Umat Islam tidak mengira parti perlu memberi sokongan terhadap bantahan filem Innoncence of Muslims yang mempersendakan Nabi Muhammad SAW, kata Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Bagi tujuan tersebut, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, masyarakat Islam seharusnya mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelak agama Islam terus dipersendakan.
“Kalau tidak bertindak mereka akan buat benda lain lagi yang akan menyebabkan berlaku perkara yang tidak munasabah seperti di negara-negara luar, biar mereka sedar perbuatan itu salah dan ada orang yang halang, doa sahaja tidak cukup,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kota Darul Naim di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada perlu Pemuda Pas dan Umno bersama dalam perhimpunan besar-besaran membantah filem itu di Ibu Kota Jumaat ini.
Mengulas lanjut Nik Aziz berkata, antara punca yang menyebabkan penghinaan itu berlaku disebabkan masyarakat Islam sendiri yang tidak meletakkan Islam sebagai asas pemerintahan.
“Orang Islam sendiri yang melakukan pengkhianatan terhadap agama Islam, kita seharusnya sedar dan tidak melakukannya sekiranya tidak mahu lagi Islam dihina,” katanya.
Ditanya adakah protes melalui demonstrasi itu perlu dilakukan masyarakat Islam, Nik Aziz berkata, pendekatan itu boleh dilakukan, namun ia bergantung kepada keadaan tertentu.
Nik Aziz bagaimanapun enggan mengulas mengenai kenyataan Pengerusi DAP Perak, Ngeh Koo Ham yang mempersoalkan perhimpunan membantah filem itu Jumaat ini. -Sinar Harian.
No comments:
Post a Comment