Friday 30 March 2012

Pas Akan Terus Guna Kempen 'Undi, Syurga' Dalam Pilihanraya

KOTA BHARU - Pas tetap dengan pendiriannya meneruskan kempen menegakkan syiar Islam dengan menekankan soal syurga apabila seseorang itu melahirkan sokongan kepada parti itu semasa pilihan raya, kata Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Berang dengan dakwaan Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan, Nik Aziz berkata, pemimpin Barisan Nasional (BN) perlu mempelajari agama terdahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Tiap-tiap orang yang bercakap soal Islam dia akan sebut soal syurga dan neraka, dia (Datuk Abd Rahman) kena ingat, bercakap ini ada soal pahala dan dosa, jangan cakap sembarangan,” kata beliau ketika ditemui selepas kuliah Jumaat di Dataran Ilmu pagi ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Abd Rahman ketika Wacana Sinar Harian ke-12 kelmarin, yang mendakwa Pas melakukan rasuah politik paling tinggi dengan menjanjikan syurga kepada pengundi.

Abdul Rahman berkata, pembangkang menuduh BN rasuah, namun mereka sendiri terlupa turut melakukan perkara sama pada setiap pilihan raya.

Nik Aziz berkata, Nabi Muhammad SAW sebagai contoh pemimpin yang sentiasa mengingatkan umatnya mengenai hal dosa dan pahala yang membawa manusia itu ke syurga atau neraka.

Dalam pada itu, Nik Aziz melahirkan rasa gembira dengan tindakan Kerajaan Pusat yang membantu dalam membangunkan Pelabuhan Tok Bali di Pasir Puteh yang dilancarkan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V semalam.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, beliau meminta projek itu dibangunkan sejak pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad, namun bekas Perdana Menteri itu memberikan pelbagai alasan tidak munasabah.

Melalui projek itu katanya, beliau mengharapkan Kelantan terkenal di peringkat antarabangsa dengan menjadi persinggahan kapal-kapal dagang dari negara-negara Timur.

“Insya-Allah selepas ini kita akan mendapat persinggahan kapal-kapal dari negara Arab dan negara jiran Asia seperti China dan Kemboja.

“Kita bukan sahaja nak eksport barang kita sahaja, tetapi kita nak eksport perangai sekali, jangan menipu, berbohong dan caj keting, insya-Allah, ia jadi buah mulut, kepada masyarakat antarabangsa,” katanya.

Wednesday 28 March 2012

Kerajaan Kelantan Perlu Telus

KOTA BHARU- Kerajaan Negeri perlu lebih telus dalam merungkai isu membabitkan tanah rizab Melayu di negeri ini yang dipajak kepada syarikat bumiputera.

Naib Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk Nik Sapeia Nik Yusof berkata, tindakan itu penting bagi mengelak spekulasi negatif terhadap Kerajaan Negeri pimpinan Pas ini.

“Ketelusan Kerajaan Negeri dalam menjelaskan isu ini penting agar rakyat tidak merasakan diri mereka dipinggirkan dan menganggap kerajaan yang ada ini zalim.

“Sebagai sebuah kerajaan yang prihatin terhadap rakyat, Kerajaan Negeri lebih arif tentang tindakan sewajarnya dilakukan demi menjaga kebajikan rakyatnya,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pasir Tumbuh di sini, kelmarin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah akhbar arus perdana beberapa hari lalu yang mendakwa tanah rizab Melayu di negeri ini dipajakkan kepada syarikat bumiputera dalam tempoh agak lama.

Nik Sapeia berkata, penjelasan secara lebih terperinci berhubung tanah rizab Melayu perlu agr tidak timbul tanda tanya dan tanggapan negatif rakyat terhadap perkara itu.

“Tindakan berdiam diri akan menyebabkan rakyat merasa teraniaya dengan tindakan Kerajaan Negeri yang dilihat ghairah mengejar pembangunan walaupun tanpa perancangan teliti,” katanya.

Menurutnya, sebagai sebuah badan pentadbir di negeri ini, kerajaan negeri pimpinan Pas boleh melakukan apa sahaja untuk membangunkan kawasan ini, namun perlu menitik beratkan aspek ketelusan.

