Saturday, 15 September 2012

Anggota Umno Kelantan Perlu Dengar Nasihat TPM

Anggota Umno di Kelantan perlu mendengar nasihat Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika melawat negeri itu semalam, agar tidak terlibat mensabotaj parti pada pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata nasihat itu perlu dijadikan azimat kepada anggota Umno berjuang habis-habisan bagi memastikan Barisan Nasional (BN) menawan semula negeri itu.

"Ini ingatan kepada semua dan kita tidak ada masa yang banyak memikirkan perkara yang remeh temeh. Pilihan raya ini sangat penting dalam konteks Kelantan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Tanah Merah di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Umno Bahagian Tanah Merah Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Semalam, Muhyiddin berkata mana-mana anggota Umno yang terbabit dalam mensabotaj parti pada pilihan raya umum ke-13, akan dikenakan tindakan disiplin termasuk dipecat keanggotaan parti serta-merta.

Timbalan Presiden Umno itu berkata parti akan melantik pasukan pemantau bebas yang tiada siapa pun mengetahui individu yang dilantik itu untuk memantau tindakan sabotaj oleh anggota parti.

Sementara itu, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri turut meminta semua Umno bahagian di negeri itu melupakan sengketa dalaman, sebaliknya memberikan tumpuan pada pilihan raya umum akan datang.

"Lupakan dendam kesumat yang ada. Eratkan silaturahim dan perkuatkanlah bahagian masing-masing. Kita hanya ada tempoh beberapa bulan sebelum pilihan raya diadakan," katanya.

Beliau berkata paling penting setiap anggota Umno perlu menerima sesiapa sahaja calon yang dipilih pucuk pimpinan parti dan perlu menyokong calon tersebut. - Bernama

No comments:

Post a Comment