Thursday 31 January 2013

BL1M Bantu Rakyat Miliki Lesen Motosikal

KOTA BHARU - Rakyat negeri ini yang berumur 17 hingga 40 tahun dan belum memiliki lesen motosikal kelas B2 disaran mendaftar dengan Bantuan Lesen 1Malaysia (BL1M) menerusi laman web My E.G Services Berhad atau mendapatkan borang di pejabat Pemuda UMNO di kawasan Parlimen masing-masing. 

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Tengku Azman Tengku Zainol Abidin berkata, melalui BL1M mereka cuma perlu membayar sebanyak RM199 berbanding bayaran yang lebih tinggi jika melalui proses biasa dengan sekolah memandu. 

Katanya, BL1M akan dilancar secara rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 31 Januari ini dan proses pendaftaran akan ditutup pada 14 Februari ini. 

"Melalui BL1M, semua pemohon bukan sahaja dikenakan bayaran rendah tetapi dibantu Pemuda UMNO di kawasan Parlimen masing-masing sehingga lulus. 

"Buat masa ini, kita masih dalam proses pendaftaran dan dua minggu selepas pelancaran barulah kita merangka program dengan kerjasama sekolah memandu untuk membantu semua pemohon ini mendapatkan lesen mereka," katanya dalam sidang akhbar di Pejabat UMNO Kelantan, di sini semalam. 

Tengku Azman berkata, BL1M yang diilhamkan Najib dan diuruskan Pemuda Barisan Nasional (BN) bertujuan membantu golongan itu yang masih belum mendapatkan lesen. 

Sementara itu, beliau mengingatkan Pemuda BN tidak pernah melantik mana-mana ejen menguruskan program tersebut terutama dalam menerima bayaran. 

Katanya, pemohon hanya membuat bayaran menggunakan bank draf atau kiriman wang atas nama My E.G Services Berhad dan proses mendapatkan lesen juga dibuat mengikut peraturan ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tanpa ada jalan pintas. 

"Pernah berlaku ada kes ejen menjual borang ini, jadi saya mengingatkan setiap pemohon kami tidak pernah melantik mana-mana ejen selain pergi ke pejabat Pemuda UMNO kawasan masing-masing dan buat bayaran menggunakan bank draf. 

"Saya harap semua mereka rebut peluang ini kerana ia bukan sahaja murah tetapi kami akan membantu setiap pemohon sehingga mereka berjaya memiliki lesen motosikal masing-masing," katanya. 

Wednesday 30 January 2013

Ke Mana Nasha Selepas Ini?

DATUK Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam seakan menunjukkan pintu kepada Nasharudin Mat Isa supaya segera keluar meninggalkan Pas. Maksud ini diperlihatkan menerusi kenyataannya bahawa Nasha kini sudah boleh memilih mana-mana parti yang mahu disertainya - seumpama seorang wanita yang sudah diceraikan.

"Selepas itu (diceraikan), mana-mana lelaki lain nak buat bini, ambillah ..." Demikian Nik Aziz dilaporkan berkata.

Meneliti perkembangan terbaru konflik dalaman parti itu, boleh disimpulkan bahawa perjuangan Nasha bersama Pas yang digelumanginya sejak zaman pelajar di Jordan, sudah hampir berakhir.

Sekarang adalah masa untuk beliau membuat keputusan, sama ada meneruskan karier sebagai ahli politik sepenuh masa yang telah menjadi bidangnya sejak dilantik sebagai Setiausaha Agung Pas pada 1999, menyertai mana-mana pertubuhan bukan kerajaan terutama yang memberi perhatian terhadap isu-isu kemanusiaan di Timur Tengah, khususnya Palestin, ataupun kembali semula ke bilik kuliah sebagai ahli akademik.

Apa sahaja bidang yang disertainya, Nasha sememangnya adalah ahli dan mempunyai reputasi yang tinggi. Cumanya, jika beliau memilih untuk terus menjadi ahli politik, parti manakah yang akan dipilih?

Nik Aziz semalam sudah mengingatkan, jika Nasha menganggap dirinya seorang pejuang Islam, di negara ini tidak ada parti yang memperjuangkan Islam selain Pas. Jika beliau memilih Umno, bagi Nik Aziz, Umno adalah parti yang menolak Islam dan memilih perjuangan kebangsaan (assobiyah).

