Wednesday, 14 November 2012

Mustapa: PKR Perlu Nyatakan Pendirian Tentang Isu Izzah

KOTA BHARU - PKR perlu menyatakan pendirian mereka terhadap kenyataan Naib Presiden parti itu, Nurul Izzah Anwar yang didakwa mengeluarkan kenyataan sensitif terhadap bangsa Melayu dan Islam baru-baru.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, yang juga Pengerusi Umno Kelantan berkata, Nurul Izzah juga perlu tampil menyelesaikan kontroversi itu.

"PKR perlu nyatakan pendirian mereka. Jangan lagi dolak-dalik dan jika benar ia berlaku, parti itu perlu memohon maaf.

"Isu kontroversi ini perlu ada penamatnya, Nurul Izzah juga perlu tampil ke hadapan untuk menyelesaikannya. Semuanya terletak pada bahu dia dan rakyat mahu tahu perkara sebenar," katanya selepas mengadakan kunjungan sempena sambutan Deepavali ke rumah keluarga Dhana Letchumy Arumugam, 56, di Kampung Sireh di sini, semalam.

Laporan portal berita propembangkang pada 3 Nov lepas memetik Nurul Izzah sebagai berkata: "Rakyat tidak seharusnya dipaksa menganut agama tertentu dan perkara ini juga patut terpakai kepada orang Melayu.

"Apabila anda bertanya saya, tiada paksaan dalam beragama... bagaimana seseorang itu boleh berkata, maaflah, ini (kebebasan beragama) hanya terpakai kepada orang bukan Melayu, ia sepatutnya diguna pakai secara sama rata," kata Nurul Izzah.

Beliau berkata demikian pada forum bertajuk "Negara Islam: Versi Mana; Tanggungjawab Siapa?" di Subang Jaya, Selangor pada 3 November.

Sementara itu, Mustapa berkata, semua kaum minoriti di negara ini bertuah dapat hidup dalam suasana penuh harmoni yang kerajaan sama sekali tidak meminggirkan nasib mereka.

"Kita rasa bangga di Malaysia semua rakyat minoriti tetap diberi perhatian oleh kerajaan melalui kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak termasuk kaum India.

Kita harus bersyukur tinggal di Malaysia," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment