan bilangan perwakilan wanita di dalam Dewan telah diangkat untuk dibincangkan kepada parti-parti berkenaan dan menunggu pelaksanaannya pada masa akan datang. 
- Bernama

No comments:

Post a Comment