Thursday, 6 September 2012

Gambar Hina Nik Aziz, Pemuda Pas Tuntut Polis Jalankan Siasatan Segera

KUALA LUMPUR – Pemuda PAS Tambun, Perak membuat laporan polis berhubung penyebaran gambar yang didakwa sebagai menghina Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menerusi laman sosial internet.

Ketuanya, Zairul Azrun Zainal Abidin berkata, laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Senam, Ipoh tersebut dibuat kerana penghinaan itu dilihat sangat biadap dan keterlaluan.

“Dalam gambar itu mengandungi wajah Nik Abdul Aziz dengan tajuk disebelahnya ‘Extrem Islam’ dan perincian seperti ‘Fanatik’, ‘kasar dan kesat’, ‘mewajibkan yang tidak wajib, ‘berprasangka buruk’ dan ‘mengkafirkan orang Islam’.

“Fitnah yang dilemparkan ini sangat berat terutamanya menuduh beliau mengkafirkan orang Islam,” dakwanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Zairul Azrun berkata, pihaknya mengutuk fitnah yang dilemparkan terhadap Nik Abdul Aziz melalui gambar tersebut dan menyifatkan ia sebagai satu perbuatan yang melampau.

Justeru, kata beliau, Pemuda PAS Tambun berharap pihak polis menjalankan siasatan segera berhubung gambar tersebut dan seterusnya mengenakan tindakan terhadap mereka yang terlibat.

Tambah beliau, pihaknya turut membuat laporan kepada Jabatan Agama Islam Perak mengenai fitnah yang disebarkan gambar tersebut.

No comments:

Post a Comment