Monday, 30 July 2012

Video Projek Depu - Blogger Cabar Husam Supaya Saman


Pada minggu lalu Krew Kelantan Cyber Warriors (KCW Squad)  turun membuat liputan berkaitan isu projek depu yang menjadi tanda tanya seluruh rakyat di Malaysia terutamanya rakyat di Negeri Kelantan Darul Naim. Projek depu yang diilhamkan oleh Exco Kewangan Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Husam Musa ini terletak di Gua Musang.

Gk bersama blogger AmboOrang Kampung, taiko Mr Roza serta dibantu dua yang lain bersama meredah belantara tanpa sebarang papan tanda untuk sampai di ladang yang penuh misteri ini. Agak sukar ke ladang ini sepertimana sukarnya untuk mempercayai Husam Musa, jalan menuju ke tapak ini tidak punyai penduduk dan juga tidak punyai rangkaian celular. Bayangkanlah Adun dan Penggawa sendiri pun tidak tahu akan kewujudannya.

Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan, alang-alang turun berjuang sampai juga ke projek Husam, setibanya kami turut membuat rakaman ke seluruh kawasan tapak dan menemuramah pekerja PMBK merangkap 'Supervisor' di projek depu ini. Segala maklumat berkaitan projek depu telah kami rekod untuk dipersembahkan kepada seluruh rakyat Kelantan bagi tujuan penilaian terhadap kata-kata pemimpin yang bakal dipilih oleh mereka.... Selanjutnya Disini

'Karpal Tidak Terima Hudud Kerana Kufur' - Nasrudin Tantawi.

Dengan perjuangan PAS yang tidak pernah putus terhadap hudud, Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan Tantawi membuat Tweet yang menyatakan bahawa sesiapa yang tidak menerima hukum-hukum Allah adalah mereka yang kufur.

“(Pengerusi DAP) Karpal (Singh) tidak menerima hukum hudud kerana dia kufur. PAS perlu teruskan perjuangan untuk menegakkan Islam,” menurut Tweet dari akaun Nasrudin.

Karpal sentiasa tidak pernah putus dalam menolak pelaksanaan hukum hudud di Malaysia.

Kumpulan Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga dilaporkan bersetuju dengan kenyataan Karpal. Ketua Pemuda PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin, telah memberi amaran kepada Nasrudin bahawa komen-komen Nasrudin terhadap pelaksanaan hukum hudud akan menimbulkan masalah yang besar terutamanya apabila isu tersebut akan mengundang kemarahan bagi Karpal dan pemimpin-pemimpin DAP.

Shamsul juga berkata bahawa Nasrudin tidak sepatutnya membangkitkan isu lama apabila persetujuan antara PKR, DAP dan PAS terhadap isu ini telah dibuat.

Isu Royalti - Nik Aziz Nasihati Umno Jangan Bohong

SHAH ALAM - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, pemimpin Umno tidak wajar "berbohong" berhubung isu royalti petroleum, yang dituntut Kerajaan Negeri itu, lebih-lebih ketika bulan Ramadan sekarang.

Sambil menolak kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin semalam, Nik Abdul Aziz berkata, "berkatalah sesuatu yang benar di bulan Ramadan."

"Janganlah dididik lidah berbohong lebih-lebih lagi di bulan yang mulia ini," kata beliau dalam satu mesej dikeluarkan menerusi Facebook hari ini.

"Saya membaca kenyataan seorang pemimpin Umno di Kelantan dalam akhbar Sinar Harian hari ini bahawa royalti minyak telah dibayar kepada Kelantan dalam bentuk wang ihsan.

"Suka saya mengingatkan bahawa tuntutan terhadap royalti minyak ini bukan disuarakan oleh pemimpin kerajaan negeri dan rakyat Kelantan sahaja tetapi turut disuarakan oleh Sultan Kelantan dialam titah baginda sedikit masa dahulu.

"Apakah pemimpin berkenaan ingin menyatakan bahawa titah baginda silap dan tidak boleh dipercayai?" kata beliau yang menerajui kerajaan negeri sejak 1990.

Mursyidul Am Pas ini seterusnya berkata, mengapa Kerajaan Pusat membayar royalti kepada Sabah dan Sarawak sedangkan Kelantan disediakan wang ihsan.

"Saya ingin persoalkan kenapa negeri lain seperti Sabah dan Sarawak menerima royalti, bukan wang ehsan?

"Berkatalah sesuatu yang benar di bulan Ramadan. Janganlah dididik lidah berbohong lebih-lebih lagi di bulan yang mulia ini," katanya lagi.

Dalam laporan hari ini, Sinar Harian memetik Awang Adek berkata, tidak perlu melakukan konvoi atau demonstrasi tuntutan royalti minyak oleh mana-mana pihak memandangkan hak rakyat Kelantan itu, sudah diberikan kepada rakyat Kelantan secara terus dan bukan melalui Kerajaan Negeri.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengagihan Wang Ehsan Kelantan berkata, wang ihsan diberikan kepada mereka yang layak secara terus dan telus iaitu kaedah yang lebih baik berbanding diberikan kepada Kerajaan Negeri.

Menurutnya, wang itu adalah milik rakyat Kelantan dan tidak perlu Kerajaan Negeri menimbulkan kekecohan untuk menuntut diserahkan kepada mereka.

"Kerajaan Persekutuan bukan hendak sangat pun duit RM24 juta setahun untuk rakyat Kelantan.

"Kita berikan terus kepada yang layak seperti untuk kecemerlangan pelajar Ujian Pencapaian Sekolah Rendah, Penilaian Menengah Rendah, Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia dan pelajar yang memasuki universiti serta bantuan bencana untuk rakyat Kelantan," katanya.

Konvoi tersebut diketuai oleh Nik Abdul Aziz bersama 150 kereta dan 50 motosikal berkuasa tinggi bermula dari Kota Bharu, melalui Ketereh, Machang dan Kuala Krai, dan berakhir di Gua Musang.

Kenapa Pas Terus Berlembut Dengan DAP? - Awang Adek

KOTA BHARU - Umno Kelantan mempersoalkan tindakan Pas yang masih lagi berlembut dengan Pakatan Rakyat (PR) terutama DAP yang jelas menentang Islam termasuk pelaksanaan hukum hudud di negara ini.

Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata, Pas tidak wajar meneruskan kerjasama dengan DAP memandangkan sikap DAP yang dilihat tidak mesra Islam.

“Memang DAP konsisten dari dulu lebih ‘istiqamah’ dari Pas yang mana dari dulu lagi kita lihat DAP lantang menentang pelaksanaan undang-undang Islam di negara ini.

“Saya hairan kenapa Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan yang kata DAP sudah boleh menerima hudud sedangkan tidak pun. Di sini mengapa Pas masih lagi hendak bersekongkol dengan DAP dan masih berada dalam PR,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Awang Adek berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang mengatakan DAP tetap menentang pelaksanaan hukum hudud di negara ini biarpun mengakui Islam agama rasmi negara mengikut perlembagaan.

Dalam kenyataan itu, Karpal Singh berkata kenyataan itu adalah pendirian DAP bukan pandangan peribadinya.

Awang Adek berkata, umat Islam negara ini sudah boleh nampak keadaan tegang itu sekali gus akan menggugat sokongan rakyat terhadap Pas.

Beliau menegaskan sekiranya terdapat segelintir pemimpin DAP seperti Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng dilihat seakan-akan bersetuju dengan Pas berhubung hukum hudud, itu hanya sandiwara DAP.

Sunday, 29 July 2012

5 Keluarga Tinggal Sehelai Sepinggang


KOTA BHARU - Baru lapan hari umat Islam berpuasa, empat sekeluarga terpaksa menempuh detik perit apabila kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Wakaf Mek Zainab, di sini, petang kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 petang itu menyebabkan kesemua kediaman separuh kekal yang dipercayai disewa hangus sekelip mata.

Seorang penyewa rumah berkenaan, Rokiah Yahya, 57, berkata semasa kejadian, dia sedang memasak hidangan untuk berbuka puasa, di dapur dan dikejutkan dengan bunyi letupan dari rumah sebelah dan ternampak api bermula dari tingkat atas rumah terbabit.

“Terkejut melihatkan keadaan itu, saya terus mencapai beg tangan di luar dan beberapa dokumen penting dan terus keluar dari rumah serta mendapatkan cucu, Asri Aidil Hasan, 7, yang sedang bermain di luar rumah.

“Semua barangan lain saya tidak sempat ambil, kerana terkejut dan terus berlari keluar selamatkan diri,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurut seorang lagi penyewa di kawasan terbabit, Midah Abdul Rahman, 41, semasa kejadian dia berada di bazar Ramadan bersama suami membeli juadah.

“Saya hanya dimaklumkan selepas sampai di kawasan rumah oleh jiran tetangga dan terkejut melihat rumah terbakar dan semua barangan dalam rumah tidak dapat diselamatkan.

“Saya menyewa di kawasan ini hampir sembilan tahun dan kini kami perlu mencari kediaman baru,” katanya.

Midah berkata, persiapan kelengkapan raya juga turut musnah termasuk pakaian baru enam anaknya selain pakaian dia dan suami.

“Sedih bila mengenangkan nasib kami selepas ini kerana kami tidak sempat selamatkan barangan dan kelengkapan rumah,” katanya.

Ketua Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat, Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Mohd Sabri Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 5.45 petang dan sampai di tempat kejadian 10 minit selepas itu.

“Empat jentera dihantar ke tempat kejadian dengan kekuatan 22 anggota.

“Semasa kami sampai, hampir 90 peratus kediaman terbabit telah terbakar,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini kerugian dianggarkan bernilai RM70,000 dan pihaknya masih menyiasat punca kejadian.

Jangan Mudah Dakwa Undi BN Dapat Pahala Lebih - Nik Amar

KOTA BHARU- “Jangan mudah meletakkan andaian mengundi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum nanti (akan) diberi ganjaran pahala lebih,” kata Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah.

Bagi tujuan itu, Mohd Amar meminta Pemuda Umno Kelantan supaya tidak melabelkan pengundi yang akan mengundi BN mendapat pahala berdasarkan kenyataan Pas tidak dapat mengotakan janji-janji sahaja.

“Dosa dan pahala adalah berlandaskan dasar perjuangan, bukannya dilihat pada ketidakmampuan sesebuah parti dalam mengotakan janjinya,” katanya kepada Sinar Harian.


Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Pemuda Umno Kelantan, Anuar Safian yang menyifatkan pengundi BN akan mendapat pahala lebih dengan mengundi parti itu jika Pas tidak berbuat apa-apa kemajuan dalam Islam dan bangsa Melayu.

Kenyataan Anuar itu adalah susulan kenyataan Mohd Amar pada 29 Jun lalu yang mencabar Umno mengundi parti itu atau BN pada pilihan raya umum akan dikira sebagai amal soleh dan pahala jika Umno percaya perjuangannya selari dengan kehendak Islam.

Beliau yang juga, Pengerusi Jawatankuasa Islam, Pendidikan dan Dakwah menegaskan, kenyataan Anuar berhubung BN terbukti lebih banyak mengotakan janji dan menggerakkan syiar Islam tidak boleh dibanggakan.

“Di Kelantan, terdapat 118 projek Kerajaan Persekutuan yang terbengkalai biarpun Kerajaan Negeri beri kelulusan," katanya.

Pada masa sama, Mohd Amar menempelak Anuar kerana bagi beliau, Ketua Pemuda Umno Negeri itu kurang layak untuk berbincang soal itu.

“Soal dosa dan pahala ini adalah perkara luas kerana berkaitan agama. Ia bukan mudah diperkatakan,” katanya.

Saturday, 28 July 2012

Peniaga Kesal Dakwaan PKINK Tak Berasas

KOTA BHARU - Lima penyewa Darulnaim Autocity di Jalan Padang Tembak, Pengkalan Chepa kesal dengan dakwaan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) bahawa perniagaan mereka tidak berdaya saing dan berhutang dengan pihak terbabit sebanyak RM241,775 bagi tunggakan bayaran sewa.

Menurut seorang penyewa Mohd. Nawi Mohd. Tahir, 48, kesemua penyewa di Darulnaim Autocity kini dalam keadaan buntu dan tidak mengetahui niat sebenar pihak PKINK.

“Mereka mengatakan kami gagal mencapai objektif yang digariskan dan hanya enam pengusaha bengkel yang beroperasi secara kecil-kecilkan dan banyak premis yang tidak disewakan.

“Sebenarnya hanya dua sahaja lot yang tidak disewa dan hampir semua peniaga menyewa dua lot, malah, saya sendiri menyewa tiga lot,” katanya.

Sebelum ini, mereka menerima notis 14 hari untuk mengosongkan premis perniagaan dan berdepan kehilangan perniagaan masing-masing namun masih boleh bertahan kerana mempunyai pelanggan yang tetap di kedai mereka.

“Kami pernah menghantar surat memohon penyata sewa tapi sehingga kini kami masih belum menerimanya dan kami tidak tahu jumlah sebenar tunggakan sewa.

“Setakat ini mereka hanya senaraikan dua penyewa di kawasan itu dan ada di antara sudah tidak menyewa, malah salah seorang penyewa itu sudah meninggal dunia dua tahun lalu,” katanya.

Mohd Nawi berkata, mereka mungkin mengira keseluruhan hutang termasuk penyewa lama dan itu tidak adil bagi mereka.

Sinar Harian sebelum ini, melaporkan, mengenai masalah yang menimpa mereka apabila diberi notis 14 hari untuk mengosongkan premis selepas PKINK menyerahkan pengurusan kepada Suria KR Sdn. Bhd.

Bagaimanapun, Ketua Eksekutif Kumpulan PKINK, Mohd Sabri Abdullah mengeluarkan kenyataan dalam Sinar Harian, 7 Jun lalu, dengan memberitahu penyewa kompleks tersebut gagal mencapai objektif yang digariskan dan mereka mahu mencari penyewa lain.

Dalam pada itu, Mohd. Nawi mendakwa jentera sebahagian kelengkapan yang digunakan mereka di premis tersebut juga tidak mendapat kelulusan daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP) selain ada yang sudah tamat tempoh.

Kelmarin, JKKP membuat tinjauan ke kompleks tersebut untuk melakukan pemeriksaan terhadap jentera-jentera yang terdapat di kawasan berkenaan.

Premis Karaoke dan Minuman Keras Diserbu 10 kali Tapi Tetap Berdegil

KOTA BHARU - Degil! Walaupun sudah 10 kali diserbu pihak berkuasa sebelum ini, pemilik sebuah premis yang menyediakan karaoke dan minuman keras di bandar ini, masih menjalankan operasi di premis terbabit sehinggalah diserbu kelmarin.

Dalam operasi jam 11.45 malam itu, semua peralatan karaoke, minuman keras serta kerusi dan meja dianggarkan bernilai RM100,000 dirampas, manakala seorang pekerja turut ditahan.

Operasi Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam(MPKB-BRI) dan Jabatan Imigresen Kelantan itu diketuai Pegawai Turus D7 IPK Kelantan, Asisten Superintenden Nik Rosdi Nik Yahya.

Nik Rosdi berkata, pemilik premis itu tidak menghiraukan undang-undang apabila kembali beroperasi walaupun sering diserbu.

“Pusat hiburan itu tiada lesen dan kita merampas semua peralatan karaoke dan seorang lelaki yang juga pekerja di premis berkenaan turut ditahan. Semasa serbuan dijalankan, 30 lelaki dan sembilan wanita bukan Islam yang berada di dalam premis itu ditahan dan tindakan diambil mengikut Seksyen 6 (1) Enakmen Hiburan Negeri Kelantan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguat kuasa MPKB-BRI, Ramly Che Hussein berkata, pihaknya merampas semua minuman keras, kerusi dan meja di premis berkenaan.

“MPKB-BRI mengambil tindakan mengikut Undang-Undang Kecil Pengawalan Establishment Makanan MPKB 1980 kerana menjalankan perniagaan minuman keras tanpa lesen.

“Premis ini sering diserbu, namun pemiliknya tetap menjalankan perniagaannya kerana memperolehi keuntungan besar,” katanya.

Husam Jawab Isu Kelantan Koridor Depu


APABILA terlampau banyak projek-projek yang diumum akan dilaksanakan di Kelantan oleh pelopor utamanya yang juga Exco Kewangan Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Husam Musa seakan-akan ada sesuatu yang tidak kena dengan pengumuman projek-projek tersebut.

Kebanyakkan pandangan rakyat menyatakan projek yang diumum beliau hanyalah bersifat memperbodohkan rakyat diatas kepercayaan yang telah diberikan kepada Pas selama ini, sekalipun projek yang diumumkan tak terlaksana seperti yang dijanjikan, pemimpin Pas tetap bersahaja dengan alasan-alasan rutin yang menyalahkan Umno diatas kegagalan mereka dan alasan itu dilihat masih terpakai kepada segelintir penyokong Pas.

Seperti  projek pembinaan lebuhraya rakyat yang bernilai RM 1.8 Billion dan mengharap sumbangan derma dari rakyat itu juga adalah salah satu projek diluar pemikiran waras manusia, ini kerana pelancaran dan peletakkan batu asas dibuat ketika projek tersebut masih belum mendapat kelulusan exco kerajaan negeri Kelantan, dan kerja-kerja mengukur serta membayar pampasan kepada pengambilan tanah rakyat juga belum lagi dibuat.

Adat kata memang tidak terfikir apa yang akan dilakukan oleh Pas dengan projek itu, lebih selesa melihat projek lebuhraya itu turut akan menemui kegagalan sama dengan projek koridor depu Kelantan, tapi bagaimana pula penafian Husam mengenai kegagalan projek depu itu, benarkah projek depu gagal atau kegagalan tersebut hanyalah satu fitnah dari Umno untuk memburukkan nama baik kerajaan Islam Pas dan Husam?

Pada Sidang DUN ketika menjawab soalan dari wakil Nenggiri berkaitan projek depu , Husam menafikan kegagalan projek itu malah beliau menjelaskan dengan lebih terperinci sepertimana yang boleh anda saksikan pada klip video dibawah, namun penjelasan Husam itu nampaknya telah dicabar oleh pihak tertentu yang difahamkan bersedia untuk membongkar realiti sebenar di ladang depu dan akan mengirimkan bukti rakaman video dan temubual dalam waktu terdekat ini.

Sama-sama kita nantikannya.

Friday, 27 July 2012

Undi BN Akan Dapat Lebih Pahala Berbanding Pas?

KOTA BHARU- Pemuda Umno Kelantan menyifatkan pengundi yang akan mengundi Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum akan datang akan mendapat lebih pahala daripada apa yang mereka peroleh berbanding mengundi Pas.

Ketuanya, Anuar Safian berkata, pihaknya memberi jaminan jika Pas tidak berbuat apa-apa kemajuan dalam Islam dan bangsa Melayu di negara ini, mereka tidak boleh mendabik dada dengan mengatakan rakyat akan mendapat pahala apabila mengundi parti itu.

“BN terbukti banyak mengotakan janji dan menggerakkan syiar Islam di negara ini.

“Apabila bandingan dibuat terhadap tahap pencapaian Pas yang banyak menabur janji berbanding mengotakannya, malah mengatakan dengan memberi sokongan sudah membuahkan pahala, tentu rakyat yang mengundi BN mendapat ganjaran lebih daripada itu,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Pada 29 Jun lalu, Timbalan Pesuruhjaya III Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah membuat kenyataan dengan mencabar Umno mengundi parti itu atau BN pada pilihan raya umum akan dikira sebagai amal soleh dan pahala jika Umno percaya perjuangannya selari dengan apa yang dikehendaki Islam.

Anuar berpendapat, pahala itu boleh diibaratkan orang yang solat sunat Tarawih lapan dan 20 rakaat pada bulan puasa, jika solat lapan rakaat boleh mendabik dada dengan mengatakan mendapat pahala besar, sudah tentulah Terawih 20 rakaat lagi besar pahalanya.

Pada masa sama, beliau berkata, rakyat seharusnya membuat penilaian sebenar mengenai kemajuan syiar Islam yang dicapai sepanjang 12 dan 22 tahun pemerintahan kerajaan Pas Kelantan.

“Mereka (rakyat) perlu memikirkan sama ada ia (Pas) layak atau tidak diberi pengiktirafan demikian.

“Apa hukumnya pula jika mengundi sebuah parti yang hanya pandai berjanji yang penuh dengan retorik, iklan dan saling memfitnah kerana apa yang dirisaukan, melaluinya takut ia boleh menambah dosa,” katanya.

Thursday, 26 July 2012

Abby Abadi Tak Bekerja di Sebabkan Kerajaan??

Isu mengenai dunia artis hari ini semakin lama semakin berada di kemuncak bila satu-satu kenyataan yang mereka keluarkan.

Termasuklah diri seorang pelakon wanita, Arbaiyah Abdul Manan atau lebih di kenali sebagai Abby Abadi yang semakin lancang bersuara selepas berhijrah memakai hijab dan terus menyertai parti Islam Pas.

Satu-satu isu tentang dirinya timbul selepas dia juga ‘berhijrah’ menyertai Pas.

Sekali lagi, memang tiada salah untuk Abby Abadi berbuat demikian, kerana itu adalah hak dan keputusan untuk dirinya sendiri.

Yang terkini, Abby mengeluarkan kenyataan yang mengatakan kerana kerajaan sekarang, dia tidak mempunyai sebarang pekerjaan.

Malah, bakatnya untuk berkarya sebagai artis Muslimah yang sudah bertudung juga tidak dapat dikembangkan.

Selain itu, Abby turut mengatakan kenyataannya menerusi laman Malaysian Insider, ruang untuk dirinya berkarya juga terhad kerana kerajaan yang ada sekarang.

Antara kata-katanya:

“Apabila anda berhijrah, ruang untuk anda berkarya secara kreatif adalah terhad, oleh itu kita perlukan drama dan filem yang Islamik.

“Selebriti seperti kami hanya akan bekerja di dalam dunia seni apabila ianya adalah sejajar dengan syariah Islam. Untuk itu, PR perlu menang dan membentuk kerajaan untuk merealisasikan dunia hiburan yang berdasarkan syariah,”
kata Abby.

Jadi, Abby berharap untuk parti pembangkang, Pakatan Rakyat yang akan menang untuk Pilihan Raya Umum 13 (PRU-13) akan datang ini supaya dia dapat bekarya menjadi artis semula.

Katanya, kerajaan yang ada sekarang ini perlu ditumbangkan supaya dia dapat pekerjaan.

Betul ke?

Mungkin Abby sesuai menjadi ahli politik dari menjadi artis? Siapa tahukan?

11 Komputer Dirampas Guna Cip Judi

KOTA BHARU - Sebanyak 11 komputer yang menggunakan cip perjudian berjaya dirampas dalam serbuan sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di sebuah premis di Jalan Tok Kenali, Kubang Kerian, di sini, petang kelmarin.

Operasi yang dilakukan pada jam 3.30 petang itu, diketuai oleh Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman.

Beliau berkata, serbuan terbabit dilakukan hasil risikan anggota di kawasan itu dan dipercayai perniagaan berkenaan beroperasi sejak tiga bulan lalu.

“Dianggarkan keseluruhan jumlah komputer yang dirampas bernilai RM 20,000 dan pihak polis akan menjalankan siasatan terhadap premis terbabit di bawah seksyen 4 B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1952.

"Kita turut mengenal pasti modus operandi pemilik premis ini yang menggunakan teknik yang sama seperti dua premis yang kita serbu sebelum ini, iaitu di Jalan Kebun Sultan dan di Wakaf Che Yeh,” katanya kepada pemberita.

Azham berkata, dalam serbuan berkenaan, tiada sebarang tangkapan dilalukan namun mereka sudah mempunyai maklumat lengkap dan pasti sedikit masa lagi dapat menyelesaikan kes ini.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Azham berkata, setakat ini sebanyak 33 komputer yang menggunakan cip perjudian berjaya dirampas dalam serbuan yang dilakukan pihaknya bulan lalu.

Kesemua komputer yang dirampas termasuk di dua premis sebelum ini selain di Kubang Kerian kelmarin, berjumlah hampir RM100,000.

Sunday, 22 July 2012

Geng Perompak Susu Sudah Bermula Di Kelantan

KOTA BHARU - Seorang peniaga kedai runcit terkejut apabila tidak sampai 20 minit susu bayi berjenama bernilai RM4,000 yang dijual di kedainya berjaya dilarikan oleh pencuri yang bergerak secara berkumpulan.

Aini Ibrahim, 46, berkata, kejadian yang berlaku kira-kira jam 6.25 petang itu dipercayai dirancang berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di kedai tersebut.

“Melalui rakaman itu saya melihat kumpulan yang melibatkan tujuh hingga lapan orang itu datang dengan menaiki dua buah kenderaan MPV jenis Grand Livina dan Alza.

“Mereka berpecah menjadi tiga kumpulan iaitu yang pertama berlakon menjadi pembeli dengan dan menarik perhatian suami saya pada ketika itu menjaga kaunter pembayaran, manakala sekumpulan lagi berada di luar kedai mengawal keadaan.

“Kumpulan ketiga melibatkan wanita berbaju kurung saiz besar yang bawa keluar susu berjenama tersebut dengan memasukkan tin susu bersaiz besar ke dalam pakaian mereka,” katanya ketika ditemui di kedai yang terletak di Jalan Datuk Lundang di sini, semalam.

Menurutnya, apa yang menjadi tanda tanya ialah bagaimana wanita yang terlibat menyusun tin-tin susu bersaiz besar di dalam baju yang dipakai dan ia seakan-akan terdapat tempat khas di dalam baju tersebut untuk meletakkan tin susu yang dicuri.

Aini berkata, semasa kejadian dia meninggalkan suaminya, Mohd Ropi Ismail, 47, untuk menunaikan solat Asar dan apabila selesai solat dia mendapati rak yang berisi susu berjenama jenis Abbott, Snow dan Anmum kosong, yang tinggal hanya tin bersaiz kecil sahaja.

“Kami berniaga di sini semenjak tahun 1979 lagi. Kerugian kali ini merupakan yang terbesar pernah kami alami,” katanya.

Mereka membuat laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu pada hari keesokannya.

Friday, 20 July 2012

‘Aku Mengaku Aku Allah’ dan ‘Aku Ini Nabi Akhir Zaman’

Ayer Keroh – Seorang bekas kapten kapal didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam kerana mengaku dirinya Allah dan Nabi akhir zaman.

Bagaimanapun, tertuduh, Roslan Abdul Rahman, 44, mengaku tidak bersalah terhadap kesalahan yang didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Rembia Perkasa 14, Taman Rembia Perkasa, Alor Gajah, jam 3.15 petang kelmarin.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengejek agama Islam dengan menyatakan ‘aku mengaku aku Allah’ dan ‘aku ini Nabi akhir zaman’.

Dia dituduh mengikut Seksyen 62, Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 iaitu mempersenda agama Islam.

Sabit kesalahan, boleh dihukum denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih 36 bulan atau kedua-duanya.
Pendakwaan dilakukan Pegawai Syarie, Che Zam Zam Che Man di depan Hakim Syarie Mohd Asri Tahir.

Tertuduh mengejutkan mahkamah apabila tiba-tiba naik berang dan mempersoalkan tindakan pihak berkuasa menahannya.

“Benda itu (tuduhan wujud) lepas saya ditangkap, lepas semua kecoh. Apa kesalahan saya pada awal ditangkap, atas dasar apa?,” katanya dalam nada tinggi.

Mohd Asri kemudian menasihatkan tertuduh supaya menjawab soalan sama ada dia faham atau sebaliknya pertuduhan dan menyatakan pengakuan bersalah atau tidak.

Selepas keadaan tenang, tertuduh meminta pertuduhan dibacakan sekali lagi oleh jurubahasa yang mana dia kemudian mengaku tidak bersalah.

