KOTA BHARU - Rakyat negeri ini yang berumur 17 hingga 40 tahun dan belum memiliki lesen motosikal kelas B2 disaran mendaftar dengan Bantuan Lesen 1Malaysia (BL1M) menerusi laman web My E.G Services Berhad atau mendapatkan borang di pejabat Pemuda UMNO di kawasan Parlimen masing-masing.
Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Tengku Azman Tengku Zainol Abidin berkata, melalui BL1M mereka cuma perlu membayar sebanyak RM199 berbanding bayaran yang lebih tinggi jika melalui proses biasa dengan sekolah memandu.
Katanya, BL1M akan dilancar secara rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 31 Januari ini dan proses pendaftaran akan ditutup pada 14 Februari ini.
"Melalui BL1M, semua pemohon bukan sahaja dikenakan bayaran rendah tetapi dibantu Pemuda UMNO di kawasan Parlimen masing-masing sehingga lulus.
"Buat masa ini, kita masih dalam proses pendaftaran dan dua minggu selepas pelancaran barulah kita merangka program dengan kerjasama sekolah memandu untuk membantu semua pemohon ini mendapatkan lesen mereka," katanya dalam sidang akhbar di Pejabat UMNO Kelantan, di sini semalam.
Tengku Azman berkata, BL1M yang diilhamkan Najib dan diuruskan Pemuda Barisan Nasional (BN) bertujuan membantu golongan itu yang masih belum mendapatkan lesen.
Sementara itu, beliau mengingatkan Pemuda BN tidak pernah melantik mana-mana ejen menguruskan program tersebut terutama dalam menerima bayaran.
Katanya, pemohon hanya membuat bayaran menggunakan bank draf atau kiriman wang atas nama My E.G Services Berhad dan proses mendapatkan lesen juga dibuat mengikut peraturan ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tanpa ada jalan pintas.
"Pernah berlaku ada kes ejen menjual borang ini, jadi saya mengingatkan setiap pemohon kami tidak pernah melantik mana-mana ejen selain pergi ke pejabat Pemuda UMNO kawasan masing-masing dan buat bayaran menggunakan bank draf.
"Saya harap semua mereka rebut peluang ini kerana ia bukan sahaja murah tetapi kami akan membantu setiap pemohon sehingga mereka berjaya memiliki lesen motosikal masing-masing," katanya.