“Sebagai contoh, jika ada pemindaan berhubung akta tanah kerajaan, ia perlu dinyatakan kepada rakyat, walaupun pindaan itu dilakukan untuk satu jangka masa pendek atau sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata, begitu juga dengan projek Ladang Rakyat yang perlu dijelaskan di mana lokasi dan sejah mana perkembangannya dan bukan hanya memberikan hasil.

Tuesday 27 March 2012

Sultan Kelantan terima darjah kebesaran Sultan Kedah

KOTA BAHARU - Sultan Kelantan Sultan Muhammad V hari ini menerima Darjah Kerabat Yang Amat Mulia Kedah (DK) daripada Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Negeri, Kubang Kerian di sini.

Pada majlis penganugerahan darjah kebesaran itu, Sultan Kedah diwakili Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tunku Bendahara Kedah Datuk Seri Utama Tunku Annuar Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Badlishah.

Turut hadir Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Faiz Petra, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.- Bernama

Sunday 25 March 2012

Kelantan Catat Pelaburan Paling Rendah Dalam Negara

KOTA BHARU - Kelantan merupakan negeri terendah yang mencatat nilai pelaburan iaitu tidak sampai satu peratus berbanding negeri lain di seluruh negara, kata Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin.

Awang Adek berkata, mengikut statistik tahun 2010, Kelantan hanya mampu mencatat nilai pelaburan RM187 juta daripada RM33 bilion keseluruhan nilai pelaburan negara.

“Jumlah itu lebih rendah berbanding negeri Perlis yang kecil mampu meraih nilai pelaburan mencecah hampir RM200 juta,”

“Ini menunjukkan Kelantan hanya berjaya mencatatkan 0.3 peratus daripada keseluruhan nilai pelaburan negara pada 2010,”katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Penganugerahan PIBG Cemerlang 2012 peringkat negeri di Bahagian Teknologi Pelajaran, Pengkalan Chepa, di sini, semalam.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan berkata, kekurangan pelabur berminat untuk melabur modal di negeri ini berikutan kekurangan kemudahan asas yang disediakan kerajaan negeri itu, terutama bekalan air bersih.

Keadaan ini menyebabkan tidak ada aktiviti ekonomi yang mampu menyumbang kepada pendapatan negeri dan rakyatnya.

“Sebab itu, masalah air dan perumahan menjadi agenda penting kerajaan dalam untuk mengatasi masalah itu, jika dapat mengambil alih teraju pentadbiran negeri Kerajaan Kelantan.

“Kegagalan kerajaan menarik lebih ramai pelabur menaanam modal di negeri ini menyebabkan rakyat, khasnya ramai anak muda berhijrah mencari pekerjaan di luar negeri yang sekali gus memberi kesan samnpingan masalah sosial kepada ibu bapa dan keluarga mereka,”katanya.

Beliau berkata, Kelantan masih memerlukan 47,000 unit rumah untuk menampung golongan miskin tegar yang masih tidak memiliki kediaman sendiiri dan jumlah itu merupakan yang tertinggi di seluruh negara.

Ditanya mengenai cadangan Pengerusi Badan Perhubungan Umno, Datuk Seri Mustapa Mohamaed, supaya Kelantan diberi kelonggaran mengumumkan nama calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13 nanti, Awang Adek yang juga Ketua Umno Bahagian Bachok berkata, langkah itu perlu diberi perhatian istimewa oleh pucuk pimpinan parti.

Sunday 18 March 2012

KOTA BHARU- Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah wajar bertanding berdasarkan keupayaannya, kata Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (Dun), Datuk Mohd Alwi Che Ahmad.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kok Lanas berkata, sewajarnya Tengku Razaleigh bertanding berdasarkan kesihatan yang lebih baik berbanding Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Nik Aziz yang tidak sihat boleh bertanding, inikan pula Ku Li yang lebih sihat, sudah tentu boleh bertanding. Namun, semua senarai calon bergantung kepada Perdana Menteri,” katanya kepada Sinar Harian.
Mohd Alwi berkata, soal pencalonan Tengku Razaleigh tidak perlu dibincangkan secara terbuka kerana ia merupakan di bawah bidang kuasa pucuk pimpinan.

Sementara itu, Bekas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Tan Sri Annuar Musa berkata, hubungan dalam kalangan pemimpin Umno dengan Tenku Razaleigh sangat baik dan tidak mempunyai masalah.