Che Zam Zam memohon tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM4,000 dengan dua penjamin dari kalangan ahli keluarga terdekat.

Tertuduh dalam reaksi spontan dengan nada keras memberitahu tidak mempunyai wang, selain tiada ahli keluarga terdekat.

Mohd Asri membenarkan permohonan Che Zam Zam dan menetapkan 15 Oktober ini untuk sebutan semula.

Perceraian Berlaku Bukan Kaitan Politik - Yahya

PASIR MAS – Selepas mengambil pendekatan berdiam diri, Yahya Ibrahim, 78, bersetuju untuk menceritakan perkara yang tersirat, di sebalik keruntuhan rumah tangganya, dengan seorang guru al-Quran, sejak 14 tahun lalu. Sinar Harian berkesempatan untuk bertemu dengan Yahya atau pun lebih dikenali sebagai Pok Yo untuk mendapatkan reaksinya berhubung isu penceraian yang dikaitkan berpunca akibat ketaksuban dalam politik.

Bolehkah Pok Yo terangkan apa sebenarnya berlaku?

Yahya: Saya kesal kerana bekas isteri saya (Che Hasnah Che Ahmad, 61, atau dikenali sebagai Mok Yam), mengaitkan perpisahan ini dengan perbezaan politik.

Dalilnya, saya berkahwin dengannya, ketika dia masih lagi aktif dalam politik, maka tidak timbul perbezaan fahaman, sehingga berlakunya perceraian ini.

Saya ceraikan dia dengan talak satu, kerana sikapnya yang tidak taat, meninggi suara, tidak bertanggung jawab dan bercakap guna emosi.

Mok Yam terkeliru apabila saya menyuruh dia ikut ajaran Islam, tetapi disalah anggap sebagai ikut fahaman politik. Saya tegaskan agar dia ikut ajaran Nabi, malah tidak mengaitkan langsung nama-nama ahli politik di Kelantan.

Baru-baru ini, Mok Yam menafikan dia pernah minta diceraikan dengan talak tiga.

Yahya: Saya juga ada saksi, ketika kami bergaduh mengenai isu ini, malah saksi itu juga adalah seorang lelaki, baligh, berakal dan memahami setiap tutur kata Mok Yam.

Sesat adalah satu kesalahan besar, tetapi apa yang dilakukan oleh Mok Yam sehingga didakwa sesat?

Yahya: Saya kata dia sesat, bukan disebabkannya pergi ceramah (Datuk) Dr Hasan Ali (bekas Naib Presiden Pas) atau kerana memakai baju merah, tetapi sikapnya yang terlalu menyimpang dengan ajaran Nabi. Ia bukanlah setakat solat lima waktu, memakai tudung dan mengaji al-Quran, tetapi perbuatan lain, juga dikira sebagai amalan, dan tidak terhad dalam satu perkara sahaja. Paling mengecewakan saya, apabila dia memburuk-burukkan seorang ulama, dan terkilan kerana tidak dapat membentuk isteri yang solehah.

Memandangkan usia semakin lanjut, lama berkahwin dan Islam sendiri tidak sukakan penceraian, tiada ada jalan lain selain cerai?

Yahya: Selama ini, saya cuba pelbagai cara untuk membentuknya sebagai seorang isteri solehah, namun selepas semua usaha saya tidak berjaya, saya yakin perkahwinan ini tidak akan berjaya sekiranya tiada persefahaman lagi. Puas saya beri dia masa untuk berfikir dan berubah, namun dia tetap melihat nasihat saya dari sudut politik.

Adakah masih ada sifat sayang yang memungkinkan boleh bersatu kembali?

Yahya: Saya mengucap syukur sekiranya dia berubah sikap, dengan menjalankan apa yang disuruh agama dan meninggalkan apa yang dilarang.

Saya masih sayangkannya, tetapi tidak akan meneruskan silaturahim sebagai sepasang suami isteri. Apa yang ditakdirkan, sudah ditentukan Ilahi.

Thursday, 19 July 2012

Lagi Warga Emas Ditemui Merempat

KOTA BHARU-Desakan hidup akibat ditinggalkan keluarga, menyebabkan seorang warga emas terpaksa hidup merempat bagi mendapatkan sesuap nasi dan tempat berteduh.

Melihatkan keadaannya yang tidak tentu arah dan tidur beralaskan kain tanpa selimut di atas simen di Dataran Usahawan, berdekatan Stadium Sultan Muhammad IV, sudah pasti meruntun jiwa masyarakat yang melihat warga emas itu.

Menurut pemilik kedai yang enggan dikenali, dipercayai warga emas itu mula tinggal di kawasan terbabit sejak 10 hari lalu.

Memperkenalkan diri sebagai Hassan Basri Mohamad, 56, menurutnya, selepas bercerai dengan isteri, dia seperti disisihkan keluarga serta tidak pernah berjumpa dengan empat anaknya yang dikatakan dipelihara oleh keluarga angkat.

“Pakcik tak pernah tinggal dengan anak sebab mereka tinggal dengan keluarga angkat, cuma baru-baru ini ada anak pakcik datang ambil pakcik dekat stadium tempat tinggal sekarang.

“Kata anak pakcik tu yang hanya dikenali dengan nama Maziah, dia nak kahwin, jadi dia ambil pakcik untuk jadi wali dan selepas selesai majlis akad nikah dan urusan perkahwinannya, dia hantar semula pakcik ke sini (stadium),” katanya kepada pemberita ketika ditemui semalam.

Hassan berkata, walaupun ditinggalkan di situ dalam keadaan merempat, dia masih bersyukur kerana ramai yang prihatin terhadap nasibnya yang hidup sebatang kara.

“Saya yang minta dia (anak) hantar ke sini kerana memudahkan kerja saya untuk mengutip barang-barang terpakai dan menjualnya kepada pemborong. Lagipun saya juga tak pernah tinggal dengan anak dan mereka dibesarkan oleh keluarga angkat, kerana saya juga tidak mempunyai pekerjaan tetap untuk menyara mereka semasa mereka kecil,” dakwanya.

Menceritakan kisah hidupnya, Hassan yang berasal dari Pasir Mas berkata, walaupun hidup merempat, namun dia tidak pernah berusaha mencari anak-anaknya itu.

“Syukur Alhamdulillah ramai orang prihatin terhadap pakcik tetapi tak tahulah sampai bila sebab pakcik tak ada tempat tinggal lain kalau pakcik dihalau dari sini,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Jajahan Kota Bharu, Ruzaidi Che Soh, ketika dihubungi berkata, JKM akan menempatkan warga emas terbabit di Rumah Sri Kenangan, Taman Kemumin, Pengkalan Chepa buat masa ini.

“Setakat ini, dia masih belum cukup umur 60 tahun, namun kes ini akan dirujuk di bawah Akta Orang Papa 1977 di bawah JKM bagi mendapatkan perlindungan terhadapnya.

“Kita akan kaji perkembangannya memandangkan dia mengalami masalah batuk dan selema dan akan rujuk dia ke hospital untuk dapatkan rawatan sebelum di tempatkan di rumah perlindungan terbabit,” katanya.

PRU-13 Adalah Satu Jihad Dalam Umno

PASIR PUTEH - Umno menganggap Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) merupakan satu jihad kerana kerajaan Barisan Nasional serius memperjuangkan agama yang wajib dikekalkan.

Ketua Umno Bahagian Pasir Puteh, Zawawi Othman berkata, Pas dalam Pakatan Rakyat (PR) seperti kehilangan hala tuju kerana dihimpit pandangan berbeza daripada PKR dan DAP.

“Kita lihat bagaimana Pas melaungkan slogan kebajikan mentadbir Kelantan dengan meminta derma rakyat untuk membina lebuh raya sedangkan kerajaan sepatutnya berperanan sebagai bapa yang memberikan wang kepada anak-anak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Perwakilan Pergerakan Puteri Umno Bahagian Pasir Puteh Kali Ke-10 yang disempurnakan Naib Ketua Puteri Umno Malaysia, Shahanim Mohd Yusof.

Turut hadir ialah Ketua Puteri Umno Pasir Puteh, Zurina Ripin, Ketua Puteri Umno Kelantan, Maznah Yaacob dan pimpinan Umno Bahagian.

Zawawi berkata, sayap parti, Puteri Umno perlu mempersiapkan diri dengan ilmu untuk menghadapi serangan daripada Pas atau PR.

Sementara itu, Shahanim dalam ucapan perasmiannya berkata, Puteri Umno perlu menggunakan konsep 6S sebagai persediaan berdepan parti lawan dalam PRU13.

Katanya, 6S yang dimaksudkan ialah setia parti, semangat, syukur nikmat, satu pengundi satu undi, satu padu dan sukarela yang dilihat perlu untuk menghadapi cabaran PR.

“Kita mesti setia kepada parti, jangan mudah mengalah apabila calon yang diharapkan tidak terpilih, pilih sesiapa sahaja yang dipilih Perdana Menteri.

“Semangat untuk berkempen bagi menarik orang ramai mengundi BN juga penting selain syukur nikmat kerana kerajaan begitu banyak membantu rakyat,” katanya.

Ditikam Kerana Mahu Menangkap Pencuri Motosikal Rakan

KOTA BHARU-Seorang ahli Skim Rondaan Sukarela (SRS) mengalami kecederaan di bahagian perut selain di pergelangan tangan selepas ditikam dan digigit seorang lelaki ketika cuba mendapatkan motosikal milik rakannya yang dipercayai dicuri suspek di Kampung Gual Jedok, Tanah Merah, di sini, petang kelmarin.

