KOTA BHARU - Sejumlah RM4.01 juta diperuntukkan oleh Kerajaan Pusat kepada rakyat miskin di Parlimen Pengkalan Chepa sepanjang tahun ini.
Ketua Umno Bahagian, Datuk Dali Hussain berkata, peruntukan tersebut meliputi sumbangan wang ihsan kepada pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) serta mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).
“Ia juga diagihkan melalui bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar (KWAP), One-off dan Bantuan Awal Persekolahan,” katanya, semalam selepas merasmikan Majlis Penyampaian Sumbangan Wang Ehsan kepada Pelajar Sekolah Rendah Kawasan Parlimen Pengkalan Chepa di Sekolah Kebangsaan Datuk Hashim 2, Pengkalan Chepa.
Menurutnya, sumbangan tersebut menunjukkan kecaknaan Kerajaan Pusat dalam membela nasib pelajar yang kurang berkemampuan di negeri ini selain menghargai kejayaan para pelajar mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan.
Beliau berkata, dengan bantuan yang diterima diharap rakyat di negeri ini dapat menghargai sumbangan yang diberikan oleh pihak kerajaan tersebut.
Dali berkata, ia bertepatan dengan slogan yang dilaungkan oleh pihak kerajaan iaitu janji ditepati.
“Slogan itu bukan omong kosong pihak kerajaan dan ia dapat dinilai sendiri oleh rakyat menerusi pendekatan yang diperkenalkan bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan,” katanya.
No comments:
Post a Comment