BERIKUT sebahagian daripada petikan kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun
Dr Mahathir Mohamad sejak kebelakangan ini, yang berkait rapat dengan
pilihan raya umum.
“Saya merasakan bahawa jika ia diadakan lewat sedikit, OK. Perlu ada
masa bagi Najib untuk membuat penilaian siapa yang harus dipilih sebagai
calon.
“Menjadi amalan biasa bagi seseorang yang tidak dipilih sebagai calon
untuk bertindak membuktikan bahawa calon yang dipilih adalah tidak
layak.
“Najib seharusnya bertindak untuk menjelaskan mengenai calon-calon
berpotensi... jika mereka tidak memberi sokongan kepada calon yang
dipilih, mereka juga akan berhadapan dengan masalah,” – 12 September 2011
"Saya mesti mengakui bahawa Najib dan pentadbirannya sangat terbuka.
Apabila memerlukan konsultasi daripada sesiapa, mereka akan berbuat
demikian, dan saya juga pernah memberikan pendapat beberapa kali,
misalnya mengenai proses transformasi.
"Bagi saya, untuk kembali dan terlibat secara langsung (dalam politik),
itu tidak mungkin berlaku. Sekali saya keluar, saya tidak akan masuk
semula. Saya hanya berharap mereka akan membaca blog saya, hanya setakat
itu yang boleh saya sumbangkan," - 30 September 2011
“Dulu orang Umno berkorban apa saja untuk parti, sanggup gadai barang
kemas dan sebagainya untuk bantu parti tetapi sekarang mereka pegang
jawatan sebab hendak dapat kontrak, jadi calon atau sebab tertentu.
“Jika diadakan PRU waktu ini, Umno boleh kalah besar kerana sokongan dan semangat mereka telah pudar.
“Dalam Umno masih ada puak. Saya fikir perpecahan masih kritikal. Kalau
ada kesedaran dan perasaan syukur dan terus bersatu, BN boleh menang.
Orang Umno seharusnya buang sifat tidak puas hati. Walaupun tidak dapat
apa yang dihajati mereka tetap menikmatinya dalam bentuk lain,” - 2 Oktober 2011
“Perkembangan politik di dalam UMNO masa kini adalah lebih baik
daripada daripada 2008. Pada ketika itu, ramai ahli UMNO telah mengundi
pembangkang. Bukan bermakna mereka tidak suka UMNO tetapi mereka tidak
suka dengan pemimpin di waktu itu jadi ianya direalisasikan dalam bentuk
undi.
“Walaupun melalui masa yang sukar kerana mempunyai majoriti yang kecil
di Parlimen tetapi dia (Datuk Seri Najib Tun Razak) berjaya melaluinya.
Ramai yang mengatakan bahawa Malaysia telah membangun dengan baik,” -28 November 2011
"Sekarang pun nampak bagus juga (untuk diadakan pilihan raya).
"Bila kita nampak boleh menang, bolehlah diadakan pilihan raya. Kita
ikut sistem British, dalam sistem British bila Parlimen tamat, pilihan
raya diadakan," 15 April 2012
"Mereka nak jadikan Malaysia seperti Mesir, Tunisia yang dijatuhkan
melalui rusuhan dan sekarang Syria...bila kerajaan tak jatuh, boleh
minta kuasa asing tolong jatuhkan, tak kiralah guna senjata sekalipun.
"Rakyat kena fikir dan tidak boleh benarkan perkara ini berlaku dengan
memberi kemenangan besar kepada BN pada PRU (pilihan raya umum) akan
datang.
"Dia (Datuk Seri Anwar Ibrahim) disingkirkan kerana ada tabiat buruk.
Bila kena buang dia tubuhkan PKR dan akan terus membuat bermacam-macam
angkara untuk menjadi perdana menteri.
"Nikmat yang dikecapi mentadbir negara sendiri tidak boleh dilepaskan
kepada orang yang tidak sabar dan sanggup pula memburukkan negara
sendiri” - 6 Mei 2012
"Masalah di sini bukan Najib... beliau pemimpin sebuah kerajaan yang lemah.
"Najib lebih popular sekarang.
"Sebelum ini, rakyat bukan menentang BN, tetapi mereka marah dengan perdana menteri sebelum ini, keluarganya dan menantunya.”
"Saya fikir takkan lama lagi dah sebab dah tak ada masa, cuma setakat
pertengahan tahun depan saja. Kalau rakyat beri sokongan yang baik, masa
itu adalah pilihan raya,” - 9 Ogos 2012
"Saya tidak tahu apa isi kandungannya (Bajet 2013) , tapi saya ingat
memandangkan pilihan raya tidak lama lagi, jadi ia adalah 'mesra
rakyat'.
"Kalau mahu naikkan cukai rokok dan arak, itu tak mengapa, tetapi yang lain jangan naik- 22 September 2012. -Sinar Harian
No comments:
Post a Comment