Mangsa, Mohd Shazwan Mohd Nor, 23, berusaha mendapatkan dua suspek yang menaiki motosikal secara berasingan dengan memecut kereta yang dipandunya bersama rakannya, Hassan
Safin, 22, sejauh 10 kilometer sehingga sampai berhadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Jedok, bagi menangkap mereka.

Mohd Shazwan bertindak nekad melawan mangsa dan ketika dia cuba menumbuk salah seorang suspek, lelaki terbabit bertindak menggigit dan menikam mangsa sehingga dia mengalami kecederaan di perut.

Ibu mangsa, Norizan Che Abdullah, 45, berkata, ketika kejadian dia berada di rumah dan dikejutkan dengan kejadian anaknya, ditikam dari salah seorang kenalannya.

“Ketika kejadian kira-kira jam 3.45 petang, anak saya keluar bersama rakannya membeli kad prabayar berdekatan dengan kedai dalam kampung ini.

“Tidak saya sangka kejadian itu menimpanya dan selepas menerima berita itu saya terus ke hospital Tanah Merah bagi melihat keadaannya sebelum dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II)," katanya ketika ditemui di wad HRPZ II, semalam.

Norizan berkata, Mohd Shazwan sanggup menggadaikan nyawanya walaupun dia tidak mempunyai senjata bagi menangkap penjenayah itu.

“Mujurlah dia hanya mengalami kecederaan di bahagian perut selepas ditikam, jika tidak saya tidak tahulah bagaimana nasib anak saya.

“Lagipun dia hanya mengejar dua penjenayah itu yang mencuri motosikal milik rakannya dan mendapatkan kenderaan itu semula, namun menerima nasib begini, apa pun makcik masih bersyukur kerana dia selamat,” katanya.

Sinar Harian cuba menemu bual mangsa, namun dia masih lemah dan tidak mampu bercakap dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, rakan mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mohd Shazwan pada mulanya mendapatkan rawatan di hospital Tanah Merah, namun bagi memastikan keadaannya tidak serius, pihak hospital memindahkan pesakit ke HRPZ II untuk rawatan susulan.

“Setakat ini motosikal jenis Honda Wave yang dicuri dapat ditahan bersama salah seorang suspek yang berusia 34 tahun dan kami giat memburu seorang lagi rakannya yang melarikan diri,” katanya ketika ditemui di HRPZ II, selepas melawat mangsa semalam.

Wednesday, 18 July 2012

Setuju Kempen Pilihanraya Tak Gantung Bendera Parti - Nik Aziz

KOTA BHARU - Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat setuju jika kempen pilihan raya di negara ini tidak membabitkan pemasangan bendera parti seperti yang dilaksana di Thailand.

Katanya penggunaan bendera hanya menyumbang kepada kekotoran selain mencacatkan pemandangan. "Saya setuju dengan cara berkempen di Thailand yang tidak membenarkan mana-mana parti politik untuk menggantung bendera ketika kempen pilihan raya berlangsung. "Kalau kita boleh berpakat tak payah pakai bendera sebab kadang-kadang serabut tengok bendera kotorlah, koyaklah...tak cantik," katanya kepada pemberita di sini malam Selasa.

Beliau yang ditemui selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang sempena Sambutan Hari Kemerdekaan ke-55, diminta mengulas mengenai cara berkempen di Thailand yang tidak membenarkan pemasangan bendera parti.

Majlis turut dihadiri Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed serta wakil jabatan kerajaan negeri dan persekutuan. -BERNAMA

Bantuan Untuk Warga Miskin Diperuntukkan Lebih RM16,000 Sempena Ramadhan

KOTA BHARU - Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) memperuntukkan RM16,830 untuk bantuan warga miskin di Kelantan bersempena menyambut Ramadan bagi tahun ini.

Ahli Lembaga Pemegang Amanahnya, Selamat Amir berkata, peruntukan yang disalurkan menerusi Program Sinar Ramadan itu diberikan kepada 33 isi rumah terpilih dari seluruh negeri. “Program pada kali ini masuk tahun kelima kita lakukan turun ke padang menghulurkan sumbangan kepada orang miskin yang memerlukan.

“Tahun ini kita bagi lebih sikit yang mana setiap ketua isi rumah kita bagi RM510 berbanding tahun lepas hanya RM460. Nilai sumbangan bertambah sebab kita buat berdasarkan pendapatan garis kemiskinan yang mana tahun ini meningkat,” katanya kepada Sinar Harian ketika mengunjungi keluarga miskin terpilih untuk bantuan sempena Program Sinar Ramadan di sini, semalam.

Selamat berkata, kriteria pemilihan untuk mendapatkan bantuan itu ialah pihaknya memberi keutamaan kepada ibu tunggal, anak yatim dan warga emas. “Kita juga pilih untuk bagi sumbangan adalah dalam rumah itu mesti mempunyai empat hingga lima orang ke atas,” katanya.

Selamat berkata, pihaknya memilih pendekatan memberikan bantuan berupa wang tunai kerana ia lebih sesuai mengikut keperluan dan kehendak warga miskin terbabit.

“Kita tidak memberi bantuan daripada segi barangan keperluan sebab kadangkadang keperluan manusia tidak sama yang mana hobi ataupun cara makan pun tidak sama,” katanya. Selamat berkata, berdasarkan pengiraan pihaknya, peruntukan itu mencukupi untuk memenuhi keperluan asas warga miskin tersebut bagi tempoh sebulan sepanjang bulan Ramadan.

“Selalunya kita bagi sumbangan seminggu sebelum puasa dan sebelum membuat keputusan untuk menyumbangkan jumlah ini kita membuat pengiraan terlebih dahulu dan mendapati ia cukup untuk mereka (warga miskin) membeli makanan berbuka dan bersahur,” katanya.

Tarikh Semakan Arah Kiblat Berubah

BACHOK – Tarikh sepatutnya berlangsung proses istiwa adzam setiap tahun iaitu pada 16 Julai dianjak kepada 15 Julai tahun ini memandangkan tahun ini adalah tahun lompat. Pensyarah Pengajian Ilmu Falak dan Syarie Kolej Islam Sains dan Teknologi (Kist), Mohd Nor Husain berkata, semakan arah kiblat tahun ini berubah sehari daripada tarikh yang sama tahun-tahun sebelumnya termasuk juga pada 28 Mei (5.16 petang) lalu yang bertukar kepada 27 Mei.

Menurutnya, pada tarikh 16 Julai waktu yang sesuai diukur kedudukan kiblat ialah pada 5.28 petang tetapi tahun ini tarikh yang sama pengukuran dibuat ialah pada jam 5.22 petang. “Amat mudah untuk mengukur kedudukan kiblat ini yang pada tarikh ditetapkan, kedudukan matahari adalah terletak di atas kaabah. Waktu yang diukur itu adalah beberapa minit sebelum azan Zuhur di Mekah.

“Untuk mengukurnya, hanya memerlukan sebatang kayu yang diletak di kawasan lapang dengan cahaya matahari yang terang. Di situ kita akan dapat lihat bayang kayu tadi, dan arah kiblat yang sebenarnya adalah yang bertentangan dengan bayang kayu tadi,” katanya ketika majlis semakan kiblat sempena Istiwa Adzam di Kist, semalam. Majlis tersebut dirasmikan Timbalan Mufti Kelantan, Datuk Nik Nik Mohammad.

Katanya, walaupun kaedah kompas digunakan secara meluas mengukur kiblat namun ia ada kelemahan disebabkan kutub magnet tidak dengan seperti kutub utara sebenar. Katanya, faktor lain seperti berdekatan besi yang mempengaruhi gerakan kompas juga menyebabkan ralat pada kompas.

“Walaupun hari ini adalah hari ditetapkan untuk mengukur kiblat tetapi sebenarnya di bawah Unit Falak, Jabatan Mufti pengukuran ini dibuat setiap masa berdasarkan data kecuali pada Jun dan Disember kerana pada bulan ini tiada bayang diperolehi.

“Untuk menyedarkan orang ramai mengenai kehadiran tarikh ini yang membolehkan mereka mengukur kiblat, dalam setiap takwim yang dikeluarkan, kita catatkan tarikh mengenai kejadian ini setiap tahun agar orang ramai boleh menyemak sendiri arah kiblat mereka,” katanya.

Katanya, setiap kali kemunculan tarikh ini, masjid-masjid akan membuat permintaan terhadap Jabatan Mufti untuk menyemak arah kiblat mereka termasuk juga masjid baru yang ingin dibina.

Bendera Parti Mesti di Kibarkan Walaupun Kempen Kibar Jalur Gemilang Diadakan - Nik Aziz

KOTA BHARU - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, Pas tidak akan mengendurkan semangat berpolitik walaupun negara akan menyambut Bulan Kemerdekaan bulan depan.

Mengakui bahawa sambutan kemerdekaan penting, Nik Aziz berkata, politik tetap akan menentukan pemerintahan dan hala tuju sesebuah negara.

“Kita tidak boleh melupakan ‘bendera parti’ walaupun Kempen Kibar Jalur Gemilang diadakan. Kalau tidak ada parti, maka negara atau negeri tidak dapat diperintah.

