Thursday, 2 August 2012

Kerja Penat Di Serambi Mekah Sebab Tak Puasa

KOTA BHARU - “Saya bekerja kuat sebab itulah tidak berpuasa,” alasan seorang pemuda berumur 37 tahun ketika ditahan makan di sebuah kedai kopi milik peniaga Siam di Cabang Tiga Perol, Peringat di sini, oleh Majlis Daerah Ketereh (MDT) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jheaik), semalam.

Bagaimana pun, alasan pemuda yang sihat tubuh badan itu tersebut tidak berjaya melepaskan dirinya daripada dikenakan denda maksimum RM500 dan jika disabitkan kesalahan kali kedua akan didenda sebanyak RM1,000.

Pada masa yang sama turut ditahan, seorang warga emas berumur 69 tahun yang bersama pemuda itu dalam kedai tersebut, namun dia dilepaskan selepas mendakwa mempunyai penyakit asma dan menunjukkan kad kesihatan hospital yang dibawa bersama.

Sebelum itu, Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI), Jheaik dan polis mengadakan Operasi Jaring di sekitar bandar ini bermula dari jam 10 pagi hingga 1 tengah hari.

Dalam operasi tersebut juga, MPKB-BRI berjaya menahan 11 pelajar berusia antara 14 hingga 18 tahun yang dilihat dalam keadaan mencurigakan ketika berada di taman permainan di Taman Bahagia, Wakaf Mek Zainab, di sini.

Ketua Penolong Pengarah, Ramli Che Hussin berkata, semasa operasi, pihaknya melihat sekumpulan remaja melepak di sebuah taman permainan dan berpakaian sekolah.

“Apabila melihat kelibat kenderaan penguatkuasa, dianggarkan kira-kira 40 motosikal yang ditunggangi oleh beberapa orang remaja bertindak melarikan diri.

“Bagaimanapun pihak kami berjaya menahan tiga pelajar lelaki dan lima pelajar perempuan yang tidak sempat melarikan diri sebelum menahan tiga lagi di sekitar kawasan berhampiran,” katanya.

Menurutnya, semasa ditahan antara alasan yang diberikan oleh mereka ialah tujuan berada di taman tersebut adalah untuk menunggu rakan-rakan yang lain sebelum masuk ke sekolah yang bermula pada sesi petang.

Ramli berkata, semua mereka adalah pelajar dan diserahkan kepada Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan untuk tindakan selanjutnya.

“Pada awalnya kami merancang untuk mengadakan Operasi Jaring bagi menangkap orang Islam yang tidak berpuasa, bagaimanapun terpaksa diubah kepada operasi biasa berikutan tiada tangkapan membabitkan orang yang tidak berpuasa,” katanya. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment