Sunday, 10 March 2013

OPS DAULAT:106 Orang ditahan sehingga jam 5ptg Ini.#Lahad Datu



KUALA LUMPUR - Pasukan keselamatan pada Sabtu meningkatkan kekuatan dengan penambahan anggota ke ground zero bagi mempercepat proses membersihkan Lahad Datu daripada penceroboh militan, sekali gus menamatkan konflik pencerobohan di daerah itu.
Kor bantuan tempur dari Kuching berlepas ke Lahad Datu hari ini, hari kelima Operasi Daulat dilancar, bagi membantu operasi menggempur habis-habisan dan memburu saki-baki penceroboh di Kampung Tanduo dan Tanjung Batu. 

Operasi susulan dan penggeledahan bagi memburu saki-baki penceroboh militan hari ini kembali menyaksikan kejadian berbalas tembak antara pasukan keselamatan dan penceroboh militan itu. 
Kawasan Felda Sahabat 16 turut digegar dengan beberapa bunyi dentuman bom dari kawasan zon merah pada pukul 1 pagi dan 7.30 pagi dengan bunyi pesawat dan helikopter berlegaran di ruang udara kawasan ground zero itu. 
"Seorang penceroboh bersenjata ditembak mati dalam kejadian di Tanjung Batu pada pukul 8 pagi ini, menjadikan jumlah keseluruhan musuh yang terbunuh setakat ini ialah 53 orang," kata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar. 
Di sebalik langkah ofensif pasukan keselamatan menggempur Kampung Tanduo dan Kampung Tanjung Batu, kira-kira pukul 10 pagi ini polis mengesan beberapa orang yang mencurigakan di kawasan pantai Tanjung Batu. 
Seramai 27 orang yang menaiki tiga bot ditahan berhampiran kawasan pantai Kampung Tanjung Batu dan kesemua mereka diserah ke Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu untuk siasatan. 
"Tiada senjata ditemui pada mereka," kata Ismail. 
Jumlah mereka yang ditahan kerana disyaki mempunyai kaitan dengan penceroboh militan sehingga 5 petang ini ialah 106 orang.Mengenai dakwaan bahawa pihak musuh menawan beberapa individu, Ismail menegaskan: "Tiada orang awam atau polis yang menjadi tawanan musuh". Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata penceroboh militan dari selatan Filipina itu kini terperangkap dalam kepungan di Kampung Tanduo dan Kampung Tanjung Batu memaksa mereka bergerak dalam kumpulan kecil. 
Kawalan ketat yang dilakukan di lokasi itu sejak Operasi Daulat dilancarkan tidak memungkinkan penceroboh bersenjata itu memboloskan diri, katanya. 
"Mereka tidak mungkin lepas daripada kepungan. Mereka cuma dapat keluar dari Kampung Tanduo ke Kampung Tanjung Batu melalui jalan hutan sekunder serta berpaya, bukan melalui jalan darat dan laut...jadi, kami akan perketat kepungan di kawasan itu," katanya. 
Zulkifeli berkata sejak gerakan ofensif dan beberapa serangan susulan dilancarkan penceroboh kini mula menyembunyikan diri di dalam semak serta hutan tebal dan pokok-pokok besar, bukan lagi di dalam rumah penduduk. 
Pasukan keselamatan melancarkan gerakan ofensif terhadap kumpulan penceroboh militan dari Sulu pada 5 Mac. 
Sepanjang konflik yang bermula 12 Februari itu seramai lapan anggota polis terkorban dan 53 musuh ditembak mati. -Bernama

No comments:

Post a Comment