Showing posts with label innocence of muslims. Show all posts
Showing posts with label innocence of muslims. Show all posts

Friday, 28 September 2012

Penerbit Filem Hina Nabi Telah Ditahan


LOS ANGELES – Nakoula Basseley Nakoula, penerbit Innocense of Muslims, filem yang mencetuskan protes di kalangan umat Islam di seluruh dunia, diarah ditahan di penjara kerana melanggar terma-terma pemantauan hukuman yang dijatuhkan sebelum ini.

“Mahkamah kurang percaya dengan defendan pada masa sekarang,” kata Hakim Suzanne H Segal, semalam.

Segal juga berkata, Nakoula membawa “kemudaratan kepada komuniti.”

Nakoula, disoal siasat oleh pihak berkuasa persekutuan awal minggu lalu, ditahan awal semalam, lapor Los Angeles Times.

Pendakwa raya persekutuan berhujah petang semalam bahawa penerbit filem itu mengundang bahaya dan seharusnya diletakkan dalam tahanan.

Bagaimanapun peguamnya berhujah Nakoula sewajarnya dibebaskan atas bon.

Malah peguamnya berkata, anak guamnya berhadapan dengan bahaya di penjara persekutuan di Los Angeles kerana ia menempatkan ramai tahanan beragama Islam.

Peguam itu menafikan Nakoula melanggar apa-apa terma pemantauan.

Nakoula pernah dijatuhkan hukuman penjara lima tahun atas kesalahan menipu bank. Dia ditahan pada 2009.

Di bawah tempoh pemantauan, Nakoula tidak dibenar menggunakan atau memiliki perkakasan yang membolehkannya akses kepada Internet tanpa kelulusan pihak pemantau.(SinarHarian)

Friday, 21 September 2012

Ribuan Berarak Ke Kedutaan AS Bantah Filem 'Innocence Of Muslims'


Ribuan umat Islam dari Umno dan PAS berhimpun di Kuala Lumpur hari ini kerana membantah filem Innocence of Islam yang menghina Nabi Muhammad SAW dan mencetuskan demonstrasi anti-Amerika di seluruh dunia.

Naib presiden PAS, Salahuddin Ayub mengetuai demonstrasi 'Xpresi Hijau Kasih Nabi SAW' anjuran Pemuda PAS selepas solat Jumaat di Masjid Tabung Haji di Jalan Tun Razak, sebelum kira-kira 5,000 orang berarak ke kedutaan AS dekat situ.

Sementara itu, protes anjuran Umno pula diketuai oleh Ketua Pemudanya, Khairy Jamaluddin yang berlangsung di Masjid Kampung Baru yang disertai kira-kira 3,000 orang.

Kedua-dua protes tersebut turut disokong oleh pertubuhan 
Islam dan pelbagai NGO.

Google telah menyekat akses terhadap klip filem tersebut kepada pengguna di Malaysia.

Sementara itu, Khairy yang juga Ketua Pemuda BN, menggesa PAS meninggalkan Pakatan Rakyat kerana mendakwa DAP tidak menunjukkan perpaduan dalam membantah filem Innocence of Islam dan karikatur yang menghina Nabi Muhammad.

Khairy berkata, beliau turut membawa ramai penyokong BN yang pelbagai kaum dari MCA dan MIC untuk menyertai bantahan tersebut.

"Bagaimanapun, (MP Beruas Datuk) Ngeh Koo Ham berkata ini 
(protes) buang masa," katanya.

Katanya, mereka bersama-sama dengan saudara-saudara dari PAS membuat bantahan tersebut kerana ia tiada kaitan dengan politik, tetapi kerana filem itu menghina Islam dan Nabi Muhammad.

"Kami akan lakukan perkara yang sama jika ini berlaku kepada agama lain," katanya. -Malaysiakini.

Wednesday, 19 September 2012

Protes Filem Innocence Of Muslims Perlu Bagi Setiap Umat Islam - Nik Aziz


Umat Islam tidak mengira parti perlu memberi sokongan terhadap bantahan filem Innoncence of Muslims yang mempersendakan Nabi Muhammad SAW, kata Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Bagi tujuan tersebut, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, masyarakat Islam seharusnya mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelak agama Islam terus dipersendakan.

“Kalau tidak bertindak mereka akan buat benda lain lagi yang akan menyebabkan berlaku perkara yang tidak munasabah seperti di negara-negara luar, biar mereka sedar perbuatan itu salah dan ada orang yang halang, doa sahaja tidak cukup,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada perlu Pemuda Pas dan Umno bersama dalam perhimpunan besar-besaran membantah filem itu di Ibu Kota Jumaat ini.

Mengulas lanjut Nik Aziz berkata, antara punca yang menyebabkan penghinaan itu berlaku disebabkan masyarakat Islam sendiri yang tidak meletakkan Islam sebagai asas pemerintahan.

“Orang Islam sendiri yang melakukan pengkhianatan terhadap agama Islam, kita seharusnya sedar dan tidak melakukannya sekiranya tidak mahu lagi Islam dihina,” katanya.

Ditanya adakah protes melalui demonstrasi itu perlu dilakukan masyarakat Islam, Nik Aziz berkata, pendekatan itu boleh dilakukan, namun ia bergantung kepada keadaan tertentu.

Nik Aziz bagaimanapun enggan mengulas mengenai kenyataan Pengerusi DAP Perak, Ngeh Koo Ham yang mempersoalkan perhimpunan membantah filem itu Jumaat ini. -Sinar Harian.