Sunday, 2 December 2012

Sehingga Jumpa Lagi Sebagai Parti Pilihan Tiga Tahun Lagi :AGM Umno

ANALISIS - Tatkala para perwakilan Umno beredar meninggalkan Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra sebaik sebelum azan Maghrib berkemundang, tersemat keyakinan dan harapan masing-masing untuk kembali melangkah ke dewan itu lagi tahun depan...dengan lebih gah, sebagai parti pilihan.

Pada bahu mereka tergalas tugas besar membawa mesej presiden parti ke seluruh pelosok tanah air bahawa Umno dan Barisan Nasional (BN) adalah pilihan terbaik untuk mengangkat kepentingan semua kaum.

Umno dan BN jugalah parti yang mampu berlaku adil, bukan sahaja untuk orang Melayu, malah bukan Melayu serta sesiapa sahaja meskipun yang menyokong pembangkang.

Amanat Datuk Seri Najib Tun Razak cukup jelas iaitu Umno mampu terus menjadi pilihan rakyat. Tetapi sekurang-kurangnya dua cabaran besar harus ditangani iaitu disiplin dan fitnah melampau yang bertubi-tubi oleh pembangkang.

Kerana fitnah, Najib serta timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin serta naib presiden menyebut "Salam 1Malaysia, Tolak Fitnah" dalam mukadimah ucapan masing-masing.

Harapan Najib ialah semoga anggota perwakilan menjunjung semangat itu apabila pulang ke kawasan masing-masing. Dalam masa yang sama, beliau mengingatkan bahayanya perbuatan sabotaj atau sikap tidak mahu bekerja kuat jika tidak dipilih menjadi calon hingga menyumbang kepada prestasi buruk BN pada pilihan raya umum 2008.

Tidak dinafikan Najib telah melaksanakan tugasnya selaku ketua dengan cemerlang, menyusun agenda transformasi nasional berlandaskan Gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Dasar itu, yang melahirkan pelbagai inisiatif dan program berinovasi, bertambah diyakini dari hari ke hari manakala populariti Najib sendiri meningkat sebagai tokoh yang mempunyai ciri kepimpinan berkualiti.

Di samping itu, Muhyiddin pula dilihat sebagai timbalan yang boleh diharap dan banyak membantu ketuanya. Gandingan Najib-Muhyiddin serta rakan-rakan 'panglima' daripada parti-parti komponen BN lain memperlihat kepimpinan mantap yang mampu mengurus negara dengan lebih baik dalam era global yang mencabar.

Keputusan PRU12 mungkin ada hikmahnya. Hujah-hujah perwakilan dan kepimpinan parti jelas menunjukkan keinsafan untuk bangkit daripada kesilapan lalu. Terbukti kerana Najib sendiri sedia memohon maaf atas kesilapan dahulu.

Ucapan dasar Najib pada perasmian perhimpunan agung Khamis lepas juga menunjukkan bahawa ketika ia mahu bangkit semula, Umno menyedari hakikat demografi masa kini mengubah landskap politik negara terutama aspirasi dan jangkaan generasi baru pasca Merdeka yang berbeza.

Maklumat tidak terbatas penduduk bandar kerana teknologi, membolehkan mesej dibawa terus kepada setiap individu walau di mana mereka berada, lantas perhitungan masing-masing adalah pelbagai dalam menentukan perlakuan ketika mengundi.

Isu pilihan raya tidak lagi terbatas kepada soal agama dan bangsa semata-mata, tetapi meliputi perhitungan merit, peluang pekerjaan, taraf kesihatan dan perumahan mampu beli.

Pola pengundian 2008 harus dikaji, terutama yang melibatkan undi protes, dan kemunculan generasi pengundi yang matang dengan perkembangan semasa.

Namun nada ucapan penggulungan Najib memaparkan keyakinan bahawa Umno kembali pulih. Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin juga merasakan perubahan itu semasa pilihan raya kecil di Kerdau dan Merlimau.

Persengketaan dalaman parti adalah suatu yang masih ditangani. Pada peringkat tertinggi, kesatuan yang kukuh kelihatan, lebih-lebih lagi dengan kehadiran dua bekas presiden -- Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Begitu juga veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah.

Ketiga-tiga sayap - Wanita, Pemuda dan Puteri - telah berikrar untuk taat setia dan patuh kepada apa jua keputusan pucuk pimpinan berhubung pemilihan calon yang akan bertanding.

Najib sering kali berkata bahawa tidak ada gunanya calon sendiri menang sekiranya parti akan kalah.

Sebaliknya, bak kata Naib Presiden Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, jika parti menang, yang tidak jadi calon pun turut mendapat nikmat.

Dalam senyap, menurut Najib, Dr Mahathir turut membantu menemui pemimpin peringkat pertengahan untuk memujuk supaya mereka jangan merajuk mahupun mengugut jika tidak dipilih.

"Contohilah Cikgu Seman Deros dari Jasin. Cikgu Seman tidak pernah menjadi wakil rakyat tetapi Cikgu Seman cinta, komited dan setia kepada parti," kata Najib.

Cikgu Seman,70, ialah anggota perwakilan Bahagian Jasin yang dikenali Najib sejak lebih 20 tahun lalu ketika perdana menteri menjadi menteri pendidikan dan Seman pula pegawai pelajaran daerah Jasin. Cikgu Seman dilihat menangis (dan dirakam jurufoto akhbar), ketika Najib memohon maaf atas apa jua kesilapan parti, dalam ucapan dasarnya pada Khamis.

Penting bagi Umno dan BN memenangi hati setiap pengundi.

Seperti kata Muhyiddin, Umno kini merasai denyut nadi petani, nelayan dan pekebun kecil di desa, pemandu teksi dan peniaga di kota, golongan pekerja, profesional dan penjawat awam, kesatuan sekerja dan pertubuhan bukan kerajaan, remaja, belia dan mahasiswa, malahan golongan gelandangan dan kurang bernasib baik. - Bernama

No comments:

Post a Comment