Monday, 4 March 2013

Demi Perubahan : ‘Mereka Tak Lagi Ketinggalan’



GUA MUSANG – Pihak Astro membelanjakan lebih RM500 juta bagi menyediakan kemudahan Astro Njoi percuma untuk rakyat luar bandar seluruh negara bermula tahun lalu yang turut membabitkan lebih 10,000 penduduk Orang Asli di pedalaman Kelantan.
Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi) Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Azmi Harun berkata, pemasangan percuma itu sebagai tanggungjawab kebajikan Astro membantu mereka yang kurang mampu.
Katanya, ia sekali gus dapat mengatasi masalah penyebaran maklumat kerajaan.
“Di perkampungan Orang Asli khususnya di pedalaman Hulu Kelantan sahaja, Astro memasang 405 set decoder sejak Julai tahun lalu dan saya yakin, pemasangan itu sudah selesai untuk faedah kaum berkenaan.
“Pemasangan serupa juga sedang dijalankan di Negeri Sembilan sebagaimana yang dikehendaki Perdana Menteri,” katanya selepas perasmian Karnival Jalur Lebar Peringkat Parlimen
Gua Musang, di jalan masuk ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Bandar Baru di sini, kelmarin.
Perasmian itu dilakukan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.
Hadir sama, Adun Nenggiri, Mat Yusoff Ab Ghani; Adun Paloh, Datuk Nozula Mat Diah; Adun Galas, Ab Aziz Yusof dan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Mohd Arshad Ismail.
Azmi berkata, kerajaan menerusi kementerian itu juga menyasarkan setiap kampung di pedalaman seluruh negara akan dilengkapi kemudahan telekomunikasi.
“Pelbagai kemudahan yang disediakan mendekatkan masyarakat luar bandar dengan penggunaan internet dan sebagainya, supaya mereka tidak lagi ketinggalan,” katanya.
Katanya, setakat ini kemudahan terbabit sudah melepasi sasaran penggunaannya di semua negeri, tetapi diakui masih ada segelintir penduduk belum menikmati kemudahan seumpama itu.
“Apa pun kita akan berusaha untuk mengatasinya kerana itu semua harapan kerajaan bagi membawa kemajuan untuk dinikmati seluruh rakyat,” katanya.  – Sinar Harian

No comments:

Post a Comment