“Saya tidak menafikan isu Ku Li timbul apabila media membangkitkan nama pemimpin ini, sedangkan tiga hari sebelum tersiarnya isu Ku Li, saya bersama Datuk Mustapha Mohamad dan Datuk Awang Adek duduk berbual semeja.

“Saya percaya, sumber berita Ku Li tidak bertanding ini bukan datang dari orang Umno, sebaliknya dari orang luar Umno. Kenapa orang tidak tanya Nik Aziz, Haji Hadi bertanding atau tidak,” katanya.

Kesal dengan isu terbabit, beliau mengakui sebagai ‘orang lama’ dalam bidang politik berpendapat, Ku Li tetap diperlukan dan menjangkakan namanya akan diletakkan oleh pucuk pimpinan.

“Kita boleh ramal berdasar kebijaksanaan kepimpinan yang ada pada Ku Li dan Ku Li akan terima kepimpinan sebagai calon kali ke-10 (termasuk Pilihan raya kecil).

“Apa faktornya... Sebab Ku Li lebih sihat daripada Nik Aziz dan rekod kemenangan Ku Li lebih banyak,” katanya.

Saturday 17 March 2012

VETERAN DIBERI KURSUS MEDIA ALTERNATIF - RAIS

JELI - Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan bercadang menganjurkan kursus dan latihan berkaitan penggunaan Internet dan media alternatif kepada golongan veteran, kata Menterinya Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata, kursus dan latihan itu penting supaya golongan veteran yang masih "bertenaga" dapat memberi sumbangan serta tidak ketinggalan dalam era perkembangan pesat alam maya ini.

Katanya kursus itu tidak terlalu berat tetapi memadai bagi golongan veteran menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku dalam bidang tersebut dan memanfaatkan teknologi moden seperti Internet dan media alternatif termasuk Facebook.

"Kita ketahui perkembangan di alam maya terlalu banyak dan meluas, sekiranya seseorang individu yang masih bertenaga tidak mempunyai latar belakang dan
asuhan yang sederhana, maka kita akan ketinggalan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Penghayatan 1Malaysia di Pusat Dakwah, di sini
hari ini.

Rais berkata golongan muda lebih gemar menggunakan media alternatif untuk berkomunikasi dan pengetahuan menggunakan media alternatif oleh golongan veteran
akan menjadi kelebihan untuk mereka mendekati golongan muda.

Pada masa yang sama, beliau turut meminta anggota Mubarak yang mempunyai banyak pengalaman sama ada dalam kerajaan atau parti, membantu Barisan Nasional
(BN) memenangi pilihan raya umum ke-13 akan datang, termasuk merampas kembali Kelantan daripada Pas.

Beliau berkata berdasarkan kepada keinginan rakyat Kelantan, mereka kini mahukan perubahan berlaku di negeri ini dan kerajaan BN pula mahukan rakyat memberi mandat kepada mereka agar perubahan yang diinginkan itu dapat dilaksanakan.

Sementara itu, Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, berkata beliau amat menghargai sumbangan daripada anggota Mubarak dan veteran
Umno bagi membantu BN memenangi pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata pemimpin muda masih memerlukan bimbingan daripada pemimpin veteran yang banyak pengalaman untuk membawa lebih kecemerlangan dalam
pembangunan di Kelantan. - Bernama

JANGAN TIKAM BELAKANG, UMNO NASIHAT AHLI - PRU 13

KOTA BHARU - Dua pemimpin Umno bersepakat bahawa tindakan menikam dari belakang antara anggota parti mampu menjejaskan peluang untuk menang dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), yang sekali gus boleh mengakibatkan parti ke­cundang lagi. 

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Hamzah Zainuddin dan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Fatmi Che Salleh berkata demikian ketika berucap pada Majlis Bicara Diambang PRU13 di Dewan Perhubungan Umno Negeri Kelantan di Jalan Tengku Chik di sini.

Hamzah, ahli Majlis Tertinggi Umno, yang menyokong pandangan Fatmi berkata, Umno perlu anggota yang mampu berjihad untuk me­negakkan perjuangan me­martabatkan bangsa, agama dan tanah air tetapi bukan mereka yang menggugat keharmonian parti untuk berdepan dengan PRU13.

