Pertubuhan Belia Glokal Wilayah Persekutuan (PBGWP) membidas bajet yang dibentangkan pakatan pembangkang baru-baru ini kerana bersifat populis tanpa memikirkan kesan buruk kepada negara pada masa depan.
Presidennya, Khamarulazlan Mohamad Hanafiah berkata, Bajet 2013 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen baru-baru ini ternyata jauh lebih baik dan bersifat realistik berbanding bajet yang dikemukakan pembangkang itu.
“Bajet 2013 dilihat kearah keharmonian negara berbading bajet yang dibentangkan oleh pembangkang yang lebih menjurus kepada bajet populis tanpa memikirkan kesan yang akan berlaku kepada negara pada masa akan datang.
“Pakatan pembangkang melalui bajet mereka kononya mahu mengalih sumber kekayaan yang dimonopoli sebilangan pihak kepada program khusus bagi mengurangkan beban dan menambah manfaat rakyat. Tetapi hakikatnya sejak Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) kebanyakan manifesto pembangkang cuma retorik dan hanya tinggal janji,” katanya melalui satu kenyataan media.
Khamarulazlan berkata, segala yang ditawarkan oleh pembangkang menerusi bajet mereka juga berunsur ‘syok sendiri’ dan kebanyakan yang ditawarkan itu lebih untuk menarik perhatian rakyat supaya menyokong mereka pada PRU akan datang.
Justeru, katanya, beliau berharap golongan muda nefgara supaya dapat melihat perbezaan ketara antara bajet pembangkang dengan Bajet 2013 oleh Perdana Menteri yang realistik, berpijak di bumi nyata serta berdasarkan kepada keupayaan semasa negara.
Jelas beliau, pakatan pembangkang cuba menjanjikan apa sahaja asalkan dapat menawan kuasa dan Putrajaya tanpa mengira kesan terhadap negara. – mynewshub.my
No comments:
Post a Comment