“Zaman dahulu, zaman tidak ada parti politik. Justeru negara atau negeri pada masa itu diperintah oleh raja-raja. Tetapi sekarang ada parti politik, maka di samping Jalur Gemilang, bendera parti perlu ada,” katanya.

Beliau yang juga Mursyidul Am Pas bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Sambutan Ulang Tahun Hari Kemerdekaan Ke-55 Peringkat Negeri Kelantan di Stadium Sultan Mohd Ke-IV di sini malam tadi.

Turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang membaca perutusan kemerdekaan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tuesday, 17 July 2012

Rakyat Perlu Tukar Kerajaan - Isu Air Bersih Kelantan

TUMPAT - Isu air bersih yang gagal diselesaikan kerajaan Pas, terus diperjuangkan Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) apabila pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ini turun padang segenap pelosok kampung menuntut air bersih.

Naib Presiden MTRK Kelantan, Ab Kadir Ya’acub berkata, menjadi tanggungjawab MTRK memperjuangkan hak rakyat Kelantan ini kerana kerajaan Pas tidak berjaya menyelesaikan masalah air bersih tersebut.

“Rakyat Kelantan bukan sahaja perlu tukar paip air tetapi perlu tukar kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke–13 (PRU13) nanti,” katanya.

Ab Kadir yang juga Ketua MTRK Kawasan Tumpat, berkata demikian sempena sukan rakyat MTRK Tumpat di Pangkalan Kerepok di Kampung Laut, kelmarin.

Ab Kadir berkata, isu air ini akan terus diperjuangkan MTRK dan akan ke banyak tempat lagi untuk memperjelaskan kepada rakyat Kelantan mengenai kegagalan kerajaan Pas bekalkan air bersih.

Sempena sukan rakyat itu, Ab Kadir berkata, ia diadakan untuk menghidupkan semula budaya Melayu seperti dikir barat, silat dan perlumbaan perahu kepada generasi muda sekarang ini.

“Dalam masa yang sama juga, sebagai hiburan kepada Ahli Jawatankuasa MTRK yang penat bekerja memperjuangkan isu air di Kelantan,” katanya.

Perasmian penutup disempurnakan Ab Kadir yang dimeriahkan dengan persembahan dikir barat.

Turut diadakan pertandingan boling padang, tiup belon, persembahan tomoi, dan pelbagai acara

Probudi Bantu Rakyat Miskin Miliki Rumah Percuma

CHAT RIMAU - Program Jalinan Budi Rakyat Malaysia (Probudi) bantu individu berpendapatan rendah dan miskin miliki rumah percuma.

Penaung Probudi, Datuk Paduka Hanifi Awang berkata, program tersebut dicipta bagi membantu individu yang tidak memiliki sebarang aset seperti kediaman mampu milik.

Menurutnya, sehingga kini program tersebut berjaya menyediakan 100 rumah percuma buat mereka yang bertuah sejak 2005 lagi.

“Kita berpegang kepada konsep kedua-dua pihak perlu bekerja kuat, memang Probudi akan bantu sediakan rumah, tetapi mereka berminat perlu mengikut prosedur yang ditetapkan.

“Objektif utama kita mahu membantu tetapi perlu membayar sebanyak RM2,500, namun ia agak berbaloi kerana Probudi akan menyediakan rumah percuma dengan nilai paling minimum RM80,00 berserta perabot,” katanya kepada Sinar Harian pada majlis penyerahan rumah percuma mampu milik pertama kepada individu bertuah, Saiful Hisham ,32, dekat sini.

Hanifi berkata, sebelum ini ramai tidak percaya, namun Probudi buktikan program itu semakin mendapat sambutan.

Tambahnya, setiap individu perlu sahut cabaran dan lebih berusaha gigih jika mahu memiliki rumah percuma.

“Saya harap menerusi idea tersebut dapat membantu lebih ramai individu miskin, berpendapatan rendah, terbeban dengan hutang berjaya impian mereka,” katanya.

Mangsa Kebakaran Terharu Bantuan Peribadi Dari Adun Paloh

GUA MUSANG - Mangsa kebakaran yang menyebabkan kehilangan tempat tinggal di Rancangan Tanah Felda Aring 1, dekat sini, petang Sabtu lalu, diberi bantuan segera bagi meringankan beban mereka.

Mohamad Yahya, 63, menerima bantuan segera sebanyak RM500 sumbangan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paloh, Datuk Nozula Mat Diah yang disampaikan wakilnya, Pengerusi Majlis Belia Felda Kelantan, Mohd Nor Fazly Mohd Daud, petang kelmarin.

Beliau ketika ditemui terharu dengan pemberian bantuan peribadi wakil rakyat kawasan itu, yang begitu prihatin dengan nasibnya.

Katanya, dia tidak berkecil hati walaupun wakil rakyat tidak dapat hadir memberi bantuan itu, sebaliknya mengucapkan terima kasih atas sumbangan tersebut.

“Saya kerap berjumpa dengan Datuk Nozula kerana beliau selalu turun padang ke Felda Aring.

“Sumbangan ini amat saya hargai, kerana dapat meringankan beban perbelanjaan selepas rumah kediaman saya hangus dalam kebakaran,” katanya kepada pemberita.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang Sabtu lalu, dia sekeluarga tinggal sehelai sepinggang, kerana tidak sempat menyelamatkan pakaian dan perkakas dalam rumah berikutan api merebak terlalu cepat.

Sementara itu, Mohd Nor Fazly berkata, walaupun beliau sebagai wakil Nozula, namun ia dapat diterima baik mangsa kebakaran, yang masih ceria walaupun kehilangan tempat tinggal.

Menurutnya, beliau sendiri bersama penduduk rancangan tanah itu turut membantu memadamkan api dalam kejadian itu, namun menghadapi masalah air tekanan rendah dan sukar untuk memadamkan kebakaran.

Blogger Kickdefella Dedahkan Duit Husam Ada Dengan Pengusaha Sawmill

“Kick, duit Husam satu juta ada dengan ana,” demikian kata-kata seorang pengusaha sawmill kepada saya pada pertengahan November 2009.

“Anta royat anta nak berapa, ana akan kecek dengan Abuya….” tambah lelaki tersebut yang merupakan seorang pengusaha Sawmill.

Pengusaha sawmill itu bernama Azman bukanlah orang pertama yang mengakui bahawa dia memegang wang Husam. Sebelum ini seorang peguam yang Husam hantar saya temui untuk mengambil wang berjumlah satu juta ringgit juga mengaku benda yang sama.

SMS Keldai Duit Husam kepada saya memaklumkan baki yang patut diberikan kepada saya sudah diluluskan kerana Ariffahmi sudah meletak jawatan.


SMS Keldai Husam memaklumkan esok wang akan di bank in ke dalam akaun


SMS Keldai Duit Husam meminta nombor akaun untuk di masukan duit.


SMS dari seorang Keldai Duit Husam yang bertaraf YB dan kini ketua kepada salah satu cabang parti PAS, memaklumkan duit hanya dapat diberi pada keesokkan harinya. 

Husam terus berdiam diri di dalam soal berkaitan hubungannya dengan Umar Ibrahim Vadillo yang dilantik oleh Husam sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kelantan Golden Trade dan kemudiannya sebagai penasihat. Perlantikan Umar mencetuskan banyak ‘conflict of interest’ kerana Umar adalah juga pemilik dan pengarah urusan World Islamic Mint yang mendapat faedah kewangan secara langsung dari Kelantan Golden Trade Sdn Bhd.

Apakah aktiviti Dinar Emas dan Dirham Perak Kelantan ini adalah sebahagian daripada skim Husam untuk menjana sumber kewangan? Siapakah Keldai duit Husam dalam skim ini? Sehingga kini Husam masih berdiam diri dan tidak mahu langsung berkata apa-apa tentang skandal Matawang Syariah. Mengapa?

Husam sepatutnya tidak mempunyai sebarang masalah untuk membersihkan suasana. Memandangkan Husam mendiamkan diri, masanya sudah tiba untuk saya menjelaskan sedikit demi sedikit modus operandi Husam dan Keldai duitnya.

Tujuan pendedahan ini tiada kaitan dengan hasrat untuk menjatuhkan airmuka Husam, menghina beliau apa lagi menjadikan dia bahan hinaan masyarakat. Sebaliknya, Husam adalah mewakili sebuah Kerajaan Negeri yang sah dilantik oleh pengundi maka Husam perlu diadili oleh rakyat.

Sepanjang berkhidmat dengan Husam sejak 2007 hingga November 2009, saya telah beberapa kali dikunjungi oleh individu-invidu yang membawa duit kepada saya di atas arahan Husam. Saya juga telah beberapa kali di atas arahan Husam mengunjungi beberapa individu untuk mendapatkan duit seperti di arahkan oleh Husam.

Saya pernah beberapa kali bertanyakan sumber duit itu dari Husam, tetapi pada kedua-dua kalinya dia hanya mendiamkan diri, senyum tanpa berkata apa-apa. Keldai Duit Husam pernah menceritakan sumber-sumber duit tersebut tetapi tidak ada guna saya menceritakan di sini kerana ia sudah jadi ‘hearsay’. Saya hanya akan ceritakan apa yang telah saya lalui termasuklah sejarah penubuhan Global Media Channel dan sumber kewangan untuk membiayainya.- kickdefella.net

Monday, 16 July 2012

Dakwaan Anggota Polis Terlibat Ugut Pegawai SPRM Adalah Fitnah

KOTA BHARU - Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman menegaskan dakwaan anggota polis terlibat dalam kes ugutan terhadap beberapa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membuat serbuan ke sebuah lombong emas haram di Sungai Emas, Felda Perasu, Gua Musang, Khamis lepas, adalah fitnah.

