Saturday, 17 March 2012

JANGAN TIKAM BELAKANG, UMNO NASIHAT AHLI - PRU 13

KOTA BHARU - Dua pemimpin Umno bersepakat bahawa tindakan menikam dari belakang antara anggota parti mampu menjejaskan peluang untuk menang dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), yang sekali gus boleh mengakibatkan parti ke­cundang lagi. 

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Hamzah Zainuddin dan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Fatmi Che Salleh berkata demikian ketika berucap pada Majlis Bicara Diambang PRU13 di Dewan Perhubungan Umno Negeri Kelantan di Jalan Tengku Chik di sini.

Hamzah, ahli Majlis Tertinggi Umno, yang menyokong pandangan Fatmi berkata, Umno perlu anggota yang mampu berjihad untuk me­negakkan perjuangan me­martabatkan bangsa, agama dan tanah air tetapi bukan mereka yang menggugat keharmonian parti untuk berdepan dengan PRU13.

“Tindakan sesetengah ahli yang menjejaskan kehar­mo­nian dalam parti akan mem­beri ruang dan peluang yang lebih mudah kepada musuh politik untuk menggagalkan perjuangan Umno bagi men­jamin kemenangan yang mutlak pada dalam PRU13,” katanya.

Lebih 500 orang hadir pada majlis itu termasuk Timbalan Ketua Umno Bahagian Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Ghani Wan Yusuf yang juga Pengarah Pilihan Raya Umum Barisan Nasional( BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Tan­jung Mas. Majlis dipengerusikan Datuk Ka­maruddin Abdullah.

Hamzah berkata, ahli Umno perlu mempertahan­kan perjuangan bangsa Me­layu sebagai platform meng­hadapi PRU13 yang mungkin berlaku tidak berapa lama lagi selain menyaksikan pertaru­ngan sengit antara parti-parti bertanding.

Sementara itu, Fatmi yang juga Ketua Umno Kota Bharu berkata, jentera parti perlu diperkukuhkan dalam bentuk perpaduan dan mereka yang cuba mencetuskan tindakan menikam dari belakang boleh membuat pilihan sama ada mahu terus kekal dalam parti atau sebaliknya.

Menurut­nya, sikap jujur dan ikhlas dalam perjuangan parti sudah mengambil tempat pada keseluruhannya dan Umno amat bangga perpaduan merupakan sebagai platform dan tulang belakang bagi kekuatan parti.

No comments:

Post a Comment