Friday, 24 August 2012

Isu Air : Bil Air Meningkat 20 Peratus Walaupun Beberapa Hari Penggunaan

TAL TUJOH (PASIR MAS)- Penduduk di Kampung Tal Tujoh berharap, pihak berkenaan menyiasat punca kenaikan bil, meskipun berlaku krisis air penghujung Jun lalu.

Penduduk, Wan Johar Wan Sulaiman berkata, bil air yang berakhir 9 Ogos lalu, dikatakan meningkat 20 peratus, ketika berlakunya krisis air.

Menurutnya, kebiasaannya, bil airnya hanya RM60 sebulan, namun ketika krisis air baru-baru ini, dia mendapati bil airnya mencecah sehingga RM85.

“Saya segera memeriksa meter air dan mendapati ia bergerak seumpama air sedang digunakan.

“Kini baru saya percaya kata-kata penduduk, walaupun air tiada, namun angin yang keluar, tetap perlu dibayar oleh pengguna,” katanya, semalam.

Menurutnya, dia hanya dapat menggunakan air selama beberapa hari pada bulan lalu, namun bil yang diterima seumpama digunakan ketika musim perayaan.

Katanya, bil yang tiba 10 hari sebelum Aidilfitri ini, mengejutkannya kerana merasakan dirinya seumpama ditipu.

Katanya, dia yakin, bil untuk bulan Ogos ini, akan mencecah sehingga RM120 sebulan.

“Jika pihak berkenaan tidak menyiasat perkara ini, saya yakin lebih ramai penduduk akan berasa ditipu.

“Secara tidak langsung akan meningkatkan lagi perasaan tidak puas hati penduduk terhadap pihak berkenaan,” katanya, semalam.

Wan Johar berkata, mereka berharap pihak berkenaan sedia melupuskan bil ataupun memberi potongan harga bagi bil terdahulu, agar pengguna mendapat keadilan yang sewajarnya. -Sinar Harian.

No comments:

Post a Comment