Itu kenyataan Nik Aziz. Soalnya, adakah Nasha - yang pernah jadi orang nombor dua Pas selama tiga penggal berturut-turut - pun berpendirian seperti itu juga?

Mengenali Nasha, beliau bukan seorang ulama konservatif seperti kebanyakan ulama dalam Pas. Meskipun di peringkat awal kontroversi yang meletakkan dirinya di atas bara ketika isu Kerajaan Perpaduan berkumandang pada 2009, Nasha dikatakan hanya menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya oleh Majlis Syura Pas untuk mengatur rundingan dengan pemimpin Umno, beliau sebaliknya tidak pernah mengundur daripada laluan yang telah dirintis untuk terus berhubungan mesra dengan pemimpin Umno.

Sunday 27 January 2013

PRU-13 Fikirkan Masa Depan Generasi Muda

PASIR PUTEH - Rakyat diingatkan supaya memikirkan masa depan generasi muda ketika memilih pemimpin dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). 

Penyelaras Pilihan Raya Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selising, Rusli Abdul Rahman berkata, perancangan yang dilakukan hari ini adalah amat penting bagi memastikan kehidupan generasi masa depan terjamin. 

Beliau berkata, hanya kerajaan yang mempunyai pengalaman dan ilmu seperti Barisan Nasional (BN) sahaja mampu membawa kemajuan kepada negara melalui pembangunan yang dirancang. 

"Semua itu tidak dapat dilaksanakan andainya tidak mendapat mandat besar daripada rakyat," katanya ketika berucap merasmikan majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan RM100 di Sekolah Kebangsaan (SK) Berangan di sini semalam. 

Seramai 306 murid dari tahun satu hingga enam menerima bantuan tersebut. 

Yang turut hadir Guru Besar, Mohamed Rusli Awang Mat dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru, Datin Rapiah Mohd. Zain. 

Rusli berkata, rakyat perlu sedar tanpa gandingan dari Kerajaan Persekutuan dan negeri, banyak projek tidak dapat dilaksanakan dengan baik.

Friday 25 January 2013

Empat Nama Besar Dinasihat Tak Tanding PRU13

SHAH ALAM – Beberapa parti politik dijangka terpaksa menggugurkan nama-nama besar daripada menjadi calon mereka dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Pengguguran itu tidak boleh dielakkan kerana beberapa tokoh itu gagal dalam ujian tapisan yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana mempunyai masalah dengan undang-undang.

Antara nama-nama besar yang disebut sebagai mereka yang dijangka tidak akan dicalonkan semula akibat masalah berkenaan ialah seorang menteri besar, seorang ketua menteri dan dua pemimpin tinggi sebuah parti.

Difahamkan, perkembangan terbaru ini disedari setelah urusan awal tapisan senarai calon yang diserahkan beberapa parti kepada SPRM untuk tapisan menjelang PRU13 selesai, baru-baru ini.

Menurut sumber yang boleh dipercayai, ratusan nama calon sudah diserahkan kepada SPRM dan berikutan tapisan yang dilakukan, beberapa nama-nama besar telah gagal saringan.

Berdasarkan hasil ujian tersebut, parti-parti yang terlibat telah dinasihatkan tidak meletakkan nama-nama besar yang bermasalah itu sebagai calon mereka.

Maklumat yang diterima Sinar Harian menunjukkan nama-nama besar yang gagal ujian tapisan tidak boleh diletakkan sebagai calon dan jika dicalonkan juga, ia akan memberi implikasi kepada parti terbabit.

Ketika dihubungi Sinar Harian, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi), Datuk Mohd Shukri Abdul enggan memberi sebarang komen mengenai perkara tersebut.

Beliau sekadar menegaskan bahawa Cawangan Tapisan Keutuhan, Bahagian Pengurusan Rekod dan Teknologi Maklumat SPRM masih membuat tapisan ke atas senarai calon yang dihantar parti-parti politik.

Katanya, parti-parti yang akan meletakkan calon dalam PRU13 masih terus menghantar nama-nama calon masing-masing untuk tapisan dan ada yang akan terus menghantar senarai tersebut walaupun selepas Parlimen dibubarkan nanti.

Tuesday 22 January 2013

TPM: BR1M Kekal Jika BN Terus Diberi Mandat Perintah Negara

MELAKA - Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), yang dibayar buat kali kedua, bakal diteruskan bagi tempoh masa yang panjang sekiranya rakyat terus memberikan mandat kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), kata Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

Timbalan Perdana Menteri berkata, bantuan yang dimulakan sejak tahun lepas dan akan diteruskan pada bulan depan itu memberikan impak besar dalam membantu meringankan beban lebih empat juta isirumah di seluruh negara. 