Sebaliknya, beliau berkata empat suspek yang dipercayai mengugut pegawai SPRM berkenaan telah ditangkap polis pada 10 malam tadi dan kesemua suspek direman selama tiga hari bermula hari ini.

"Itu fitnah, jangan bercakap dan jangan buat andaian," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Mesra Rakyat anjuran Biro Pengaduan Awam, Jabatan Perdana Menteri di Politeknik Kota Baharu, Kok Lanas, di sini, Isnin.

Semalam, Jalaluddin dilaporkan berkata, Polis Kelantan telah mengenal pasti dua daripada lapan lelaki yang disyaki mengganggu tugas dan menahan sebuah kereta dipandu pegawai SPRM dari ibu pejabat Putrajaya dalam operasi mencegah kegiatan lombong haram di kawasan itu.

Berikutan kejadian itu, empat laporan polis dibuat pihak SPRM dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (mengugut), Seksyen 324 (mendatangkan kecederaan), Seksyen 353 (menghalang penjawat awam melaksanakan tugas) dan Seksyen 427 (khianat). BERNAMA

Pakej Nikah di Siam Guna Internet

KOTA BHARU – Pakej perkahwinan di selatan Thailand menerusi internet kini semakin bercambah dengan lebih 10 laman web dikesan menawarkan perkhidmatan itu dengan bayaran serendah RM1,250.

Antara pakej yang diiklankan ialah Urusan Khidmat Nikah Kahwin Pakej Poligami Kadi Wali Hakim Di Thailand Siam dan Perkhidmatan Sah Kahwin Lari Siam Nikah Senyap Thai Poligami Bukan Sindiket.

“Saya bukan berniat menggalakkan masyarakat kita berkahwin di negara jiran dan melanggar peraturan negara ini, namun ia satu cara mengelakkan mereka melakukan maksiat,” – Hisham (bukan nama sebenar), seorang ejen.

Pelanggannya pula termasuk golongan profesional dan ahli perniagaan berpangkat Datuk, artis dan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT).

Pakej lengkap

Pakej itu merangkumi pengangkutan dari lapangan terbang, melepasi pintu sempadan Malaysia-Thailand, khidmat nasihat mengenai dokumen penting, pasport, penginapan hotel, makan dan minum sehinggalah ke lokasi sama ada di Narathiwat, Songkla atau Yala.

Seorang ejen, Hisham (bukan nama sebenar), 37, dari daerah ini yang ditemui mengaku mula menawarkan pakej itu sejak beberapa tahun lalu dengan mengiklankan perkhidmatannya menerusi internet.

Tanpa berselindung, Hisham berkata, secara purata dia menguruskan 30 pasangan setahun ke Selatan Thailand dan mengenakan bayaran RM1,500 bagi setiap pasangan.

“Bayaran ini cukup murah jika dibandingkan dengan ejen lain yang mengenakan bayaran sehingga lebih RM4,000,” katanya.

Hisham mengakui sering dilemparkan kata sinis dan kasar menerusi komen dalam Facebooknya terutama oleh wanita, namun ia tidak menghalangnya untuk terus menawarkan perkhidmatan itu.

Baginya, apa yang dilakukan bertujuan ikhlas dan mahu mengelak orang Islam terjebak dengan maksiat.

“Saya bukan berniat menggalakkan masyarakat kita berkahwin di negara jiran dan melanggar peraturan negara ini, namun ia satu cara mengelakkan mereka melakukan maksiat,” katanya.

Dia yang berkahwin dengan wanita warga Thailand dan mempunyai tiga anak hasil perkahwinan itu berkata, kebanyakan pasangan mendapatkan perkhidmatannya berusia 35 hingga 50 tahun atas tujuan berpoligami.

Antara pelanggannya termasuk golongan profesional berpangkat Datuk, artis dan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT).





Pemuda Terkena Sihir Mahu Hidup Normal

TO UBAN (Pasir Mas) – Seorang pemuda yang mempunyai penyakit misteri sejak lapan tahun lalu, berharap ada pihak tampil mengubati penyakitnya segera. Dia yang hanya mahu dikenali Ziyan, 26, mengalami penyakit misteri iaitu tidak dapat tidur sejak di bangku sekolah.

Ziyan berkata, dia mengesyaki dia disihir setelah mencapai umur 18 tahun iaitu selepas menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Sebelum ini, katanya, dia merupakan seorang pelajar ceria, namun bertukar kepada remaja dikatakan pelik oleh penduduk setempat.


Pagar dari sihir

Ziyan berkata, kebanyakan bomoh ditemui hanya berubat untuk membuang sihir, sebaliknya tidak memagar dirinya, daripada gangguan di masa depan. Menurutnya, dia hampir berputus asa kerana tidak semua usahanya bertahan lama.

“Saya berharap, lebih ramai sedia mengubati penyakit saya ini kerana saya sudah bosan hidup dalam keadaan seperti ini. Jika ada bomoh yang pandai memagar diri daripada gangguan sihir, saya mohon mereka menghubungi saya dengan segera,” katanya.

Ini kerana katanya, penyakit ini menyebabkannya tidak dapat menumpukan perhatian pada kerja.


Terima rawatan Darulsyifa

Selepas disiarkan Sinar Harian Februari lalu, pihak Pusat Rawatan Darulsyifa berusaha memulihkan dirinya.

Katanya, ketika berubat di Pusat Rawatan Darulsyifa, semua pantang larang dipatuhi. Selepas beberapa bulan berubat dengan Darulsyifa, dia mengakui boleh tidur selama beberapa jam.

“Berbanding sebelum menerima rawatan, saya hanya boleh melelapkan mata selama beberapa minit. Sekarang saya bersyukur kerana dapat tidur selama beberapa jam dan jarang mendapat mimpi ngeri,” katanya.

Menurutnya, dia juga tidak lagi mengekalkan rambut ‘gimbal’ dan selesa berambut pendek, setiap kali pergi berubat di pusat rawatan ini, yang berpusat di Kota Bharu.

Ziyan berkata, berkat nasihat ustaz, dia berusaha dengan sentiasa memanjatkan doa dan berzikir bagi mengubati penyakit ini.

“Bagaimanapun setakat ini, penyakit dialami belum sembuh sepenuhnya,” katanya.
Mahu hidup normal

Menurutnya, dia banyak menghabiskan masa mencari bomoh dan doktor, bagi mengubati penyakit misterinya ini.

Ziyan berkata, dia tidak kisah sesiapa datang mengubati kerana sudah tidak tahan dengan penyakit ini.

“Saya mahu menjalani kehidupan yang normal sepertimana rakan lain,” katanya. Saya berharap individu yang mahu membantu dapat menghubungi saya di talian 014-8370036,” katanya.

Pegawai SPRM di Ugut, Polis Kelantan Telah Kenal Pasti Identiti

KOTA BHARU - Polis Kelantan sudah mengenal pasti suspek yang mengugut dua pegawai Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) ketika serbuan dilakukan pihak terbabit di sebuah lombong emas yang beroperasi secara haram di Sungai Mas, Felda Perasu Gua Musang di sini Jumaat lalu.

Ketua Polis Negeri, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, semasa pihak itu membawa dua lelaki yang ditahan dari kawasan itu keluar, mereka ditahan lapan lelaki yang menaiki motosikal bersenjatakan kayu dan parang.

“Salah seorang lelaki itu menimbulkan kekecohan dan merampas kunci kereta kembara dari tangan seorang pegawai SPRM.

“Dia mengarahkan kedua-dua pegawai terbabit keluar dari kereta dan meminta melepaskan kedua-dua tahanan terbabit,”katanya kepada pemberita ketika mengadakan sidang akhbar selepas melancarkan kem kendiri program kesedaran jenayah di PCB Resort di sini semalam.

Jalaluddin berkata, akibat takut dengan tindakan suspek, mereka melepaskan dua lelaki terbabit.

“Kita sedang menunggu dia (suspek) supaya menyerah diri kepada polis yang sepatutnya hari ini (semalam) dan hanya tunggu masa untuk bertemu dengannya yang datang bersama peguam.

“Dua lagi suspek yang dilepaskan itu kini dipercayai tiada di Gua Musang dan dikatakan sudah keluar dari daerah ini dan kita sedang memburu mereka,” katanya.

Mengulas mengenai kejadian itu, Jalaluddin berkata, punca kejadian terbabit dipercayai akibat mangsa tidak berpuas hati dengan pihak SPRM kerana menahan pekerja lombong emas dan menyita peralatan melombong.

“Setakat ini kita sudah menerima lima laporan yang dibuat oleh SPRM berkaitan kes terbabit yang salah satunya berkaitan kes ugutan itu.

“Kesemua laporan akan disiasat di bawah seksyen 506 Kanun Keseksaan (KK) di atas kesalahan mengugut, seksyen 324 (mendatangkan kecederaan), seksyen 353 (menghalang penjawat awam) dan seksyen 427 (khianat),” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kejadian jenayah remaja melibatkan kesalahan curi, masalah sosial selain hubungan intim yang berlaku di antara adik beradik juga tidak dilaporkan atas alasan malu namun kes terbabit agak terpencil.

