Monday, 25 February 2013





KOTA BHARU - Masyarakat Cina di negeri ini perlu membuat pilihan yang bijak dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) bagi menentukan hala tuju nasib mereka dan generasi akan datang.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kelantan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, mereka mempunyai pilihan sama ada ingin di takuk lama atau berubah seiring transformasi pembangunan ekonomi negara yang semakin berkembang.

Beliau berkata, prestasi pertumbuhan ekonomi negara pada tahun lepas ialah 5.6 peratus, iaitu tertinggi di Asia.

"Soalnya apakah rakyat Kelantan, khasnya masyarakat Cina, mahu mereka berada di takuk lama di mana perkembangan ekonomi menguncup berbanding negeri lain di bawah BN," katanya ketika berucap pada majlis sempena perayaan Tahun Baharu Cina anjuran Persatuan Teo Chew Kelantan semalam.

Awang Adek, yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata, Kelantan ketinggalan dalam banyak segi terutama bidang ekonomi kerana pelabur kurang berminat untuk menanam modal di negeri ini berikutan kekurangan prasarana.

Ini merupakan kesan pentadbiran kerajaan negeri di bawah pimpinan Pas yang gagal membawa perubahan dalam tempoh 23 tahun setelah mengambil alih daripada BN pada PRU 1990.

Beliau berkata, kadar hasil cukai yang mampu dipungut Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Kelantan berjumlah RM45 juta setahun berbanding Melaka RM1.6 bilion.

Katanya, walaupun masyarakat Cina boleh berbangga kerana mereka mendominasi bidang perniagaan namun tidak semua masyarakat itu, terutama yang tinggal di kampung, menjadi golongan kaya.
"Inilah pentingnya mereka membuat perhitungan yang bijak dalam memilih kerajaan kali ini, sama ada mahu berada di takuk lama atau menyahut cabaran dalam transformasi pembangunan ekonomi negara sehingga 2020," katanya

SUMBER - BERNAMA

No comments:

Post a Comment