Wednesday, 13 June 2012

BN ATAU PAS YANG LEBIH HEBAT DI KELANTAN??

KOTA BHARU - Gendang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) belum lagi dipalu, namun semangat politik orang di Kelantan sudah membuak-buak.

Buktinya, bendera-bendera politik berwarna biru pekat, biru muda, hijau dan sesekali diselitkan dengan putih-merah sudah digantung di sana-sini. Seperti kebiasaan juga provokasi bakar bendera lawan juga sudah mula kedengaran.

Sebagai sebuah negeri yang majoritinya Melayu-Islam, sudah pasti Pas dan Barisan Nasional (BN) merupakan dua parti yang menjadi sinonim kepada rakyat Negeri Cik Siti Wan Kembang.

Realitinya kewujudan PKR, MCA dan MIC di negeri hanya untuk melengkapkan sokongan dan ‘meraikan’ perjanjian di peringkat pusat.

Bercakap soal pilihan raya, topik yang kini berlegar di kedai kopi adalah mengenai calon!, ia seperti bermain ‘puzzle’, menyusun petak-petak yang akhirnya bercantum demi untuk mendapat kemenangan.

Bagi Pas, pilihan raya kali ini menjadi titik penting bagi meneruskan pemerintahan di negeri ini.


Kesediaan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bertanding seolah-olah memahami realiti beliau masih diperlukan untuk mengekal pemerintahan Pas di negeri ini.


Beliau dianggap sebagai benteng terakhir parti yang menjadi simbol berpadukan di kalangan ahli walaupun ada kalanya pendapatnya tidak sehaluan dengan pemimpin pusat termasuk Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Persoalannya, mampukah Pas mempertahankan 38 dari 45 kerusi Dun yang disandang sebelum ini memandangkan terdapat isu yang masih tidak mampu diselesaikan dengan baik seperti kemudahan bekalan air.

Ditambah pula dengan sesetengah wakil rakyat yang tidak menunjukkan prestasi yang memuaskan di peringkat akar umbi menyebabkan undi atas pagar mungkin beralih arah.

Pas tidak lagi boleh mengharapkan undi penyokong tegarnya semata-mata kerana trend pengundi kini berubah. Faktor personaliti calon kini diambil kira. Buktinya pada PRU 11, kerusi parlimen Machang dimenangi BN sementara ketiga-tiga Dun dikuasai Pas.

Bagaimanapun, pengumuman pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai sedikit sebanyak menaikkan imej Pas negeri walaupun keupayaan masih diragui sesetengah pihak.

Bagi Barisan Nasional, hasrat untuk menawan Kelantan bukan lagi angan-angan. Datuk Seri Mustapa Mohamed selaku pemegang teraju BN Negeri menyusun gerak kerja parti dengan menyasarkan untuk memperoleh 23 kerusi Dun.

Namun jika BN mengidamkan negeri ini, faktor luaran dan dalaman perlu diambil kira. Dalam soal dalaman, BN Negeri perlu memastikan caj keting tidak lagi wujud seperti mana sebelum ini yang menyebabkan BN tumpas sebelum berjuang.

Kebimbangan ini disuarakan oleh Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Ahmad Rithauddeen Ismail yang memberi peringatan kepada Umno supaya budaya ‘caj keting’ perlu dibuang sekiranya ingin menawan Kelantan.

Bagi faktor luaran, BN perlu meyakinkan rakyat bahawa parti itu bukan terlalu ‘kaya’ untuk rakyat sehingga merasakan ia hanya sesuai untuk golongan yang gah sahaja.

Rakyat Kelantan bukan mahu melihat parti yang eksklusif, tetapi parti yang mampu memperjuangkan hak lebih-lebih lagi perkara yang berkaitan dengan Islam.

Jika benteng itu mampu diruntuhkan, Umno sudah boleh membayangkan siapa Menteri Besar yang baru untuk dicalonkan!

No comments:

Post a Comment