ALOR SETAR - Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan kepimpinan parti itu perlu menarik balik dengan segera amanat yang dikeluarkan presiden PAS itu pada 1981 bagi memastikan masyarakat Melayu kembali bersatu demi kebaikan semua pihak.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata amanat itu telah memecah belahkan orang Melayu dan kembali aktif sejak akhir-akhir ini sehingga ada anggota PAS berdoa untuk kehancuran Umno yang dianggotai Melayu Islam.
"Amanat itu perlu ditarik balik oleh beliau (Hadi) kerana amanat bersifat ekstrem itu masih dipegang oleh anggota dan penyokong PAS dari dahulu hingga kini. Hari ini wujud perpecahan dalam kalangan masyarakat Islam," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Ahmad Bashah yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bakar Bata berkata PAS mengkafirkan Umno disebabkan ia berkawan dengan parti komponen kaum lain tetapi hari ini mereka boleh bekerjasama dengan DAP.
Mereka seolah-olah lupa apa yang mereka cakap sebelum ini dan\ seolah-olah memejamkan mata dengan apa yang mereka lakukan, katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment