Friday, 7 September 2012

Lagi Pemimpin Pas Dakwa Polis 'Double Standard'

KUALA LUMPUR - Seorang lagi pemimpin PAS mempertikai pihak polis dengan mendakwa pasukan tersebut bersikap ‘double standard’ dalam menjaga keselamatan melibatkan pemimpin pakatan pembangkang berbanding pemimpin kerajaan.

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Dr. Raja Ahmad Iskandar hari ini mendakwa polis mengamalkan sikap pilih kasih dengan mengaitkan insiden `serangan’ ke atas pemimpin pakatan pembangkang di sebuah masjid di Alor Setar, Kedah beberapa hari lalu.

“Jika insiden pijak gambar dijadikan suatu kesalahan serius, bagaimana dengan insiden menyerang pemimpin pakatan pembangkang di sebuah masjid di Alor Setar beberapa hari lalu.

“Apakah niat untuk mencederakan dalam masjid tidak dianggap serius. Adakah setangkas itu pihak polis bertindak menangkap penyerang yang bertindak menyimbah cat serta cuba membakar rumah seorang pemimpin PAS sebelum ini,” soalnya melalui satu kenyataan media hari ini.

Media hari ini melaporkan PAS mendakwa pasukan polis bersikap ‘double standard’ terhadap menjaga keselamatan melibatkan pemimpin pakatan pembangkang berbanding pemimpin kerajaan.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dipetik mendakwa, jika polis tidak mahu mengawal keselamatan rakyat adalah lebih baik mereka panggil pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengawal keamanan negara.

Dakwa beliau, polis gagal menangani serangan yang dilakukan pihak tertentu terhadap ceramah pakatan pembangkang, menyerang pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR), membakar rumah pemimpin PAS serta membaling selipar ke dalam masjid. – Mynewshub

No comments:

Post a Comment