Thursday, 23 August 2012

Hubungan PAS-DAP Tidak Terjejas Ekoran Kenyataan Karpal - Nik Aziz

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menyifatkan kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang mempertikaikan keupayaan hukum hudud untuk mengatasi jenayah sama sekali tidak menggugat hubungan baik antara dua parti itu.

Katanya, meskipun pemerintahan secara Islam termasuk hudud menjadi dasar perjuangan politik Pas, ia bukan bawah undang-undang Pas, sebaliknya hukum Islam yang dilaksanakan di beberapa negara termasuk Arab Saudi yang jelas dapat dilihat berjaya mengurangkan kadar jenayah di negara itu.

"Isu ini tidak perlu dibincang kerana ia adalah hukum agama, bukan ideologi, kalau hukum dunia, kita boleh tolak, tetapi sebagai orang Islam, (jika) tolak agama bermakna akan terima pembalasan di akhirat kelak," katanya.

Menurutnya, dibandingkan dengan undang-undang ciptaan manusia, termasuk hukuman gantung sampai mati, hudud jauh lebih baik walaupun pencuri dipotong tangannya atas kesalahan itu.

"Sekurang-kurangnya, dia (pesalah) masih boleh bekerja dan hukuman yang diterima, boleh jadi pengajaran kepada masyarakat. Undang-undang Islam sudah semestinya cukup adil. Buat salah, terima hukuman yang setimpal dengan kesalahan," katanya kepada pemberita pada majlis Sambutan Hari Raya Pas Pengkalan Chepa di Kompleks Purnama, di sini, semalam.

Menteri Besar Kelantan itu menjelaskan, kenyataan Karpal sedikit pun tidak tidak menjejaskan hubungan Pas dengan DAP, mahu pun hubungan peribadi sesama pemimpin parti itu.

"Tidak timbul soal perpecahan kerana sekarang kita tidak menghadapi masalah dan perkara ini hanya diperbesar-besarkan bagi menimbulkan kekeliruan," katanya.

Sementara itu, dalam satu entri ringkas menerusi laman sosial Facebook, semalam, Nik Aziz mahu pemimpin Umno memberi respons berhubung kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek mengenai isu hudud.

Katanya, Soi Lek sebelum ini secara berterusan menghina hudud dan pernah melabel seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno dari Johor sebagai hilang akal kerana mencadangkan negeri itu melaksanakan hukum hudud.

“Saya hendak membaca respons pemimpin Umno terhadap kenyataan Presiden MCA yang menyatakan Adun Umno hilang akal kerana mencadangkan hudud," katanya.

Dua bulan lalu, Adun Kemelah dari Umno, Datuk Ayub Rahmat, mengambil langkah berani apabila mencadangkan Johor mengambil inisiatif menjadi negeri pertama melaksanakan hukum hudud.

Tindakan Ayub itu mendapat tentangan hebat daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) sendiri, termasuk MCA dan Gerakan, yang lantang menolak cadangan itu sehingga Soi Lek menganggap Ayub hilang akal.

Dalam perkembangan lain, Nik Aziz menyuarakan penghargaan kepada semua pihak yang bermurah hati menyumbang dana untuk projek Lebuh Raya Rakyat Kota Bharu-Kuala Krai dengan kos RM1.8 bilion.

“Sokongan rakyat tidak pernah berkurangan di Kelantan, malah Pas turut terima sokongan dari seluruh negara termasuk di luar Malaysia. Sokongan yang mereka berikan terhadap projek ini amat kami hargai walaupun sebelum ini mendapat pelbagai tohmahan negatif daripada parti lawan," katanya.

Nik Aziz berkata, pembinaan lebuh raya itu dijalankan dengan konsep wakaf dan ia bukan derma.

"Usaha kita adalah memperluaskan konsep wakaf. Jika dulu, kita wakaf barang-barang kepada masjid untuk digunakan orang ramai, jadi konsep yang sama digunakan dalam projek pembinaan lebuh raya untuk kemudahan rakyat apabila ia siap kelak," katanya. -Sinar Harian.

No comments:

Post a Comment