Friday, 21 September 2012

Bersikap Tenang Dan Bijaksana Dalam Berhadapan Dengan Provokasi Musuh Islam

KUALA LUMPUR - Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) menyeru umat Islam negara ini supaya bersikap tenang dan bijaksana dalam berhadapan dengan penghinaan yang dibuat pihak anti Islam ke atas Nabi Muhammad SAW melalui filem Innocence of Muslims.

Presidennya, Dr. Mohd. Parid Sheikh Ahmad berkata, meskipun Ikram mengecam keras kewujudan filem yang melampau tersebut kerana menghina Nabi Muhammad dengan pelbagai tuduhan palsu tetapi umat Islam perlu optimis bahawa Allah akan memelihara kesucian agama Islam.

“Fahamilah bahawa pempertahan dan membela rasul tidak terbatas dengan slogan dan demonstrasi sahaja tetapi dengan mengikuti jejak perjalanan hidup, perjuangan serta menegakkan Islam dalam kehidupan peribadi, masyarakat dan negara.

“Tindakan menunjuk perasaan biarlah berlangsung secara aman dan ditujukan kepada peribadi atau kumpulan yang membuat onar dan kesalahan. Bukan kepada peribadi atau pihak-pihak yang tidak terlibat melakukannya. Sikap adil harus kekal dalam semua situasi, marah atau suka,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Sehubungan itu juga, Mohd. Parid berkata, umat Islam Malaysia diseru tidak terlibat dengan tindakan provokasi yang memarakkan permusuhan, menebalkan kebencian, pemusnahan harta benda, rusuhan dan seumpamanya.

Tambah beliau, muslim seharusnya membuka laluan dakwah seluas-luasnya, menerusi langkah-langkah kebijaksanaan, nasihat serta dialog yang terbaik.

Malah, katanya, tuduhan dan tohmahan seperti itu pernah berlaku kepada semua rasul dan para rasul Allah menghadapinya dengan penuh bijaksana serta tidak terpengaruh dengan unsur-unsur provokasi yang sengaja dibuat pihak musuh.

“Seperti firman Allah, `sesungguhnya kami tetap memelihara dan mengawalmu dari kejahatan orang-orang yang mengejek-ejek dan mempersendakanmu,” katanya lagi. – mynewshub.my

No comments:

Post a Comment