“Tindakan sesetengah ahli yang menjejaskan kehar­mo­nian dalam parti akan mem­beri ruang dan peluang yang lebih mudah kepada musuh politik untuk menggagalkan perjuangan Umno bagi men­jamin kemenangan yang mutlak pada dalam PRU13,” katanya.

Lebih 500 orang hadir pada majlis itu termasuk Timbalan Ketua Umno Bahagian Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Ghani Wan Yusuf yang juga Pengarah Pilihan Raya Umum Barisan Nasional( BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Tan­jung Mas. Majlis dipengerusikan Datuk Ka­maruddin Abdullah.

Hamzah berkata, ahli Umno perlu mempertahan­kan perjuangan bangsa Me­layu sebagai platform meng­hadapi PRU13 yang mungkin berlaku tidak berapa lama lagi selain menyaksikan pertaru­ngan sengit antara parti-parti bertanding.

Sementara itu, Fatmi yang juga Ketua Umno Kota Bharu berkata, jentera parti perlu diperkukuhkan dalam bentuk perpaduan dan mereka yang cuba mencetuskan tindakan menikam dari belakang boleh membuat pilihan sama ada mahu terus kekal dalam parti atau sebaliknya.

Menurut­nya, sikap jujur dan ikhlas dalam perjuangan parti sudah mengambil tempat pada keseluruhannya dan Umno amat bangga perpaduan merupakan sebagai platform dan tulang belakang bagi kekuatan parti.

ZAID TANDING DI KOTA BHARU GUNA TIKET KITA

KOTA BHARU - Ketua Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita), Datuk Zaid Ibrahim mengesahkan tidak akan menerima tawaran mana-mana parti untuk membolehkan beliau bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) termasuk Pas, sebaliknya akan menggunakan platform partinya.

Sebelum ini, disebut-sebut Zaid akan bertanding di kerusi Parlimen Kota Bharu dengan mewujudkan kerjasama dengan komponen Pakatan Rakyat - Pas yang menyandang kerusi Parlimen Kota Bharu.

Beliau pernah bertanding di kerusi itu pada pilihan raya umum 2004 tetapi mempertahankannya empat tahun kemudian.

Namun, ia bukan halangan untuk bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri ini bertanding pada PRU13.

Menurutnya, beliau akan tetap bertanding atas dirinya sendiri - menggunakan tiket Kita dan yakin sokongan rakyat di kerusi Parlimen Kota Bharu terhadapnya masih ada selain akan terus mempergiatkan usaha menawan hati rakyat sebelum menghadapi PRU13.

"Saya sentiasa yakin, dan apa yang penting kini adalah berjumpa dan bersalaman dengan seramai-ramai rakyat khususnya di kawasan Parlimen Kota Bharu ini sebelum tibanya pilihan raya umum akan datang," katanya kepada media selepas melancarkan jentera parti pilihan raya Zaid Ibrahim di rumahnya di sini.

Thursday 15 March 2012

ZAID IBRAHIM LANCAR JENTERA PRU DI KOTA BHARU

SHAH ALAM - Ketua Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita), Datuk Zaid Ibrahim akan melancarkan jenteranya sebagai persiapan bertanding di kerusi Parlimen Kota Bharu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), esok.

Minggu lalu, Zaid mengesahkan beliau akan bertanding semula di Kota Bahru pada PRU13.

"Kami kena mulakan dari sekarang. Kita bukan parti yang besar, Kita bergantung pada sukarelawan-sukarelawan, yang akan membantu kami dalam pilihan raya umum kali ini," kata beliau ketika dihubungi Sinar Harian Online.

Pelacncarannya akan dibuat di rumah Zaid di Kota Bharu, Kelantan, malam esok.

Pada sidang media sebelum ini, Zaid berkata, Kita akan bertanding atas tiket parti itu sendiri walaupun ada laporan media mengatakan beliau akan mengadakan perundingan dengan Pas untuk menurunkan calon partinya.

Pada 2004, Zaid yang menang di Kota Bharu memperoleh 23,831 undi. Pencabarnya, Nik Mahmood Nik Hassan dari Keadilan menerima 22,108 undi.

Pada Mac 2008, kerusi itu dimenangi oleh calon Pas. Zaid tidak bertanding ketika itu.

Selepas dipecat oleh Umno pada akhir 2008, Zaid menyertai PKR.

Zaid pernah bertanding sebagai calon PKR pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor April 2010.