"Saya percaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melihat ini (BR1M) sebagai satu perkara yang perlu diteruskan dan saya percaya apabila rakyat melihat ini satu pendekatan yang baik, mereka harapkan ia dapat dilaksanakan untuk tempoh masa yang panjang. 

"Saya tidak jangka ia hanya dibuat untuk sekali atau dua kali, saya jangka ia akan dilaksanakan selama mana BN diberikan kepercayaan untuk menjadi kerajaan selapas PRU13," katanya kepada pemberita selepas menghadiri jamuan rakyat 1Malaysia yang dihadiri kira-kira 10,000 penduduk sekitar Melaka di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Haji Abdul Malik di sini, hari ini. 

Turut hadir isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam. 

Muhyiddin berkata, bantuan RM500 yang diberikan pada masa ini kemungkinan akan dinaikkan sekiranya pendapatan negara meningkat pada masa depan. 

Katanya selain BR1M, bantuan lain seperti bantuan awal persekolahan kemungkinan akan diteruskan kerana telah memberi impak yang besar dalam membantu meringankan beban rakyat. 

"Apa yang kita harapkan supaya rakyat menilai sumbangan ini dan kalau dianggap ia satu cara yang baik, kita harap mereka akan terus memberikan sokongan kepada kerajaan BN," katanya. 

Terdahulu, dalam ucapannya pada majlis itu, Muhyiddin menegaskan bahawa pakatan pembangkang tidak berupaya meneruskan usaha pembangunan negara yang telah dilaksanakan BN sejak 55 tahun lepas kerana tidak memiliki kesepakatan antara mereka. 

"Isu demi isu, sampai ke hari ini Pas dan DAP masih bercakaran antara satu sama lain, PKR pula gagal membawa mereka semua duduk semeja berbincang masalah mereka, tiada kesepakatan ini akan sebabkan kerajaan menjadi lemah," katanya. 

Justeru Muhyiddin berkata, kejayaan BN memelihara ketenteraman dan keselamatan negara, membangunkan ekonomi dan memberi keselesaan kepada rakyat selama ini perlu dikekalkan dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara maju. 

"Kerajaan yang kuat seperti kerajaan BN mampu melaksanakan janji yang kita buat, kita bertanggungjawab kepada masyarakat menjaga keselamatan di samping membangun ekonomi," katanya. 

Dalam pada itu, Muhyiddin mengumumkan peruntukan segera berjumlah RM250,000 bagi menaiktaraf surau SMK Tun Haji Abdul Malik dan RM4.5 juta bagi pembinaan dewan sekolah itu yang akan dilaksanakan pada 2014. - Bernama

Sunday 20 January 2013

PM Tiba Di Kelantan Untuk Lawatan Kerja Sehari

KOTA BHARU – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor tiba di sini Sabtu untuk lawatan sehari di Kelantan.

Ketibaan Najib dan isteri di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa di sini pada pukul 11.25 malam disambut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Turut hadir Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin serta pemimpin Umno bahagian dan ketua parti komponen Barisan Nasional di negeri ini.

Najib dijadual menghadiri majlis agihan bantuan awal persekolahan kepada pelajar di Sekolah Kebangsaan Sri Wakaf Baharu di Tumpat pada pukul 7.45 pagi Ahad.

Perdana Menteri kemudiannya menghadiri program tinjauan mesra bersama warga Kota Bahru di Pasar Siti Khadijah di sini pada pukul 8.55 pagi.

Beliau kemudiannya akan menghadiri program Jelajah Janji Ditepati di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di Tunjung di sini.

Najib, yang juga Presiden Umno, mengakhiri lawatannya dengan menghadiri mesyuarat Badan Perhubungan Umno Kelantan di hotel Renaissance di sini sebelum berlepas pulang pada pukul 4.15 petang. -Bernama

Thursday 17 January 2013

PRU13: SPR Tidak Sekat Pemerhati Bebas

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sekali lagi memberi jaminan tidak akan menyekat kebebasan badan bukan kerajaan (NGO) yang dilantik sebagai pemerhati untuk menjalankan tugas mereka pada Pilihan Raya Umum ke-13.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata langkah SPR melantik pemerhati bebas bertujuan memastikan pilihan raya dijalankan dengan telus dan memuaskan hati semua pihak.