Beliau berkata setakat tahun ini, sebanyak 68 kes yang melibatkan pelajar termasuk jenayah ugut, curi, rogol dilaporkan berbanding tahun sebelumnya yang melibatkan 151 kes jenayah melibatkan 229 pelajar.

Kebakaran di SMK Bachok, Empat Bilik Musnah

KOTA BHARU - Empat bilik di blok bangunan lama Sekolah Menengah Kebangsaan Bachok dekat sini musnah dalam kebakaran malam Ahad dengan kerugian dianggarkan RM150,000.

Pegawai Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Azmi Ibrahim berkata bilik yang musnah dalam kebakaran kira-kira 9.55 malam itu ialah bilik kaunseling, bilik sukan, bilik pendidikan seni dan bilik suis utama.

Katanya, seramai 16 anggota bomba membabitkan empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bachok dan Pengkalan Chepa dengan dibantu anggota bomba sukarela, berjaya mengawal api daripada merebak ke bangunan berhampiran dan kebakaran dapat dipadam sepenuhnya pada 11.15 malam.

Unit Siasatan dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Baharu sedang menyiasat punca kebakaran itu, katanya.

Sementara itu, Pegawai Pelajaran Daerah Bachok Saupi Majid berkata kebakaran itu tidak menjejaskan pembelajaran lebih 800 pelajar sekolah berkenaan kerana ia tidak melibatkan bilik darjah. - BERNAMA

Sunday, 15 July 2012

Siti Nurhaliza Akui Artis Boleh Mempengaruhi Masyarakat Berpolitik

KOTA BHARU- Penyanyi terkemuka negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin akui artis mampu pengaruhi masyarakat sertai mana-mana parti politik.

Bagaimanapun diva tanah air itu berkata, ia terpulang kepada masyarakat untuk mengikuti artis yang disukai terlibat dalam politik berdasarkan kehendak masing-masing.

“Rakyat negara ini berhak bersuara dan memilih apa yang mereka inginkan dalam berpolitik. Seperti saya menyokong kerajaan yang memerintah dan gembira dapat buat persembahan untuk berbakti kepada masyarakat,” katanya selepas membuat persembahan di Jamuan Perdana Perayaan Hari Guru 2012 peringkat Parlimen Kota Bharu, semalam.

Dalam pada itu, Siti Nurhaliza berkata, penglibatan artis di negara ini dalam politik merupakan satu perkembangan positif kerana artis mampu menabur bakti kepada masyarakat.

Beliau berkata, situasi itu bukan perkara yang asing malah artis terbabit perlu lebih bertanggungjawab memikul amanah yang diberikan.

“Bagi saya untuk masuk ke dalam politik secara serius memerlukan seseorang yang betul-betul bersedia dan mengetahui tentang tanggungjawab apabila bergelar individu yang diberikan amanah,” katanya.

Apabila ditanya mengenai fenomena artis terlibat dalam politik dianggap sebagai publisiti murahan, Siti Nurhaliza berkata, ia bergantung kepada niat dan pendirian artis terbabit.

Katanya, semua artis mempunyai hak untuk memilih perkara yang terbaik untuk diri masing-masing.

Kini perkembangan politik negara dimeriahkan dengan pembabitan artis artis terkemuka tanah air. Antaranya Hairie Othman memilih masuk Pas pada Jun lalu, Amy Search dan Jamal Abdillah pula memilih Umno.

Tiga Beradik Merempat Dalam Kubu Jepun


KAMPUNG NIPAH, Bachok – Tiga beradik dekat sini terpaksa merempat dalam sebuah kubu tinggalan Jepun ketika Perang Dunia Kedua akibat kesempitan hidup.

Zaini Kasim, 43, berkata, sejak ibu mereka, Halimah Othman terbunuh dalam kemalangan maut empat tahun lalu, hidup mereka semakin melarat sehingga terpaksa menumpang di pondok tepi tanah perkuburan.

Menurutnya, ketika ibu mereka masih hidup, mereka tinggal menumpang di sebuah rumah di Pulau Belongan, namun terpaksa keluar selepas kematian ibu mereka.

“Kami tiga beradik kini ibarat sebatang kara sejak ibu meninggal dilanggar kereta sewa ketika dalam perjalanan menghantar kuih ke kedai, empat tahun lalu.

“Selepas ibu meninggal dunia, kami menumpang di pondok tepi kubur Bachok kira-kira setahun. Sejak minggu lalu, kami terpaksa pindah mendiami kubu peninggalan Jepun ini sebagai tempat perlindungan baru,” katanya kelmarin.

Beliau berkata, kini hanya dia seorang sahaja yang bekerja sebagai awak-awak bot nelayan sekali sekala untuk menyara dua adiknya yang sakit.

Menurutnya, dua adiknya, Zami, 42, menghidap batuk kering dan Zafni, 41, pula mengalami penyakit mental.

Bagaimanapun, adik bongsu mereka, Rosmiza Kasim telah berumah tangga dan menetap di Kemaman.

“Kami tidak mampu menyewa rumah sendiri kerana pendapatan saya tidak menentu dan cukup untuk kami makan ala kadar sahaja," katanya.

Saudara mereka, Che Rahim Mohamad, 53, berkata, dia bersimpati terhadap tiga beradik itu dan berharap ada pihak sudi membantu.

“Saya yang bawa mereka tinggal di sini buat sementara waktu selepas tidak mempunyai tempat tinggal lain untuk berteduh. Tetapi kubu ini tidak selamat kerana apabila air pasang, air melimpah ke dalam kubu. Apabila musim tengkujuh juga ribut dan ombak besar melanda.

“Sebelum ini ketika mereka tinggal di tepi kubur, saya sering membantu dari makan minum mereka. Malangnya mereka buta huruf dan tidak sihat menyebabkan sukar mereka mendapat pekerjaan.

"Mereka yang ingin membantu boleh hubungi saya di 014 5158654,” katanya.

Banglo Untuk Juara Tilawah Al-Quran Antarabangsa - Nik Aziz


KOTA BHARU - Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan untuk menghadiahkan sebuah banglo kepada anak kelahiran Kelantan, Muhammad Anuar Ghazali, 36, yang dinobatkan sebagai johan Tilawah Al-Quran Antarabangsa ke-54 malam tadi.

Menteri Besar Kelantan berkata, perkara itu akan dibincangkan agar dapat meraikan kejayaan wakil Malaysia, yang telah mengharumkan nama negara di peringkat dunia.

“Insya-Allah saya akan minta mereka beri hadiah berupa sebuah banglo, kepada qari itu (Anuar) seperti yang pernah kita berikan dulu kepada penjaga gawang gol negara, Khairul Fahmi Che Mat (Apex) kerana mengharumkan negara Malaysia dan negeri Kelantan.

“Dia merupakan anak Kelantan dan perlu diberi pengiktirafan kerana dapat menjuarai pertandingan itu, yang melibatkan wakil luar negara, dan dia sudah membuktikan kemampuannya dengan menyandang gelaran johan,” katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra saudara baru ‘Demimu Palestin’ di Dewan Jubli Perak, Panji di sini hari ini.

Tahniah The Red Warriors Menjuarai Liga Super 2012


PERCIKAN bunga api selama 15 minit mengiringi kejayaan The Red Warriors menjulang trofi Liga Super 2012 di hadapan hampir 16,000 penyokong setia mereka di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam tadi.

Sebaik sahaja pengadil, S Sittharajanan meniupkan wisel penamat mengakhiri perlawanan terakhir Liga Super yang berkesudahan Kelantan menewaskan Sarawak 3-1, ribuan penyokong tidak berganjak sebaliknya tetap setia menanti untuk menyaksikan detik bersejarah meraikan kejayaan tersebut.

Tengku Panglima Raja Kelantan, Datuk Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz diberi penghormatan menyempurnakan majlis penyampaian trofi dan medal kepada wira The Red Warriors.

Ketua Pasukan Kelantan, Mohd Badhri Radzi mengetuai rakan sepasukannya dengan menjulang trofi kemegahan bola sepak negara itu dalam majlis tersebut.

Hadir sama menyaksikan detik bersejarah ialah Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa; Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia, Datuk Afandi Hamzah; Naib Presiden Kafa, Datuk Ismail Md Noor dan Rosmadi Ismail dan Timbalan Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Mohd Nasir Hamzah yang juga Bendahari Kafa.

Saturday, 14 July 2012

Tahniah Qari Kelantan Juara Tilawah Al-Quran Antarabangsa - Nik Aziz

KOTA BHARU - Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengucapkan tahniah kepada anak jati Kelantan, Muhamad Anuar Ghazali yang muncul juara Tilawah Al-Quran Antarabangsa Kali Ke-54 semalam.

“Semoga kejayaan beliau menjadi inspirasi kepada seluruh anak Kelantan khususnya dan rakyat Malaysia keseluruhannya untuk terus mendalami ilmu tarannum al-Quran.

“Di samping itu diharapkan dapat mengamalkan isi kandungan al-Quran di dalam kehidupan. Tahniah,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.

Muhammad Anuar dan qariah Maghribi, Hasnae Khoulali masing-masing muncul johan majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa Kali Ke-54 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), malam tadi.

Muhammad Anuar yang memperdengarkan Ayat 84 Surah Hud meraih markah 95.33 peratus manakala Hasnae yang membaca Ayat 15 Surah al-Isra' memperoleh 94 peratus.

Kedua-dua mereka menerima hadiah wang tunai RM40,000 setiap seorang selain trofi dan sijil penyertaan.