PENGKALAN CHEPA -- Bekas Setiausaha Dewan Ulama Pas Kelantan, Wan Ismail Wan Ahmad menyifatkan adalah HARAM pengundi di negara ini memilih Pas atas sebab parti itu tersasar dari perjuangan Islam.
"Memang benar, tepat, beri undi kepada Pas adalah haram," katanya.
Wan Ismail berkata demikian ketika mengulas laporan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini yang mengisytiharkan memberi undi kepada Pas dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 adalah haram.
Wan Ismail berkata, beliau beranggapan sedemikian kerana Pas sepatutnya menentang DAP yang semakin berani menyentuh sensitiviti agama Islam terutama membabitkan perkara akidah dan bukannya terus bersekutu dengan parti tersebut.
"Walaupun dia (Pas) tidak buat perkara itu tetapi masih bersekutu, ini bererti dia telah bersubahat.
"Yang sangat jelas sekarang adalah isu penggunaan kalimah Allah. Ibarat memang kamu tidak mencuri, tapi yang kamu ikut sama pergi mencuri dengan kumpulan pencuri itu kenapa, bukankah itu maknanya kamu menyokongnya. Inilah subahat," katanya.
Sebelum ini beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini menyokong penuh pengisytiharan para ulama Kelantan yang mengharamkan pemberian undi kepada Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti.
Pengerusi Gerakan Tukar Kerajaan Pas Kelantan Demi Rakyat (Gerakan Tukar), Kamarudin Kassim berkata, pengisytiharan tersebut memberi tamparan hebat kepada Pas yang sebelum ini mendakwa undi mereka akan mendapat pahala serta masuk syurga.
"Bagi saya, pengisytiharan itu perlu diambil serius oleh masyarakat di negara ini. Apa yang diputuskan berlandaskan nas-nas yang terdapat dalam al-Quran dan perhitungan tersebut dibuat oleh golongan yang pakar dalam agama.
"Pengisytiharan ini merupakan kemuncak kepada manifestasi ulama Kelantan terhadap Pas yang dilihat gagal membela kesucian agama Islam sebelum ini. Keadaan ini menyaksikan golongan ulama mula hilang kepercayaan terhadap parti berkenaan.
"Hal ini boleh dilihat dalam beberapa isu besar seperti penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam kerana mereka tidak konsisten dalam membuat keputusan berhubung perkara tersebut," katanya.
Media melaporkan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini yang dianggotai para ulama, tok guru pondok, imam dan ustaz muda membuat pengisytiharan bahawa memberi undi kepada Pas pada PRU-13 adalah haram.
Pertubuhan terlibat iaitu Minda Pondok, Ustaz Muda Membela Agama dan Tanah Air (Ummati), Ikatan Cendekiawan Islam Kelantan (ICIK) dan Pendita turut menegaskan bahawa perjuangan menentang Pas adalah jihad kerana mengundi parti itu bermaksud menyokong DAP yang merupakan parti cauvinis yang menolak Islam dan memperjuangkan sekularisme.
Sehubungan itu, kesemua NGO berkenaan yang diwakili pemimpin masing-masing berjanji akan menyediakan satu dokumen lengkap berhubung pengisytiharan tersebut untuk diberikan kepada raja-raja Melayu dan Majlis Fatwa Kebangsaan agar dapat dibincangkan dan menyelesaikan kekeliruan yang ditimbulkan oleh Pas selama ini.
Sementara itu, turut senada dengan Gerakan Tukar ialah Kelab Rekreasi Belia Pasir Puteh (Krispateh) yang menyokong penuh kenyataan yang dikeluarkan oleh beberapa NGO berhubung isu berkenaan.
Presidennya, Mohd. Ariff Hakimi Zulkifli berkata, pihaknya percaya pengisytiharan tersebut dibuat bukan atas dasar politik, sebaliknya bagi menjaga kesucian agama Islam.
"Pas dilihat tidak konsisten dalam isu berkaitan dengan agama Islam dan mereka dilihat telah gagal untuk membela agama sejak bersekongkol dengan DAP.
"Saya percaya rakyat sudah bijak untuk membuat penilaian sama ada Pas ikhlas atau tidak dalam membela Islam," ujarnya.
SUMBER-- KELATEKITO. NET
No comments:
Post a Comment