"Ini ruang yang sangat baik untuk rakyat Malaysia memantau proses pilihan raya dan sepatutnya juga beri kepuasan kepada parti-parti politik. Lantikan NGO ini sebagai pemerhati merupakan satu lonjakan transformasi politik negara.

"Tidak pernah dalam sejarah pilihan raya kita dipantau NGO bebas yang boleh tulis apa sahaja dan laporkan kepada SPR," katanya ketika menjadi panel dalam rancangan Soal Jawab yang disiarkan TV3 malam ini.

Turut bersama Wan Ahmad ialah penganalisis politik Dr Chandra Muzaffar dan dipengerusikan Pengarah Eksekutif Editorial The New Straits Times Press (M) Bhd Datuk Ahmad Talib.

Wan Ahmad berkata proses lantikan empat NGO yang dikenal pasti sebagai pemerhati iaitu Merdeka Center, Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (Ideas), Pusat Kajian Dasar Awam (CPPS) dan Majlis Belia Malaysia (MBM) akan dilakukan bulan ini juga.

Sementara itu, Chandra berkata sebarang rasa tidak puas hati berhubung proses pilihan raya oleh mana-mana pihak boleh disuarakan mengikut saluran yang betul berlandaskan Perlembagaan dan undang-undang, bukannya dibawa ke jalan raya.

"Jika kita protes tentang sesuatu ketidakadilan dan berhimpun secara aman, itu tidak salah.

"Tapi jika lepas pilihan raya kita tak setuju dan buat protes ikut cara lain dengan matlamat untuk gulingkan kerajaan yang dipilih, itu bertentangan sama sekali dengan amalan demokrasi," katanya. - Bernama

Monday 14 January 2013

Nik Aziz Akur Keputusan Majlis Syura Berhubung Kalimah Allah

KOTA BHARU - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sebelum ini menyokong penggunaan kalimah ALLAH pada Bible versi bahasa Melayu seperti diminta Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, menukar pendirian dan sebaliknya cuba menjelaskan kenapa kalimah itu tidak boleh digunakan oleh bukan Islam.

Majlis Syura Pas malam tadi memutuskan bahawa kalimah ALLAH tidak boleh digunakan oleh bukan Islam berikutan kemarahan masyarakat Islam terutama mufti dan cendekiawan Islam terhadap pendirian asal Nik Aziz dan juga Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyokong saranan DAP itu.

Akur dengan keputusan Majlis Syura yang turut dihadirinya, Mursyidul Am Pas itu berkata, keputusan itu dibuat kerana khuatir ia bertentangan dengan maksud sebenar kalimah itu seperti umat Islam yang percaya bahawa ALLAH itu adalah Esa (Satu).

"ALLAH ini adalah nama bagi Tuhan. Kita (Islam) namakannya (ALLAH). Jadi kalau ada orang lain, agama lain yang tidak mempunyai tuhan yang satu tiba-tiba mahu menggunakan nama ALLAH, itu tidak betul.

"ALLAH itu adalah tuhan yang Satu. Yang Maha Berkuasa. Kalau agama lain yang (mempunyai) tuhannya tidak satu atau lebih, itu mengarut. Kalau nak guna boleh, tapi salahlah (maksud sebenar)," katanya kepada pemberita sewaktu pulang dari Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa di sini, hari ini.

Beliau memberi contoh penganut Kristian percaya kepada Trinity yang sama sekali tidak boleh menggunakan kalimah Allah kerana tidak menepati maksud sebenar.

Majlis Syura Pas telah memutuskan kalimah ALLAH adalah kalimah khusus yang ALLAH menamakan diri-Nya ALLAH dan oleh itu tidak boleh diterjemahkan kepada mana-mana bahasa di dunia kerana tidak menepati kehendak sebenar kalimah itu.

Selain itu majlis itu juga memutuskan mana-mana kalimah asing tidak boleh diterjemahkan kepada kalimah ALLAH. 

Sebelum ini Pas, DAP dan PKR membuat ketetapan bahawa kalimah ALLAH boleh digunakan oleh penganut semua agama tetapi dengan syarat tidak disalahgunakan. - Bernama 


Saturday 12 January 2013

#KL112 JANGAN BAWA KANAK-KANAK...Ada Aku Kesah???

