Friday 27 September 2013

#PemilihanUMNO: Calon Nasional Dari Pergerakan Pemuda Kelantan. #TukarKelantan!!!

Pemuda UMNO Kelantan memperkenalkan tiga calon bagi mewakili sayap itu untuk bertanding di peringkat Pusat dalam satu majlis yang diadakan di sini malam tadi.

Ketiga-tiga calon tersebut ialah Presiden Gerakan Destini Anak Bangsa (GDAB), Mohd. Faizal Daud; Pengarah Eksekutif GDAB, Ariff Hakimi Zulkifli dan Setiausaha Persatuan Anak-Anak Kelantan, Azlan Abdullah.

Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Anuar Safian yang ditemui selepas majlis tersebut berkata, ketiga-tiga calon diketengahkan itu mempunyai pakej lengkap dari segi pengalaman dan latar belakang pendidikan untuk membawa suara anak muda terutama dari Kelantan.

“Pemuda UMNO Kelantan memberi sokongan penuh kepada ketiga-tiga tokoh muda ini untuk bertanding jawatan Exco dan kita yakin mereka dapat melaksanakan tugas dengan baik untuk melakukan transformasi selaras dengan gagasan Perdana Menteri," katanya.

Sementara itu, Mohd. Faizal yang juga Presiden Himpunan Siswazah Kelantan (Himsah) dan Fellow Kanan Institut Pemikiran Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, fokus utama beliau adalah memberikan penekanan kepada aspek pendidikan.

“Saya melihat peranan Pemuda dalam bidang pendidikan sangat penting untuk menjadi juara dalam bidang pendidikan kerana mereka dekat dengan orang muda yang ingin tahu hala tuju mereka.

“Barisan kepimpinan dalam Pemuda UMNO masa kini memerlukan cendekiawan dan ahli akademik yang dapat memperkasakan bidang pendidikan untuk generasi muda," katanya.

Dalam pada itu, Ariff Hakimi yang juga seorang arkitek landskap dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Orang Muda Berbakti Kelantan (Tombak) berkata, perjuangannya adalah untuk memantapkan barisan Pemuda bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Saya merasakan sokongan orang muda pada masa kini semakin kritikal dan mereka telah beralih kepada pembangkang, justeru usaha untuk memulihkan kepercayaan orang muda harus dijadikan agenda utama.

“Ini bagi memastikan Barisan Nasional (BN) menang pada PRU-14 di Malaysia amnya dan Kelantan khususnya," kata beliau.

Azlan Abdullah yang juga seorang peguam berkata, sudah sampai masanya UMNO menarik lebih ramai pengamal undang-undang untuk menyertai parti tersebut sebagaimana dilakukan oleh pakatan pembangkang.

Katanya, pakatan pembangkang telah menggunakan kelebihan yang ada pada peguam untuk menarik sokongan daripada rakyat.

“Kita lihat ramai peguam berada dalam pembangkang, saya rasa sudah sampai masanya UMNO dibarisi oleh peguam-peguam untuk menguatkan parti terutama ketika berhujah ," katanya. - SUMBER



No comments:

Post a Comment