Salah satu syarat dari 27 yang dipersetujui oleh Mat Sabu ialah..
- Penganjur juga dikehendaki memastikan tiada kanak-kanak di bawah umur 15 tahun di bawa ke tempat perhimpunan

 Sumber dari otai-otai blogger yang berada dikawasan sekitar dan diuploadkan ke blog memasing...






Dua puluh tujuh syarat telah dipersetujui di antara pihak penganjur Himpunan Kebangkitan Rakyat (#KL112) dan pihak polis bagi memastikan buat julung kalinya perhimpunan yang membabitkan protes terhadap kerajaan, berjalan aman esok.

Pengarah Himpunan Kebangkitan Rakyat, Mohamad Sabu berkata, ia merupakan persetujuan bersama selepas perbincangan teliti dibuat dengan Ketua Polis Ibu Pejabat Daerah Dang Wango, ACP Zainuddin Ahmad pada petang semalam.

Tuesday 8 January 2013

Wan Azizah Bakal Bermadu Atau Menjanda?

Sudah hangat diperkatakan di warung kopi, di rangkaian restoran Garuda di Jakarta khasnya malah di “koran” atau forum maya Indonesia amnya bahawa Anwar Ibrahim bakal bernikah dengan gadis kacukan berdarah Cina-Belanda-Indon atau popular dengan panggilan CIBEI oleh rakyat seberang. 

Gadis dalam lingkungan 28 tahun, masih anak dara dan khabarnya merupakan anak pemimpin parti politik yang agak luas juga pengaruhnya dan asalnya dari Bandung. 

Menurut sumber dari parti tersebut, Anwar kerap ke Jakarta melalui Bandung dan di situlah bermula kisah cinta bersegi yang sudah masuk hampir setahun dan kesemua ahli keluarga gadis tersebut khabarnya sudah bersetuju menerima Anwar sebagai menantu. 

Menurutnya lagi, hanya Nurul Izzah sahaja yang tahu perkara ini kerana beliau juga sering menemani bapanya ke Indonesia. Anak perempuan Anwar ini juga sering dilihat bersama dengan bakal ibu tirinya di sekitar Bandung dan ianya bukan rahsia lagi bagi masyarakat Bandung bila kadang-kadang Anwar juga ada bersama dengan anaknya, Nurul dan bakal madu Wan Azizah didapati makan dan membeli belah bersama. 

Di kalangan warga aristokrat Bandung, gadis ini dikenali sebagai ‘Darling’ kerana sikapnya yang peramah dan manja dengan seluruh ahli keluarga dan keponakan beliau. 

Foto di atas sudah lama berada atau berlegar dalam medium maya, samada dalam blog, portal maupun facebook. Anwar tidak pernah nafikan itu gambar palsu dan tidak pernah melatah bila gambar tersebut selalu muncul di mana-mana media maya. 

Apakah kerana Anwar mabuk cinta ?
Apakah kerana ingin sampaikan hajat pada Wan Azizah ?
Apakah kerana Anwar takut hajat cinta tak kesampaian ? 

MI bakal bongkar kisah cinta rentas benua ini dan akan pamirkan gambar-gambar manja Darling dan Anwar di sekitar Bandung dan beberapa tempat rehat yang beriklim sejuk di Indonesia. 

Bersediakah Wan Azizah menerima madu seperti isteri pemimpin pakatan haram yang lain?
Bersediakan Wan Azizah menerima anak tiri seperti “anak samsidar” ?

Sumber-http://malaysia-instinct.blogspot.com

Sunday 6 January 2013

Jangan Mudah Terpedaya Dengan Sandiwara DAP

SHAH ALAM – Orang Melayu diminta supaya tidak mudah terpedaya dengan sandiwara politik DAP yang seolah-olah cuba menarik semula sokongan kaum itu dengan mengumumkan berlakunya kesilapan pengiraan undi dalam pemilihan Jawatan Kuasa Kerja Pusat (CEC) parti itu Disember lalu. 

Pengerusi Sekretariat Orang Muda Selangor (Serang), Budiman Mohd Zohdi berkata pengumuman mengenai kesilapan itu oleh DAP semalam menimbulkan banyak persoalan kerana sebelum ini keputusan pemilihan CEC yang diadakan Disember lepas menyaksikan tiada calon Melayu terpilih menjadi anggota jawatankuasa itu apabila tidak memperoleh sokongan daripada 2,600 perwakilan DAP. 

Selepas pemilihan itu, DAP kemudiannya mengumumkan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, Zairil Khir Johari sebagai anggota CEC dilantik yang mendapat kritikan pelbagai pihak yang menyifatkannya sebagai tindakan untuk mengambil hati ahli-ahli Melayu di dalam parti itu. 

Budiman berkata ekoran daripada keputusan pemilihan CEC itu, DAP menerima kritikan daripada pelbagai pihak termasuklah dilabelkan sebagai sebuah parti yang tidak demokratik, cauvinis dan perkauman. 

Bagaimanapun, pada Sabtu DAP seolah-olah cuba membuat ‘pusingan U’ dengan mengumumkan wujudnya kesilapan dalam pengiraan undi dalam pemilihan tahun lepas dan ini sekaligus menyaksikan calon Melayu kembali mendapat tempat dalam jawatankuasa itu, katanya ketika dihubungi. 

“Kita persoalkan apakah pengumuman salah pengiraan undi ini satu perkara yang sengaja dirancang oleh DAP sebagai satu helah untuk mengembalikan sokongan orang Melayu dengan menggambarkan parti itu sebagai demokratik selain memberi peluang kepada semua kaum untuk menjadi pemimpin,” katanya. 

Hakikatnya sejak DAP diwujudkan 47 tahun lepas sehinggalah ke hari ini, parti itu hanya didominasi oleh satu kaum sahaja dan tidak banyak ruang kepada kaum lain terutamanya orang Melayu,” katanya. 

Budiman juga meminta rakyat di negara ini khususnya orang Melayu supaya tidak menjadikan DAP bersama-sama sekutu mereka dalam pakatan pembangkang sebagai sebuah parti yang boleh diharapkan untuk memimpin negara ini. 

Jika rakyat memilih DAP, PKR dan PAS, ia tidak akan membawa apa-apa manfaat melainkan hanya mendatangkan kemudaratan yang besar kepada mereka khususnya dalam memelihara keharmonian antara kaum di negara ini, katanya. – BERNAMA

Friday 4 January 2013

Miskin Kelantan: Ibu Tunggal Lapan Anak Dibantu

KOTA BHARU - Dua minggu tidur dalam keadaan pintu rumah hanya beralaskan plastik sedikit pun tidak mengganggu kehidupan seorang ibu tunggal dan lapan orang anaknya yang tinggal di Kampung Wakaf Mek Zainab, di sini.

Walaupun sedar mereka sekeluarga berdepan dengan bahaya kecurian akibat tiada pintu rumah apabila bahagian dapur dihempap sebatang pokok jati besar baru-baru ini namun mereka tiada pilihan.

Nahatul Shima Seman, 43, berkata, kedatangan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) kelmarin ke rumahnya bagaikan satu rahmat apabila rumah tersebut akan dibaiki dan pintunya diganti.

“Bukan tidak mahu baiki dan gantikan pintu tersebut tetapi duit hasil sumbangan jiran tetangga terpaksa digunakan untuk persekolahan anak-anak.

“Lagipun Maik merupakan pihak pertama yang datang memberikan bantuan kepada keluarga kami selepas dua minggu kejadian ini berlaku,” katanya kepada pemberita di sini.

Sebelum itu Nahatul Shima menerima kunjungan daripada Maik yang diwakili oleh Ketua Pegawai Baitulmal dan Pembangunan, Nik Mohamed Noor Nik Ishak dan beberapa orang kakitangan yang lain.

Menurutnya, duit RM2,000 yang diterima itu akan dijadikan modal bagi membuat kuih serta membeli kelengkapan anak-anak.

Dia berkata, berbekalkan kerja menjual kuih muih dengan pendapatan bersih RM20 sehari dia menyara lapan anaknya yang berumur dari empat hingga 23 tahun.

Nahatul Shima berkata, rumah yang diduduki sekarang bukan rumah miliknya dan setiap tahun dia perlu membayar RM300 untuk membayar sewa tapak rumah tersebut.

“Dengan hanya berbekalkan semangat saya terus kuat untuk membesarkan anak-anak yang kebanyakannya masih kecil berseorangan diri,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini dia tidak pernah mendapat sebarang bantuan namun, berharap kali ini akan ada pihak untuk tampil menghulurkan bantuan terutamanya bantuan membaiki sebahagian rumahnya.

“Saya juga berharap ada pihak yang membantu untuk memotong beberapa batang lagi pokok Jati yang berada berhampiran rumah saya, kerana bimbang kejadian sama akan berulang,” katanya. -Sinar Harian